30 Sept 2009

Cikgu Arunegeri dan Rakan-rakan

Rakan sebilik saya ialah Cikgu Arunegeri Thannimalai, seorang guru di SMK Jalan Oya, Sibu. Melalui beliau, saya mendapat gambaran agak menyeluruh mengenai masyarakat pelbagai kaum/etnik di Sibu.

Juga mengenai isu-isu berkaitan golongan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar, khususnya di Sibu.

Cikgu Arun turut memperkenalkan saya kepada beberapa rakan kaum India yang bekerja sebagai polis di Sibu. Melalui perbualan santai bersama Thana dan Navin, banyak maklumat baru yang saya terima.

Menurut Cikgu Arun, Thana dan Navin, memang tidak ramai kaum India di Sibu. Kebanyakan yang ditemui adalah sama ada guru, polis, tentera, peniaga atau doktor.

Pada sebelah malam 30 September 2009, Puan Norhayati Razali (Penolong Pengarah, Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) mengendalikan sesi “ice-breaking” bagi kesemua peserta dan guru pengiring.

Saya tidak melepaskan peluang untuk turut serta! Bagi saya, kehadiran saya ke Sibu biarlah bukan sekadar untuk mengendalikan sesi bengkel selama empat jam dan kemudian membuat kerja sendiri.

(Dan tentu sahaja saya tidak melepaskan peluang merakam foto untuk dimuatkan di Facebook untuk tatapan rakan-rakan.)

Saya mula-mula mengenali Puan Norhayati melalui Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Kemudian, kami bertemu beberapa kali; mungkin kerana mempunyai impian dan minat yang sama dalam mengembangkan budaya membaca dan menulis.

Malah, semasa beliau mengendalikan sesi “ice-breaking” itu sendiri, dapat saya perhatikan bagaimana beliau amat berminat dan bersemangat dalam menjayakan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca.

Selesai acara, saya bersama-sama Cikgu Arun, Thana dan Navin meronda Sibu sambil saya didedahkan dengan pelbagai lagi kisah dan cerita mengenai masyarakat di sini.

Apa Khabar Orang Sibu?

Pada 30 September 2009, seawal 6:00 pagi, saya memandu bersama Rajan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Selepas mendaftar masuk, kami makan “Twister” dan minum “the tarik kaw” di KFC sambil berbual-bual. Kemudian, Rajan membawa kereta saya pulang.

Penerbangan MH2712 yang berlepas pada pukul 8:50 pagi mengambil masa sekitar dua jam untuk sampai di Lapangan Terbang Sibu.

Semasa dalam penerbangan, saya membaca akhbar The Star dan mendapat beberapa perkembangan mutakhir. Misalnya, kematian K. Sujatha pada 25 Jun 2007 adalah akibat membunuh; dan Presiden MIC akan mengambil cuti selama dua bulan.

Beberapa kawasan di Sarawak juga dilaporkan mengalami jerebu. Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pukul 11:00 pagi semalam di Sibu adalah 117, manakala bacaan 111 dicatatkan di Sarikei dan Sri Aman.

Kunjungan sulung saya ke Sibu disambut jerebu dan cuaca 30 darjah Celsius. Seorang petugas dari Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Sibu-Mukah sedia menunggu untuk membawa saya ke Hotel Kingwood yang terletak di tebing Sungai Rajang.

Perjalanan (tanpa kesesakan) dari lapangan terbang ke hotel adalah sejauh 26 kilometer. Pada waktu itulah saya terasa malu sendiri kerana sehingga kini, saya masih tidak tahu kedudukan Sibu pada peta negeri Sarawak!

Dalam kes saya, nampaknya benarlah seperti apa yang saya catatkan pada ruangan status di rangkaian sosial Facebook saya: “Dunia semakin kecil tetapi Sibu tetap jauh.”

Semasa sedang mendaftar masuk di Hotel Kingwood, saya bertemu Puan Norhayati Razali (Penolong Pengarah, Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) yang sedang sibuk membuat persiapan bagi Program Sumbangan Buku dan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca Daerah Sibu.

Dari Bilik 1019 di Tingkat 10, saya dapat melihat keadaan yang berjerebu di Sibu. Melalui laporan berita CNN di televisyen pula, saya mendapat sedikit maklumat mengenai gempa bumi di Sumatera. Juga mengenai banjir dan ribut yang melanda Filipina.

Segera saya teringat pada rakan-rakan di Bilik Operasi Unit Bencana RTM. Selamat bertugas!

Saya cuba mengemaskini blog serta memuatkan foto di Facebook. Malangnya WiFi di Bilik 1019 tidak berapa baik. Maka, saya menaip catatan untuk dimuat naik kemudian; apabila berpeluang.

26 Sept 2009

Formula 1Malaysia?

Akhbar-akhbar perdana pada 21 September melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap amalan rumah terbuka dapat dijadikan satu budaya yang menyerlahkan semangat 1Malaysia sebagai gagasan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Foto-foto yang disiarkan pula secara amat sengaja menunjukkan individu kaum Melayu, Cina dan India sama-sama menganyam ketupat atau makan.

Lalu, bagi sekian kalinya sejak April 2009, saya tertanya-tanya, apakah itu sahaja yang dimaksudkan dengan 1Malaysia?

Saya selalu menulis mengenai konsep “Bangsa Malaysia” di blog saya kerana konsep itu memang menjadi pegangan dan impian saya.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca pandangan saya yang disiarkan dalam The Malaysian Insider pada 25 September 2009.

18 Sept 2009

Readings - Nayagi

Saya dijadual akan membaca petikan cerpen “Nayagi” (Siru Kambam, 1996) pada acara “Readings” di Bangsar pada Sabtu, 26 September 2009.

Rakan saya dari Monash University, Puan Shyamala Dhoraisingam pula akan membacakan petikan versi Bahasa Inggeris cerpen berkenaan yang termuat dalam Sea of Rainbows (2009).

Dapatkan maklumat mutakhir mengenai “Readings” di blog Sharon Bakar.

17 Sept 2009

Jom Bergaya dengan Buku di Sabah, Sarawak, Pahang dan Johor

Sempena Program Sumbangan Buku dan Pengembangan Budaya Membaca anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), saya diundang mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk mengendalikan aktiviti “Jom Bergaya dengan Buku!” di empat tempat pada Oktober 2009.

Program ini adalah sebagai kelangsungan daripada Pelancaran Sumbangan Buku yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Haji Alimuddin Hj Mohd Dom pada 23 April 2009 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Saya akan mengendalikan aktiviti di Sibu, Sarawak (1 Oktober 2009), Sandakan, Sabah (6 Oktober 2009), Kuantan, Pahang (20 Oktober 2009) dan Mersing, Johor (27 Oktober 2009).

Pasti sahaja saya akan membawa Orang Dimensi (1994), Hanuman: Potret Diri (1996), Siru Kambam (1997), Surat Dari Madras (1999), Rudra Avatara (2008) dan Kathakali (2009) untuk dijual kepada khalayak yang berminat memiliki buku-buku berkenaan.

Saya juga berharap dapat meluangkan masa untuk mengenali penduduk dan budaya tempatan.

16 Sept 2009

Unnaipol Oruvan

Filem terbaru lakonan Kamal Hassan, “Unnaipol Oruvan” sedang hangat diperkatakan oleh peminat filem Tamil.

Filem berkenaan akan mula ditayangkan di Malaysia pada 18 September 2009; sempena sambutan Aidil Fitri.

Pada 16 September 2009, saya mengemukakan pertanyaan pada status di Facebook: Bagaimana jika seseorang sudah menonton “A Wednesday”; apakah kesan “kehebatan” masih sama?

Untuk makluman, tajuk asal bagi "Unnaipol Ouvan" adalah "Thalaivan Irukkindran". Pengarah filem ini ialah Chakri Toleti. Semasa usia 8 tahun, dia pernah berlakon dalam filem "Salangai Oli" (“Sagara Sangamam” dalam Telegu) sebagai jurukamera. Juga watak kecil dalam "Dasavatharam".
.
Filem “Unnaipol Oruvan” diubahsuai daripada filem Hindi "A Wednesday" (2008) arahan Neeraj Pandey; lakonan Naseruddin Shah dan Anupam Kher.
.
Sila KLIK DI SINI untuk menoton "trailer" di laman sesawang rasmi "Unnaipol Oruvan".

12 Sept 2009

Stok Akhir Buku-buku dari Kubur

Pada 11 September 2009, saya menerima stok akhir “Buku-buku dari Kubur” yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

(Untuk membasahkan ingatan – atau jika saudara belum tahu – sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya.)

Di samping mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang memberi sokongan moral dengan membeli buku-buku berkenaan daripada saya melalui pos, ingin juga saya nyatakan bahawa tawaran harga istimewa – “Harga dari Kubur” – hanya sah sehingga 28 September 2009.

Selepas tarikh itu, sekiranya masih ada stok, maka akan dijual dengan harga biasa yang tentunya lebih tinggi daripada “Harga dari Kubur”.

Harga tawaran sehingga 28 September 2009 adalah RM20.00 bagi pakej 4 buku berikut (TIDAK termasuk kos penghantaran melalui pos):

1) Orang Dimensi (1994, Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia)
2) Hanuman: Potret Diri (1996, Novel Parodi Retorik Bahasa Malaysia)
3) Siru Kambam (Cetakan Kedua 1997, Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia)
4) Surat Dari Madras (1999, Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99)

Sekiranya buku perlu dikirim melalui pos ke mana-mana destinasi di Malaysia, sila tambah RM5.00 menjadikan jumlah keseluruhan RM20.00 + RM5.00 = RM25.00 sahaja.

Sekiranya saudara berminat membeli “Buku-buku dari Kubur” dengan “Harga dari Kubur”, sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my SEBELUM 28 September 2009 supaya saya boleh memberikan nombor akaun CIMB Bank Berhad dan menerangkan langkah seterusnya.

(Maaf, SMS akan dibaca tetapi tidak akan dijawab. Dan maaf, tawaran “Harga dari Kubur” berakhir pada 28 September 2009.)

Pembelian secara tunai juga boleh dilakukan dengan berjumpa terus dengan saya. Bagi pembelian secara tunai, harga adalah RM20.00 sahaja kerana tidak melibatkan kos penghantaran melalui pos.

Untuk pembelian tunai secara terus, sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 012-3368142 untuk mengatur pertemuan di tempat-tempat terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Shah Alam.

(Maaf, SMS akan dibaca tetapi tidak akan dijawab. Dan maaf, tawaran “Harga dari Kubur” bagi pembelian secara tunai juga berakhir pada 28 September 2009.)

Saya terpaksa meletakkan pelbagai syarat dan panduan yang “melecehkan” – tetapi sebenarnya amat mudah dan memudahkan – kerana saya, seperti biasa, sedang menguruskan 1008 perkara pada masa yang sama.

Dan, oh ya, saya juga tidak memiliki daya ingatan yang baik – seperti yang ada saya ceritakan dalam salah sebuah “Buku-buku dari Kubur”.

11 Sept 2009

Kuil, Babi dan Kepala Lembu

Pengalaman saya “melawat” Seksyen 23, Shah Alam pada 2 dan 4 September 2009 telah saya tulis di blog ini.

Catatan berkenaan dikemaskini dan disiarkan di The Malaysian Insider dengan tajuk “Kuil, Babi dan Kepala Lembu” pada 11 September 2009.

Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.

Pada petang 11 September 2009, saya sekali lagi singgah di Seksyen 23, Shah alam. Kepingan zink yang ditulis kata-kata protes dan lukisan babi sudah tiada.

Sebuah jentera (jentolak) sedang digunakan untuk menumbangkan pokok-pokok di kawasan berkenaan.

Sepanduk “profesional” yang diikat pada pokok sudah tiada. Maki-hamun pada batang paip besar di tepi jalan masih ada.

Ternyata “Penganjur & Peserta Perarakan Kepala Lembu” belum menyusun aktiviti gotong-royong bagi “membersihkan” Seksyen 23, Shah Alam daripada “pencemaran” yang mereka lakukan.

Lihat foto-foto 11 September 2009 di Facebook saya.

9 Sept 2009

Bengkel Cerpen Kavyan

Ingin belajar teknik menulis cerpen yang bermutu? Saya akan mengendalikan “Bengkel Cerpen Kavyan” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Sekretariat Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLL) MCA pada 20 Disember 2009 (Ahad) di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Sila KLIK DI SINI untuk mendapatkan maklumat lanjut.

6 Sept 2009

Pertandingan Fotografi Kavyan

Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan Pertandingan Fotografi Amatur bertema “Jom Bergaya dengan Buku!” di mana foto-foto yang dihantar bagi tujuan pertandingan ini perlu diambil menggunakan telefon bimbit.

Dapatkan maklumat terperinci di blog Kavyan – SILA KLIK DI SINI.

Harap sudi promosikan juga kepada saudara-mara, rakan-rakan, sekutu dan seteru.
.
Nota: Foto sekadar hiasan.

5 Sept 2009

Naai Sangili


Cerpen Bahasa Tamil “Paasa Sangili” (Rantai Kasih) adalah terjemahan sah bagi cerpen “Anjing” yang termuat dalam Kathakali (2009).

Cerpen berkenaan mempunyai kisah tersendiri; selain daripada kisah yang pernah saya catatkan sebelum ini (baca DI SINI).

Cerpen “Anjing” yang pertama kali disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (26 April 1998) telah saya tulis selepas perbualan kecil bersama Ganesan Duraisamy pada awal 1998.

Ganesan yang menyertai Minggu Penulis Remaja pada tahun 1997 mengatakan bahawa dia menghadapi masalah mencari idea bagi menulis cerpen.

Lalu, saya menceritakan kepadanya mengenai suatu kisah yang pernah saya dengar daripada ibu saya mengenai seorang pemandu bas dan seekor anjing.

Saya meminta Ganesan supaya cuba menulis sebuah fiksyen berdasarkan kisah benar itu.

Bagaimanapun, akhirnya saya sendiri yang menghasilkan sebuah cerpen apabila kisah itu terus bermain dalam minda saya.

Pada Julai 2009, Hemanthakumar Nagappan membantu usaha menterjemah cerpen “Anjing” ke Bahasa Tamil dengan judul awal “Naai” (Anjing).

Sebelum manuskrip cerpen berkenaan diserahkan kepada penilai di MinnalFM, judul ditukar kepada “Naai Sangili” (Rantai Anjing).

Baru-baru ini, penerbit di MinnalFM, K. Kavitha memaklumkan bahawa cerpen “Naai Sangili” diluluskan untuk siaran tetapi judul ditukar menjadi “Paasa Sangili” (Rantai Kasih).

Cerpen berkenaan boleh didengar menerusi MinnalFM pada Ahad, 6 September 2009, pukul 10:45 pagi.

Saya juga tidak sabar untuk mendengarnya, dengan izin Tuhan. Sila klik di sini untuk membaca ulasan cerpen "Anjing" oleh Anuradha Chelliah.

4 Sept 2009

Kembali ke Seksyen 23

Catatan ini adalah lanjutan daripada catatan bertarikh 3 September 2009 (Sila KLIK DI SINI untuk membacanya).

Pada pagi 4 September 2009, saya memutuskan untuk pergi semula ke Seksyen 23, Shah Alam untuk meninjau secara lebih dekat mengenai situasi sebenar di sana.

Saya pergi dengan fikiran terbuka; dan sudah memutuskan untuk membuat catatan di blog mengenai apa yang saya lihat dan dengar.

Perkara pertama yang saya lihat sebaik tiba di Seksyen 23 adalah bahawa tembok yang bertulis kata-kata protes sudah dibersihkan; dicat semula (lihat foto).

Saya terus memandu sekitar Seksyen 23 dan melihat suasana yang tenang dan aman. Tiada sebarang tanda bahawa penduduk berlainan kaum/agama yang merupakan “penghuni sebenar” kawasan ini mengalami krisis.

Apapun, tidak lama kemudian, saya melihat tulisan bernada protes pada pagar zink yang dibina mengelilingi suatu kawasan. Tulisan-tulisan itu bagaimanapun sudah “dipadam” dengan cat warna lain.

Saya merakamkan foto menggunakan telefon bimbit untuk dimuatkan di Facebook (sila ke SINI) supaya orang ramai yang tidak berpeluang untuk pergi ke Seksyen 23 boleh “melihat” sendiri apa yang saya sempat perhatikan.

Sambil berjalan-jalan dan mengambil foto, saya sempat juga berbual-bual secara spontan dengan beberapa penduduk pelbagai kaum/agama.

Kemudian, saya sengaja pergi ke beberapa kedai makan untuk minum. Di situ, sempat juga mendengar perbualan mengenai isu kuil dan protes.

Berikut antara luahan yang saya dengar daripada penduduk pelbagai kaum/agama selama hampir sejam berada di Seksyen 23:

1) Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya berbincang dengan penduduk Seksyen 23 sebelum membuat keputusan mengenai pemindahan kuil dari Seksyen 19.

2) Kalau ada cadangan membina tokong, adakah mana-mana pihak akan mengarak kepala babi ke Bangunan SUK?

3) Kenapa kuil di Seksyen 19 dipindahkan?

4) Tidak semua penduduk pelbagai kaum di Seksyen 23 terlibat dalam protes.

5) Penduduk Seksyen 23 memang pelbagai kaum dan hidup aman.

6) Protes dan perbuatan mengarak kepala lembu amat memalukan.

7) Penduduk kaum India (beragama Hindu) hanya berdiam diri.

8) Orang politik jangan masuk campur.

9) Jangan jadikan isu politik untuk kepentingan peribadi.

10) MBSA perlu bersihkan contengan di dinding dan paip besar dengan segera.

11) Perlu kenakan tindakan terhadap orang yang menconteng kata-kata kesat dan menghina.

12) Eloklah anggota polis yang begitu ramai di Seksyen 25 (Taman Sri Muda) dipinjamkan sementara ke Seksyen 23.

Demikian antara perkara yang saya ingat; kerana saya tidak membuat catatan secara bertulis sewaktu berada di Seksyen 23.

Catatan ini menjadi asas bagi sebuah artikel yang saya tulis untuk The Malaysian Insider. Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.

Onam 1Malaysia

Menjelang sambutan Onam pada 2 September 2009, saya memohon cuti di tempat kerja. Sebagaimana lazim, majoriti tidak pernah mendengar mengenai Onam. Atau menganggapnya sebagai upacara keagamaan di kuil.

Saya secara peribadi sudah tidak hairan dengan segala “kejahilan” Bangsa Malaysia yang hanya mengenali Deepavali, Thaipusam dan Ponggal apabila bercakap mengenai perayaan kaum India.

“Bangsa Malaysia” yang saya maksudkan pasti sahaja termasuk juga kaum India sendiri yang ketara menganggap dan mengandaikan bahawa semua penduduk kaum India di seluruh dunia adalah orang Tamil, hanya tahu Bahasa Tamil, beragama Hindu dan hanya merayakan Deepavali, Thaipusam dan Ponggal.

Onam secara tradisi disambut oleh penduduk di negeri Kerala, bahagian selatan India. Malah, di Kerala, sejak tahun 1961, Onam merupakan perayaan rasmi peringkat negeri dan diraikan secara besar-besaran.

Catatan saya di The Malaysian Insider pada 4 September 2009 boleh dibaca dalam Mandala Bicara.

3 Sept 2009

Seksyen 23, Shah Alam

Terus-terang, saya pada mulanya kurang berminat mengikuti perkembangan isu berkaitan cadangan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke tapak seluas 0.2 hektar di Seksyen 23, Shah Alam.

Saya tidak berminat walaupun rumah saya terletak di Seksyen 25 dan selalu juga saya melalui Seksyen 19 dan Seksyen 23. Bagi saya, ia perkara biasa.

Saya ada terbaca pada 18 Ogos 2009 bahawa Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Badan Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 mahu mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pemindahan kuil berkenaan.

Terus-terang, entah mengapa saya tetap tidak hairan apabila mendengar berita di Bernama Radio24 mengenai tindakan 200 penduduk Islam dan beberapa NGO berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selepas Solat Jumaat baru-baru ini.

Khabarnya, UMNO Selangor menyifatkan keputusan kerajaan Selangor mahu mengadakan perbincangan dengan penduduk Islam Seksyen 23 yang membantah keras pembinaan kuil di kawasan mereka sebagai “sudah terlambat”.

MCA pula kesal dengan tindakan penduduk terbabit dan beberapa NGO yang berarak membawa kepala lembu.

Penduduk Seksyen 23 pula dilaporkan menyalahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri, Dr A. Xavier Jayakumar sebagai pencetus yang mendorong demonstrasi mengarak kepala lembu untuk membantah pembinaan kuil.

Khabarnya, penunjuk perasaan terbabit tidak pernah merancang membawa kepala lembu ketika mengadakan perhimpunan itu.

Bagaimanapun, mujurlah pihak polis diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang sengaja mencetuskan pertelingkahan kaum; termasuk 200 penduduk Islam yang berarak membawa kepala lembu itu.

Dalam pada itu, saya amat tertarik membaca pandangan Abdullah Bukhari Abdul Rahim, pensyarah Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Utusan Malaysia pada 31 Ogos 2009.

Beliau menyifatkan tindakan kumpulan yang mengarak serta memijak kepala lembu itu sebagai golongan yang jahil dan mempamerkan kebiadapan melampau.

“Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam,” katanya dalam tulisan yang saya baca di akhbar dalam talian.

Selain memetik ayat al-An'am [6:10] dari al-Quran, pensyarah itu turut melontarkan pertanyaan ini:

“Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.”

Saya turut tertarik dengan penjelasan beliau mengenai hak penganut agama-agama lain yang berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan harbi (memusuhi Islam).

Semasa bersarapan bersama anak-anak di Seksyen 23, Shah Alam pada 2 September 2009 sempena Onam, saya sempat melihat “luahan perasaan” pihak tertentu pada sebuah tembok.

Dan saya tetap lebih berminat terhadap pandangan pensyarah dari Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan lanjut berhubung perkara ini.

1 Sept 2009

Selamat Menyambut Onam

Selamat menyambut Onam pada 2 September 2009 bagi masyarakat India berketurunan Malayali.
.
Secara tradisi, Onam adalah perayaan yang bukan berciri keagamaan. Maka, di Kerala, India, Onam disambut bersama oleh penduduk Malayali (Malayalam) beragama Hindu, Kristian dan Islam.
.
Apapun, semangat "Satu Malaysia" ternyatakan tetap tidak memungkinkannya.
.
Catatan: Saya bercuti daripada tugas-tugas di RTM pada 2 & 3 September 2009.