Sehari selepas jenazah dibakar, keluarga mendiang akan pergi ke krematorium untuk mengambil abu dan tulang untuk upacara seterusnya. Anak lelaki yang melakukan upacara membakar jenazah pada hari sebelumnya wajib hadir. Istilah yang digunakan bagi individu tersebut ialah karmi. Beberapa individu yang telah turut serta ke krematorium pada hari sebelumnya juga akan pergi sama.
Antara barangan yang perlu dibawa adalah dua periuk belanga, beg plastik besar, satu kilogram beras, dua atau tiga daun pisang yang penuh (tidak dikerat-kerat), sirih, pinang, sesikat pisang, bunga rampai, setanggi, kapur barus, mancis, dua botol susu lembu, lampu minyak (berserta sumbu dan minyak kelapa), sehelai kain lebar berwarna merah atau putih, dan daun agathee yang sudah dimasak. Bahan-bahan ini mungkin ada tambahan atau pengurangan mengikut keperluan dan amalan keluarga.
Mengambil Abu dan Tulang
Apabila tiba di krematorium, penjaga tempat berkenaan biasanya sudah membersihkan sisa bahan bakar bagi memudahkan abu dan tulang jenazah dikumpul. Semua yang hadir perlu mandi dan berpakaian basah sepanjang proses berikut. Perlu dinyatakan bahawa hanya kaum lelaki akan ke krematorium untuk menyempurnakan upacara ini.
Upacara pertama yang perlu dilakukan oleh karmi adalah berdiri di bahagian kepala jenazah (yang kini tinggal tulang dan abu) dan merenjis air ke atas abu jenazah sebanyak tiga kali. Seterusnya, susu direnjis sebanyak tiga kali.
Kemudian, barulah tulang boleh diambil dari tempat pembakaran. Mula-mula, tulang bahagian kepala (tengkorak), leher, dada (rusuk), pinggul dan kaki perlu diambil secara teliti dan dimasukkan ke dalam salah sebuah periuk belanga yang dibawa. Selepas itu, abu jenazah dikumpul dan dimasukkan ke dalam periuk yang sebuah lagi.
Di Tepi Pantai
Karmi dan para pengiring akan beredar ke tepi pantai atau ke tebing sungai untuk upacara seterusnya. Tempat yang rata dan kering perlu dicari. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu sentiasa diberi perhatian. Segala upacara ini juga perlu dilaksanakan dengan tenang tanpa sebarang perselisihan.
Daun pisang perlu diletak di atas tanah dengan kedudukan bahagian hujung daun menghala ke arah selatan. Beras ditabur di atas daun pisang; biasanya dalam bentuk bujur mengikut bentuk daun pisang.
Tulang-tulang yang disimpan di dalam periuk belanga akan dikeluarkan dengan teliti dan disusun semula di atas beras yang ditabur tadi. Tengkorak diletak dulu, diikuti bahagian-bahagian lain sehinggalah ke bahagian kaki. Kepala (tengkorak) harus menghala ke selatan. Periuk belanga berisi abu jenazah pula diletakkan di sisi tulang tetapi masih di atas daun pisang yang ditabur beras tadi.
Lampu minyak, setanggi dan kapur barus dipasang. Sirih, pinang dan bunga rampai diletakkan berhampiran tengkorak. Kain merah atau putih piasanya dililit pada leher periuk belanga berisi abu. Kain putih bagi balu dan lelaki; manakala kain merah bagi wanita yang masih bersuami atau wanita yang belum berkahwin.
Bagi upacara seterusnya, kaum India akan cuba mendapatkan sedikit air dari Sungai Ganges dan dicampur dengan air biasa. Sekiranya air Sungai Ganges tidak diperoleh, air biasa sudah memadai. Air berkenaan direnjis ke atas tulang dan abu yang diletak di atas daun pisang. Kemudian direnjis pula dengan susu. Semua ini dilakukan oleh karmi dengan tunjuk ajar daripada warga emas yang berpengalaman.
Sambil merenjis air dan susu, karmi akan mengulang nama Dewa Shiva, Narayana, Govinda atau mana-mana dewa yang biasa disebut oleh mendiang semasa hayat. Semua tulang perlu dipastikan basah terkena air dan susu yang direnjis.
Karmi juga akan merenjis air pada bunga rampai, sirih, pinang serta nasi yang diletak sebagai simbol “mempersembahkan” barangan itu kepada roh mendiang sebelum roh pergi meninggalkan dunia ini.
Arathi iaitu upacara membakar kapur barus dilakukan di mana piring berisi kapur barus yang menyala perlu dipusing melawan arah pusingan jam.
Dalam budaya dan kepercayaan masyarakat India, pusingan arathi mengikut arah pusingan jam adalah bagi perkara-perkara baik manakala pusingan melawan arah jam adalah bagi perkara-perkara tidak baik dan menyedihkan.
Tulang dan abu jenazah dimasukkan ke dalam sebuah periuk belanga. Susu dan air dituang ke dalam periuk belanga supaya keseluruhan tulang dan abu ditenggelami sepenuhnya.
Karmi akan melangkah masuk ke dalam laut atau sungai sambil diiringi warga emas atau pakar upacara agama. Periuk belanga berisi abu dan tulang dipegang dengan kedua-dua tapak tangan terbuka. Karmi akan berjalan ke dalam laut/sungai sehingga air sampai ke paras dada. Pada masa yang sama, periuk belanga berisi abu dan tulang jenazah dibiarkan tenggelam ke dalam air.
Semasa melakukan upacara menenggelamkan periuk belanga ini, karmi perlu memandang ke arah matahari atau ke arah timur dan berdoa meminta Pencipta mengampunkan serta “menerima kembali” roh mendiang.
Semua yang hadir pada upacara berkenaan akan mandi di sungai/laut dan sama-sama berdoa sebelum pulang. Tapak yang digunakan sebagai tempat melakukan upacara tadi perlulah dibersihkan.
Semua barangan yang digunakan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik dan dibuang dengan cara yang betul. Biasanya, barang-barang dan perkakas yang digunakan bagi upacara menyempurnakan abu dan tulang jenazah tidak dibawa pulang ke rumah. – Bersambung pada 7 Oktober 2011.
(© Uthaya Sankar SB 2004. Artikel ini mula-mula disiarkan dalam majalah Sarina keluaran Oktober & November 2004.)

0 komen:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!