Wednesday, 16 February 2011

Kalki – Bahagian 4

Baca Bahagian 1 DI SINI
.

Pada masa yang sama, Kalki mementingkan penggunaan Bahasa Tamil yang betul. Keadaan ini mungkin agak ironis kerana sebagai seorang pengarang yang mempunyai latar kewartawanan, Kalki sering menulis secara tergesa-gesa tanpa berpeluang mengedit karya sebelum diterbitkan.

.

Bagi pengarang sastera Tamil – di Tamil Nadu mahu pun di Malaysia – kecintaan Kalki terhadap Bahasa Tamil amat disanjung sehingga wujud istilah “Kalki Tamil” yang merujuk pada gaya penulisan Kalki yang asli serta berakar-umbikan linguistik tradisional dan latar tempatan.

.

Kalki diakui sebagai perintis sastera moden Bahasa Tamil. Dalam bidang penulisan cerpen pula, beliau dianggap melanggar syarat-syarat dan kriteria sebuah cerpen. Aspek yang paling ketara adalah bahawa Kalki ketara menulis cerpen yang terlalu panjang sehingga menyamai sebuah novela atau pun sebuah novel yang sengaja dipendekkan.

.

Satu lagi aspek yang menarik dalam cerpen-cerpen Kalki adalah kehadiran watak pencerita yang bercakap secara langsung kepada para pembaca. Dalam cerpen “Kanaiyazhiyin Kanavu” (Ananda Vikatan, 1934) misalnya, Kalki menulis:

.

Sakuntalai … Ini bukan nama sebenarnya. Saya menukarnya kerana takut para pembaca tidak boleh bertolak ansur terhadap kehadiran satu lagi nama daripada epik Ramayana.

.

Dalam cerpen “Puliraja” (Kalki, 1941), beliau menulis:

.

Saya telah tampil untuk menceritakan kepada anda mengapa dia mula dikenali dengan gelaran Raja Harimau.

.

Begitu juga dalam cerpen “Tiruvazhundur Sivakozhundu” (Ananda Vikatan, 1939) di mana Kalki bercerita begini:

.

Tidak, anda tentu tidak pernah mendengar tentang Kandappan dari Iyampettai kerana saya sudah pun mengubah nama watak dan tempat.

.

Cerpen “Idinda Kootai” (Ananda Vikatan, 1940) pula bermula begini:

.

Baru-baru ini, apabila saya mengunjungi seorang rakan lama, anak gadisnya bertanya, ‘Pak cik, mengapa pak cik sudah berhenti menulis cerita?’ Saya memberikannya pelbagai alasan. Perang menyebabkan kertas sukar didapatkan; bagaimana saya boleh menyiarkan cerpen pengarang lain dalam Vikatan jika saya terus menulis; dan sebagainya. Sekarang saya akan menceritakan kepada anda punca sebenar saya berhenti menulis.

..

Secara keseluruhan, karya-karya Kalki mengungkapkan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan, hak kaum wanita, isu kasta, keagungan keturunan Tamil, isu-isu politik, idealisme yang dibawa oleh Mahatma Gandhi, mengimbau sejarah serta unsur parodi dan satira yang disampaikan secara penuh seni menggunakan Bahasa Tamil moden yang mudah difahami. – BERSAMBUNG DI SINI

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!