Tuesday, 15 February 2011

Kalki – Bahagian 3

Baca Bahagian 1 DI SINI
.

Sejarahwan serta pengkaji di India mengakui bahawa fakta yang disampaikan dalam karya fiksyen oleh Kalki adalah tepat. Bagi memastikan kesahihan fakta, Kalki sering melakukan kajian terperinci melalui pembacaan serta kerja lapangan. Tidak hairanlah ada pihak yang mengatakan bahawa ramai penduduk Tamil Nadu mengetahui sejarah mereka melalui karya-karya Kalki berbanding pembacaan buku-buku sejarah.

.

Bagi Kalki sendiri, beliau menganggap novel Alai Osai sebagai karya terbaik beliau. Novel berkenaan menggambarkan kisah pergolakan selama beberapa dekad sebelum India mencapai kemerdekaan.

.

Novel-novel Kalki tersiar secara bersiri dalam majalah-majalah mingguan; khususnya Ananda Vikatan dan Kalki. Beliau mempunyai ramai peminat setia yang tidak sabar untuk menatap novel bersiri beliau pada setiap minggu. Golongan yang buta huruf turut meminati karya beliau di mana seorang wakil akan bertindak sebagai pembaca untuk didengar oleh anggota keluarga atau jiran-tetangga.

.

Karya-karya Kalki (khususnya novel dan cerpen) memang sesuai dibaca dengan suara lantang untuk didengar dan dinikmati oleh khalayak. Orang ramai yang pernah membaca cerpen dan novel Kalki tentu mengakui bahawa karya-karya beliau bukan ditulis untuk dibaca oleh pembaca. Sebaliknya Kalki seperti hadir di hadapan pembaca dan sedang bercerita secara langsung kepada khalayak.

.

Bagi Kalki, pembaca adalah rakan-rakan yang dikenali dan mentaliti mereka perlu dihormati. Kalki mengharapkan penglibatan aktif pembaca terhadap karya yang dibaca. Beliau tidak mahu ‘bercerita’ kepada ‘pendengar’ yang pasif. Apatah lagi, karya-karya beliau boleh dibaca pada pelbagai lapis makna kerana pasti ada yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.

.

Apa yang pasti, rata-rata karya Kalki sarat dengan idealisme anti keganasan serta kesedaran sosial yang banyak dipengaruhi oleh perjuangan Mahatma Gandhi. Seorang tokoh agama bernama Rajagopalachari juga bertindak sebagai pembimbing beliau dalam bidang kerohanian. Pengaruh kedua-dua individu berkenaan akan nyata sekiranya karya-karya Kalki dikaji secara teliti.

.

Kalki turut mengakui bahawa beliau bukan menulis karya untuk golongan elit. Sebaliknya khalayak sasaran beliau adalah khalayak umum; termasuk golongan wanita yang sering dikaitkan dengan kerja-karja di dapur. Satu lagi kelompok sasaran Kalki adalah generasi muda di India yang lebih mementingkan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Tamil.

..

Pengarang ini ternyata pencinta Bahasa Tamil. Beliau menolak konsep “seni untuk seni” dan menyokong konsep “seni untuk masyarakat”. Bagi memungkinkan mesej sampai kepada masyarakat, Kalki percaya bahawa sebuah karya perlu disampaikan dalam Bahasa Tamil yang mudah dan jelas. – BERSAMBUNG DI SINI

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!