Bagi memastikan upacara menyempurnakan mayat berjalan lancar, beberapa bahan perlu dipastikan tersedia dan mudah diperoleh. Antaranya adalah sebiji belanga kecil dan sebiji lagi bersaiz besar sedikit. Turut diperlukan satu kilogram beras, kain putih/kuning/jingga merah sepanjang 2.5 meter, kapur barus, setanggi, mancis, lampu minyak, sirih dan pinang.
Bunga, daun tulasi, kayu kering, arang, serbuk kunyit, kumkum, tirunur, serbuk cendana, susu serta duit syiling juga diperlukan. Seperti disebutkan sejak awal, bahan-bahan ini adalah bahan am dan mungkin ada tokok-tambah mengikut keturunan dan kelompok masyarakat.
Memandikan Jenazah
Bagi menyempurnakan upacara memandikan jenazah, air biasanya dibawa dari rumah jiran. Sementara itu, kaum-kerabat akan menyapu minyak dan serbuk sintok (siakai) pada dahi si mati. Kemudian barulah dimandikan oleh beberapa orang yang berpengalaman serta rapat dengan si mati.
Jenazah sepatutnya dimandikan dua atau tiga jam sebelum dijadual dibawa ke krematarium di mana jenazah akan dibakar nanti. Proses memandikan jenazah harus dilakukan secara senyap dan tenang. Tempat jenazah dimandikan biasanya akan ditutup dengan kain putih di sekelilingnya.
Kumpulan yang menguruskan jenazah untuk dimandikan perlu berhati-hati agar jenazah tetap berada dalam keadaan sempurna. Semua individu yang memandikan jenazah juga perlu terlebih dahulu menuang air atas tubuh mereka dan kekal basah sepanjang memandikan jenazah.
Selepas jenazah dimandikan, maka akan dipakaikan pakaian baru atau pakaian kegemaran mendiang semasa hayatnya. Kemudian, jenazah ditempatkan di dalam keranda dan diletak di ruang tamu untuk dilihat oleh kaum keluarga dan sahabat handai.
Dahi jenazah lelaki dan balu akan disapu serbuk cendana atau tirunur iaitu serbuk putih yang biasa disapu pada dahi orang India. Bagi wanita yang belum berkahwin atau bagi wanita yang suaminya masih hidup, wajah disapu serbuk kunyit dan dahi dihiasi kumkum iaitu titik merah yang biasa dipakai wanita India.
Jenazah harus diletakkan dalam keadaan sederhana tanpa terlalu banyak dihiasi dengan barang-barang kemas dan perhiasan lain. Sirih dan pinang harus diletakkan di dalam keranda; di sisi kanan jenazah. Ada juga yang meletakkan wang, buah-buahan dan bunga. Jika si mati adalan kanak-kanak atau bayi, biasanya satu pek plastik berisi susu segar akan diletakkan di sisi jenazah.
Berangkat ke Krematorium
Masa yang sesuai untuk membawa jenazah ke krematorium untuk dibakar akan ditetapkan lebih awal dengan merujuk pada sami di kuil. Sejurus sebelum jenazah dibawa keluar, golongan wanita akan diminta menyempurnakan upacara terakhir.
Golongan wanita akan mengelilingi keranda dan meletakkan sedikit beras berhampiran mulut jenazah. Duit syiling juga akan diletakkan di dalam keranda. Selepas semua wanita dalam keluarga terdekat mendiang sudah selesai melakukan upacara itu, barulah kaum-kerabat dan sahabat-handai dijemput untuk melakukan upacara yang sama.
Sepanjang upacara ini, lagu-lagu Thevaram iaitu lagu-lagu suci agama Hindu akan dinyanyikan secara beramai-ramai dengan suara yang perlahan. Tujuannya sudah diterangkan sebelum ini.
Sebenarnya, selain ditujukan kepada roh si mati, nyanyian ini bagi membantu menenangkan jiwa dan emosi orang ramai yang berada di situ.
Jenazah sudah pun bersedia untuk meninggalkan rumah menuju ke krematorium di mana jenazah akan dibakar mengikut budaya India dan agama Hindu. Keranda akan ditutup dan diangkat keluar dari rumah.
Perlu dipastikan bahawa jenazah dibawa dengan kedudukan kaki keluar dahulu dari perkarangan rumah. Kaum wanita tidak dibenarkan keluar dari perkarangan rumah pada waktu ini.
Keranda akan diletakkan di atas tanah atau di atas bangku yang disediakan. Cucu-cucu lelaki mendiang (jika ada) akan diminta memegang unggun kecil yang dibuat menggunakan kulit pokok pisang yang diikat cebisan kain yang disapu minyak sapi. Mereka akan mengelilingi keranda sebanyak tiga kali.
Selepas itu barulah keranda dimasukkan ke dalam kereta jenazah. Keranda yang dibawa menggunakan kereta jenazah akan diiringi dua orang. Orang pertama ialah anak lelaki si mati yang akan melakukan upacara membakar mayat. Seorang lagi biasanya warga emas dalam keluarga si mati.
Sepanjang perjalanan kereta jenazah ke krematorium, anak lelaki si mati akan memegang belanga berisi arang yang dibakar sebaik sahaja mendiang meninggal dunia. Api inilah yang nanti akan digunakan untuk membakar mayat.
Warga emas yang turut berada di dalam kereta jenazah biasanya akan membuang duit syiling sepanjang perjalanan ke krematorium. Perbuatan ini sebenarnya adalah tindakan simbolik untuk menyatakan bahawa walau apapun harta dan kekayaan dimiliki oleh si mati, semuanya sudah ditinggalkan selepas meninggal dunia.
Selepas kereta jenazah pergi, golongan wanita serta sesiapa yang berada di rumah perlu segera membersihkan rumah. Apa-apa perkakas seperti tikar yang digunakan untuk menempatkan jenazah perlu dibuang segera. Mereka juga perlu membasuh pakaian yang dipakai tadi serta mandi dengan menuang air di atas kepala.
Perlu dinyatakan bahawa golongan wanita tidak dibenarkan pergi ke krematorium untuk menyertai upacara membakar mayat. Dalam kepercayaan masyarakat India, dharma atau kebajikan yang dilakukan oleh golongan wanita adalah terhadap keluarga (suami dan anak-anak) di rumah.
Sewaktu mayat si mati dibakar, hanya anak-anak lelaki mendiang yang boleh berdoa dan memohon dosa si mati diampunkan oleh Tuhan. Sebab itulah golongan wanita tidak dibenarkan pergi ke krematorium.
Salah seorang warga emas yang saya temui dalam proses menulis artikel ini mengatakan bahawa ada sebab lain mengapa wanita tidak dibenarkan pergi ke krematorium. Katanya, kaum lelaki biasanya tidak mahu menunjukkan emosi sedih di hadapan wanita. Jadi, kaum lelaki biasanya tidak menangis di rumah si mati.
Sebaliknya, apabila berada di krematorium, hanya golongan lelaki yang berada di situ. Maka, mereka boleh meluahkan rasa sedih dengan cara menangis tanpa perlu takut dilihat oleh kaum wanita! – Bersambung pada 21 September 2011.
(© Uthaya Sankar SB 2004. Artikel ini mula-mula disiarkan dalam majalah Sarina keluaran Oktober & November 2004.)

0 komen:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!