Monday, 14 February 2011

Kalki – Bahagian 2

Baca Bahagian 1 DI SINI
.

Sewaktu terlibat dalam gerakan nasionalisme itulah Kalki mula mendekati dunia kewartawanan. Beliau mendapat bimbingan daripada Kalyanasundara Mudaliar yang menangani jurnal Navasakti di Madras pada waktu itu.

.

Rajagopalachari yang mengendalikan majalah Vimochanam di Gandhi Ashram, Tiruchengodu pula mempelawa Kalki menjadi editor majalah berkenaan. Beliau juga mula aktif mengirim bahan ke majalah Ananda Vikatan sehingga akhirnya penerbit majalah berkenaan, S.S. Vasan melantik Kalki menjadi editor bagi Ananda Vikatan.

.

Majalah tersebut mula menjadi terkenal kerana kelantangan bersuara. Kalki juga mula mengasah bakat-bakat baru dalam bidang penulisan. Penulis wanita turut dibimbing dan diberi peluang sama rata untuk meluahkan pandangan dan pemikiran melalui karya kreatif dan bukan kreatif.

.

Pada tahun 1941, Kalki mendapat bantuan dana daripada rakan beliau, T. Sadasivam serta isterinya, M.S. Subhulakshmi (penyanyi terkenal lagu-lagu karnatik; meninggal dunia pada 11 Disember 2004) untuk menerbitkan majalah Kalki yang terus unggul hingga ke hari ini.

.

Sebelum menggunakan nama pena “Kalki”, R. Krishnamurthy pernah menggunakan nama-nama samaran Tumbi, Tamil Teni, Karnatakam, Langulan, Agastyar, Ra Ki, Yaman, Vivasayi, Petron, Guhan serta Tamil Magan.

.

Nama pena “Kalki” pula adalah gabungan suku kata “kal” dan “ki”. “Ki” dipercayai adalah suku kata pertama pada nama beliau di mana dalam Bahasa Tamil, nama ‘Krishnamurthy’ ditulis sebagai ‘Kirishnamurthy’. Suku kata “kal” pula dipercayai diambil daripada nama Kalyanasundara Mudaliar yang dianggap sebagai guru pertama kepada Krishnamurthy dalam bidang kewartawanan.

.

Kalki juga dilaporkan pernah memberitahu wartawan akhbar bahawa beliau memilih nama “Kalki” sempena avatara terakhir Dewa Vishnu dalam mitos Hindu yang dipercayai akan muncul pada kaliyuga iaitu akhir zaman.

.

Dalam bidang penulisan, Kalki ternyata seorang pengarang yang prolifik dan serba boleh. Beliau menulis esei politik, propaganda reformis, catatan perjalanan, kritikan muzik dan tarian, ulasan filem, biografi, lirik lagu, sajak, skrip filem, cerpen, novel serta menterjemah karya ke Bahasa Tamil.

.

Novel sulung Kalki berjudul Kalvanin Kadali manakala novel terakhir, Amaratara, tidak sempat dihabiskan kerana beliau meninggal dunia pada 5 Disember 1954. Namun begitu, novel berkenaan berjaya diselesaikan oleh anak beliau berdasarkan nota-nota dan catatan yang ditinggalkan oleh Kalki.

.

Novel-novel lain oleh Kalki termasuk Alai Osai, Ponniyin Selvan, Sivakamiyin Sapatham, Parthiban Kanavu dan Tyagabhumi. Karya beliau biasanya berciri faksyen iaitu gabungan antara fiksyen dan fakta. Kalki ketara menggunakan latar era Pallava dan Chola serta menggambarkan seni, budaya dan sastera pada zaman keagungan kedua-dua kerajaan berkenaan. – BERSAMBUNG DI SINI

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!