29 Aug 2009

Kavyan mungkin hilang pada 26 Oktober 2009

Pada 22 Ogos 2009, genaplah sepuluh tahun sejak tarikh pertemuan pertama tidak rasmi diadakan oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India yang membawa kepada penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Mengimbau kembali pengalaman sedekad lalu membawakan pelbagai kenangan pahit dan manis. Sebagai seorang yang amat pelupa, dokumentasi serba lengkap di ruang siber memudahkan saya sendiri membuat rujukan apabila perlu mengenai Kavyan.

Saya ingin bernostalgia sedikit sebelum segalanya hilang pada 26 Oktober 2009.

Saudara boleh membaca catatan saya mengenainya di The Malaysian Insider pada 29 Ogos 2009 – KLIK DI SINI.

28 Aug 2009

Mrs Ho @ Cikgu Neo Kee Boon

Pada 28 Ogos 2009, sekitar pukul 1:00 tengah hari, saya bersama-sama Devishi dan Ashwini (anak saudara) cuba mencari rumah Cikgu Neo Kee Boon di Taman Kerjasama, Jalan Izuddin Shah, Taiping.

Kami mahu memberikan senaskhah Rudra Avatara dan Kathakali kepada bekas guru berkenaan.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bertemu beliau. (Kali terakhir saya ke Taiping adalah pada Ogos 2006.)

Cikgu Neo Kee Boon merupakan guru kelas sewaktu saya di Darjah Enam, di SRK Convent Aulong.

Pada waktu itu, kami mengenali beliau sebagai Mrs Ho.

(Ada sedikit kisah diceritakan dalam cerpen “e-mel untuk anda” yang termuat dalam Kathakali. Malangnya, entah mengapa, saya tersalah taip nama beliau sebagai Ng Kee Boon! Jika anda memiliki senaskhah buku Kathakali, sila ke halaman 140 dan betulkan nama beliau.)

Bagaimanapun, apabila bertemu semula dengan Mrs Ho selepas tahun 2000, saya mendapat tahu bahawa beliau sudah bercerai dan kembali menggunakan nama asal.

Berbalik pada cerita tadi, akhirnya kami bertiga berjaya mengesan rumah beliau di Taman Kerjasama.

Malangnya, kami dimaklumkan bahawa beliau sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Saya boleh membayangkan Cikgu Neo Kee Boon berbasikal di jambatan Jalan Muzaffar Shah (berhampiran Stesen Kereta Api Taiping), lalu dilanggar sebuah van yang hilang kawalan.

Semoga roh mendiang aman di sisi Tuhan.

Nota: Foto Devishi dan Cikgu Neo dirakam pada 2 Mei 2003.

27 Aug 2009

Aulong Lama

Saya dan Devishi Prabha Sankari sempat ke Aulong Lama, Taiping pada tengah hari, 27 Ogos 2009.

Banyak yang sudah berubah di kampung kecil itu yang merupakan tempat kelahiran saya.

Peta yang terdapat dalam telefon bimbit Nokia 5800 saya menyebut jalan sebelum masuk ke Aulong Lama sebagai “Jalan Masjid” sedangkan sejak kecil, saya mengenali jalan itu sebagai “Jalan Surau”.

Sewaktu ke Aulong Lama, saya dan Devishi berhenti untuk melihat papan tanda jalan. Benarlah jalan itu kini dikenali sebagai “Jalan Masjid” – mungkin kerana surau di jalan itu kini sudah menjadi sebuah masjid.

Maka, kepada sesiapa yang (mungkin) menjadikan cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, 2008) sebagai panduan jalan untuk sampai ke Siru Kambam, sila kemas kini “Jalan Surau” kepada “Jalan Masjid”.

Oh, ya! Jika ada sesiapa bercadang mengesan Aulong Lama atau Siru Kambam pada peta, lupakan sahaja. Kedua-duanya belum wujud pada peta; termasuk Google dan GPS.

Kami singgah berbual dengan Puan Veni (foto, paling kanan) yang tinggal di Lorong B, Aulong Lama. Beliau menceritakan bahawa penghuni di kawasan berkenaan akhirnya sudah diberi hakmilik tanah.

Syukurlah! Penantian penduduk Aulong Lama sejak awal tahun 1970-an akhirnya membuahkan hasil. Cuma, saya berharap, segalanya tidak musnah akibat permainan politik mana-mana pihak.

Benar, Aulong Lama dan Siru Kambam sudah amat banyak berubah.

Saya masih ingat, pada tahun1997, sewaktu saya membawa anak sulung saya, Ganesan Duraisamy ke sini, dia bertanya di mana pokok banyan yang saya gambarkan dalam cerpen-cerpen berlatarkan Siru Kambam!

Mujurlah anak bongsu saya, Devishi Prabha Sankari belum lagi membaca kisah-kisah yang berlatarkan Siru Kambam.

Cuma, Devishi berminat untuk melihat tapak rumah di mana saya membesar. Sudah tiada rumah di tapak itu; hanya semak. Kami hanya merakamkan foto semak itu (foto) sebagai kenangan.

Mungkin apabila saya datang semula ke sini, Aulong Lama dan Siru Kambam sudah tiada lagi; kecuali sebagai nostalgia dalam cerpen-cerpen yang saya hasilkan.

Mungkin itu juga salah satu sebab Tuhan menganugerahkan saya bakat penulisan kreatif.

26 Aug 2009

Kaum India dan Bahasa Malaysia

Usaha melengkapkan senarai “Sepuluh Menteri yang Mampu Bercakap Bahasa Malaysia dengan Fasih dan Secara Bermaruah Semasa Berucap pada Majlis Rasmi dan Semasa Sidang Media” menggunakan kemudahan jaringan sosial Facebook ternyata bukan mudah.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya.

Pada 24 Ogos 2009, saya cuba pula mendapatkan bantuan rakan-rakan di Facebook untuk melengkapkan senarai 100 individu kaum India yang fasih menggunakan Bahasa Malaysia.

Kayu ukur yang digunakan adalah cukup mudah: individu berkenaan mestilah lebih fasih daripada kebanyakan Menteri.

Saya sendiri telah mengemukakan nama beberapa individu yang segera muncul dalam fikiran; termasuk anak saya yang berusia 7 tahun!

Rakan-rakan pelbagai kaum di Facebook secara penuh ikhlas tampil menyatakan nama individu yang mereka kenali dan memenuhi “syarat” yang ditetapkan.

Pasti sahaja “Bahasa Malaysia” yang dimaksudkan adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang standard, bukan bahasa pasar atau dialek yang hanya difahami kelompok tertentu.

Untuk makluman, “fasih” yang dimaksudkan tidak bermakna individu berkenaan perlu bercakap seperti orang Melayu.

Ada seorang rakan menyatakan bahawa sepatutnya setiap rakyat Malaysia fasih Bahasa Malaysia.

(Saya menjawab begini sahaja: “Sepatutnya …”)

Seorang lagi rakan menyatakan bahawa bukan setakat 100, malah 1000 nama boleh dikemukakan.

(Hmm … sehingga 25 Ogos 2009, senarai 100 nama pun belum lengkap!)

Namun, bagi saya, apa yang lebih penting adalah hakikat bahawa dalam pada amat “sukar” untuk mengenal pasti 10 Menteri yang fasih menggunakan Bahasa Malaysia secara bermaruah, tidaklah “sukar” untuk mengenal pasti Rakyat (dalam konteks ini: kaum India) yang fasih menggunakan Bahasa Malaysia.

Mungkin ada hipotesis yang boleh dibuat untuk dibahaskan …

24 Aug 2009

Menteri dan Bahasa Malaysia

Pada 23 Ogos 2009, saya mengemukakan suatu pertanyaan di Facebook; iaitu meminta rakan-rakan membantu menyenaraikan 10 Menteri yang mampu menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan bermaruah semasa berucap pada majlis rasmi dan pada sidang media.
.
Saya sendiri telah memasukkan nama Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk memulakan senarai berkenaan.
.
Perkara yang saya masukkan pada ruang “status” profil saya di Facebook segera mendapat perhatian beberapa rakan, apabila mereka menandakan “suka” (like) pada “status” yang saya letakkan.
.
Namun, senarai yang diperlukan amat lambat diperoleh walaupun ramai rakan-rakan yang sedang menggunakan Facebook pada ketika itu.

Hanya sekitar sejam kemudian, nama kedua dicadangkan; iaitu Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beberapa jam kemudian, nama Datuk Ong Tee Keat dikemukakan.
.
Saya mahu bersikap positif dalam hal ini; iaitu tidak mahu mengatakan “rakan-rakan” saya di Facebook bersikap pasif dan/atau tidak mahu terlibat dalam membantu menambah nama-nama pada senarai yang saya minta.
.
Wajar juga dinyatakan bahawa “rakan-rakan” saya di Facebook terdiri daripada pelbagai kelompok; termasuk juga mereka yang ada hubungan rapat (secara profesional) dengan Kerajaan Pusat dan Kerajaan-kerajaan Negeri.
.
Saya amat sedar bahawa “rakan-rakan” saya hanya akan mencadangkan nama individu yang mereka benar-benar yakin memenuhi kriteria yang dikehendaki.
.
Mereka tentu sedar bahawa setiap “status” yang saya nyatakan di Facebook bukan benda main-main.
.
Segera saya teringat pada peribahasa Tamil yang membawa makna, “hanya apabila ada sesuatu di dalam periuk, barulah dapat dicedok oleh senduk”.
.
Sempat juga saya melahirkan pandangan peribadi saya di Facebook, iaitu bahawa “patutlah Bahasa Malaysia kurang menyerlah” kerana untuk menyenaraikan 10 Menteri yang fasih Bahasa Malaysia pun begitu sukar!
.
Sehari kemudian, pada 24 Ogos 2009, apabila saya menyemak Facebook, tiada pertambahan nama.
.
Kecuali suatu catatan oleh seorang rakan yang dengan berani menyebut bahawa penguasaan Bahasa Malaysia oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (semasa berucap pada majlis rasmi dan sewaktu sidang media) juga mengecewakan; sekaligus tidak memenuhi kriteria mampu menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan bermaruah semasa berucap pada majlis rasmi dan pada sidang media” seperti yang saya perlukan untuk melengkapkan senarai.
.
Ada cadangan nama untuk melengkapkan senarai “Sepuluh Menteri yang Mampu Menggunakan Bahasa Malaysia yang Betul dan Bermaruah Semasa Berucap pada Majlis Rasmi dan pada Sidang Media”?
.
Nota: Logo MBR sekadar hiasan sebagai menyokong semangat Malaysia Boleh!

23 Aug 2009

Hanuman & Siru Kambam

Terima kasih kepada semua yang membuat tempahan “Buku-buku yang Bangkit Semula dari Kubur” [BACA DI SINI].

Buku-buku yang ada dalam simpanan sudah saya kirim melalui pos kepada mereka yang membuat tempahan dan membuat pembayaran melalui deposit bank.

Stok buku yang masih ada pada saya pada masa sekarang adalah Siru Kambam (Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia, DBP, cetakan kedua 1997, harga pasaran RM18.00) dan Hanuman: Potret Diri (Novel Parodi Retorik, DBP, cetakan pertama 1996, harga pasaran RM5.50).

Sudilah menghubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my jika berminat membeli kedua-dua buku ini dengan harga istimewa – Harga Dari Kubur.

22 Aug 2009

Sedekad Kavyan

Hari ini, 22 Ogos 2009, menandakan genap sedekad sejak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan. Di kala ini, sudi-sudikanlah mengimbau sejarah Kavyan DI SINI. Mana tahu, saudara mungkin mendapat jawapan bagi KUIZ KHAS SEDEKAD KAVYAN.

20 Aug 2009

Di Bilik Operasi Unit Bencana RTM

Pada 19 Ogos 2009, saya masuk kerja di Bilik Operasi Unit Bencana RTM pada pukul 3:00 pagi berikutan insiden kapal tangki minyak terbakar di Selat Melaka. Saya mendapat maklumat mengenai tragedi berkenaan sekitar pukul 11:00 malam, 18 Ogos 2009.

Sehingga petang 19 Ogos 2009, sembilan anak kapal MT Formosa Product Brick yang hilang dilaporkan masih tidak ditemui manakala tiga daripada 16 yang ditemui selamat sudah keluar dari hospital dan ditempatkan di salah sebuah hotel di Port Dickson.

Saya menghubungi beberapa pihak untuk mendapatkan maklumat mutakhir dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, tiada tumpahan minyak di kawasan kebakaran kapal tangki Liberia yang membawa muatan 58,000 tan cecair naphtha dalam kejadian yang berlaku kira-kira 30 kilometer dari pantai pelancongan Port Dickson pada malam 18 Ogos 2009.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Mazlan Othman dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, Jabatan Alam Sekitar masih memantau perairan itu walaupun tumpahan minyak tidak berlaku.

Sehingga jam 6 petang, 19 Ogos 2009, api masih marak di atas kapal yang kini sudah mula senget dan pasukan penyelamat masih belum dapat menaiki kapal itu.

Sebuah lagi kapal yang terbabit dalam kemalangan itu, MV Ostende Max dari Britain, telah ditunda ke tempat yang selamat di mana tiga orang krewnya di hantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan akibat kecederaan.

Ketiga-tiga rakyat Poland berusia 38, 59 dan 62 tahun itu melecur di lengan dan seorang daripada mereka patah tulang rusuk akibat terjatuh dari tangga selepas berlaku perlanggaran.

Polis telah menyoal siasat anak-anak kapal yang terselamat tetapi Mazlan enggan menyatakan kerana terdapat laporan yang bercanggah di antara krew kapal yang terbakar, MT Formosa Product Brick serta MV Ostende Max.

Saya masih di Bilik Operasi Unit Bencana RTM pada pukul 1:00 tengah malam, 20 Ogos 2009; dan bertugas sehingga pukul 8:00 pagi.

19 Aug 2009

Sketsa Batu Caves

Berikut rangka skrip sketsa Merdeka @ Satu Malaysia yang disiarkan di MinnalFM pada 19 Ogos 2009.

Pak Cik: Wah! Pada hari biasa seperti ini pun ada begitu ramai orang di sini. Bukan hanya pelancong asing, malah penduduk tempatan pelbagai kaum juga tidak putus-putus berkunjung ke Batu Caves.

Saras: Tentulah, Pak Cik. Batu Caves adalah salah satu destinasi pelancongan utama di negara kita. Masyarakat beragama Hindu menjadikan ini sebagai tempat keagamaan. Bagi mereka yang bukan beragama Hindu, Batu Caves tetap menjadi tarikan pelancongan, kebudayaan dan kesenian.

Pak Cik: Kalau kita renungkan, memang penduduk negara ini benar-benar diberkati Tuhan. Saya tidak tahu jika ada negara lain yang mempunyai keistimewaan seperti ini.

Saras: Walaupun agama rasmi Malaysia adalah Islam, peruntukan dalam Perlembagaan menjamin hak penganut agama-agama lain menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing tanpa sekatan.

Pak Cik: Lihat sahaja Batu Caves sebagai contoh. Kita tidak dihalang membina patung besar Dewa Murugan. Malah, ia dijadikan ikon dan bahan bagi menarik pelancong.

Saras: Jangan Pak Cik lupa bahawa patung besar ini juga mencatat rekod dalam “Riple’s Believe It Or Not” sebagai patung Dewa Murugan terbesar dan tertinggi di dunia.

Pak Cik: Dahulu, filem Tamil berjudul “Varuvan Vadivelan” melakukan penggambaran sambutan Thaipusam di sini. Secara tidak langsung, mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Saras: Seperti yang Pak Cik katakan tadi, penduduk Malaysia memang diberkati Tuhan. Kita meraikan keperbezaan dan kepelbagaian. Sedangkan ada negara luar yang menjadikan perbezaan etnik dan agama sebagai alasan untuk bersengketa dan berperang.

Pak Cik: Benar apa yang kamu katakan. Perpaduan menjadi kunci kejayaan kita. Selepas kemerdekaan, pelbagai langkah berterusan diambil untuk memupuk serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Saras: Terbaru, melalui konsep Satu Malaysia, usaha ini dilipat gandakan. Apatah lagi, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri “turun padang” untuk menunjukkan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum.

Pak Cik: Ya, ya. Tentu semua orang masih ingat bagaimana beliau mengadakan lawatan ke Jalan Petaling (atau China Town) dan Brickfields untuk bertemu rakyat akar umbi. Malah, beliau juga menghadiri sambutan Tahun Baru Vaisakhi masyarakat beragama Sikh di gurdawara.

Saras: Selain itu, jangan kita lupa tentang lawatan Perdana Menteri ke Batu Caves baru-baru ini. Ha, cuba lihat di sana. Itulah batu asas berupa plak khas yang dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kunjungan beliau sempena “Karnival Satu Malaysia Batu Caves” pada 9 Ogos lalu.

Pak Cik: Pak Cik memang berminat nak hadir sama ke karnival itu tetapi ada urusan di Pulau Pinang. Saras datang, ya?

Saras: Ya, saya datang dengan ayah, ibu dan Abang Kumar. Memang cukup meriah. Sekurang-kurangnya 6 ribu rakyat pelbagai kaum hadir ke majlis yang penuh bersejarah itu.

Pak Cik: Pak Cik mendapat maklumat mengenainya di akhbar, televisyen dan radio. Kali terakhir seorang Perdana Menteri membuat lawatan rasmi ke sini adalah pada tahun 1979; iaitu dengan kedatangan Perdana Menteri ke-3, Tun Hussein Onn.

Saras: Selepas 30 tahun, Perdana Menteri ke-6 pula berkunjung ke sini. Saya rasa bertuah kerana turut menyaksikan sejarah itu.

Pak Cik: Tapi jangan kita lupa bahawa Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak juga pernah ke Batu Caves.

Saras: Betul tu, Pak Cik. Malah, Datuk Seri Najib dalam ucapan beliau turut menyatakan bahawa bapanya, Tun Abdul Razak menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves. Jadi, Datuk Seri Najib juga berjanji akan hadir pada sambutan Thaipusam akan datang.

Pak Cik: Memang berita yang amat menggembirakan. Secara tidak langsung, akan menjadikan sambutan tahun depan lebih meriah. Pasti sahaja akan ada pelbagai persembahan berkonsepkan Satu Malaysia.

Saras: Saya yakin, tentu ada. Malah, semasa kunjungan Perdana Menteri tempoh hari, persembahan yang dilakukan menampilkan muzik, tarian dan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. Memang amat menakjubkan dan sangat unik.

Pak Cik: Jadi, ternyatakan bahawa Batu Caves bukan hanya tumpuan bagi aktiviti keagamaan dan kebudayaan. Malah, bermula dengan “Karnival Satu Malaysia Batu Caves”, tempat ini juga menjadi lokasi untuk merealisasikan impian melahirkan Bangsa Malaysia.

Saras: Batu Caves menjadi tempat yang boleh mengumpulkan masyarakat pelbagai kaum dan etnik untuk saling mengenali. Juga suatu tempat yang sesuai untuk orang luar (pelancong) melihat sendiri bagaimana kebebasan beragama dipraktikkan sepenuhnya di negara ini sambil berpegang teguh pada konsep Satu Malaysia.

Pak Cik: Oh, lihat tu. Pelancong asing itu mengajak kita untuk bergambar. Mari, mari kita bergambar bersama-sama mereka.

Saras: Ya, mari. Bolehlah pelancong asing ini membawa pulang kenangan manis untuk ditunjukkan kepada kaum keluarga dan rakan-rakan.

Berita Subuh Gajah

Berita-berita yang mencuri tumpuan pada subuh gajah, 19 Ogos 2009.

Kerajaan masih mengkaji cadangan untuk menggugurkan ruangan “kaum” pada borang dan dokumen rasminya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedudukan Senator Datuk T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa serius dalam mengambil berat kebajikan rakyatnya, tanpa diskriminasi kepada mana-mana kumpulan masyarakat berbilang kaum.

UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Jangkitan wabak Influenza A (H1N1) terus meragut nyawa dengan tiga lagi kematian dicatatkan pada 18 Ogos 2009; menjadikan jumlahnya meningkat kepada 67 orang.

Keputusan sama ada penutup hidung dan mulut diwartakan sebagai barang kawalan berikutan permintaan yang semakin tinggi akan diketahui hari ini.

Jabatan Penerangan perlu memantau akhbar-akhbar Cina di negara ini yang semakin bebas mengeluarkan berita dan artikel bersifat cauvinis, kata Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd, Datuk A. Kadir Jasin.

18 Aug 2009

Thumbs Up!

Ada suatu wawancara ringkas bersama-sama Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Puan Haslina Usman dan Sdr Uthaya Sankar SB dalam majalah Thumbs Up terbitan Gemilang Publishing Sdn Bhd sempena Bulan Kemerdekaan.
.
Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.

Kuiz Kavyan

Kuiz khas “Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan” diadakan sebagai salah satu aktiviti sempena ulang tahun kesepuluh penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Kuiz ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang tahu Bahasa Malaysia; kecuali individu yang menganggotai Jawatankuasa Kavyan (1999-2009).

Tiada batas kaum, keturunan, etnik, budaya, agama, umur, pekerjaan, pendidikan, ideologi politik (dan sebagainya).

Tarikh akhir mengirim jawapan bagi kuiz khas ini adalah pada 22 Ogos 2009; pukul 4:00 petang.

Sebarang jawapan yang diterima selepas pukul 4:00 petang, 22 Ogos 2009 tidak akan dilayan sama sekali.

Maklumat lanjut serta soalan kuiz khas “Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan” dipaparkan di Blog Kavyan (sila klik) pada pukul 8:00 pagi, 18 Ogos 2009.

17 Aug 2009

Sketsa Bahasa Perpaduan

Rangka skrip bagi sketsa yang disiarkan di MinnalFM pada 17 Ogos 2009. Supaya mesej dapat dihayati bersama. ...

Pak Cik: Vanakam, Murthy. Apa khabar?

Bapa: Khabar baik. Bila sampai?

Pak Cik: Semasa kamu sedang rancak berbual dengan kawan kamu melalui telefon tadi. Tak sangka pula kamu begitu fasih berbahasa kebangsaan.

Bapa: (ketawa) Apa pula yang menghairankan? Mungkin sebab kamu tidak pernah mendengar saya bercakap bahasa kebangsaan.

Pak Cik: Benar juga. Dalam kalangan kita, kita bukankah ketara menggunakan Bahasa Tamil?

Bapa: Akan tetapi, kita tidak boleh pula meminggirkan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia, bukan? Kalau kita menguasai banyak bahasa, kita yang untung.

Pak Cik: Saya amat setuju. Tambahan pula, kita sebagai rakyat Malaysia wajib tahu bahasa kebangsaan. Kita menguasai Bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda dan juga Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

Bapa: Malah, kalau boleh, elok kita belajar juga Bahasa Mandarin kerana bahasa itu juga semakin penting pada peringkat antarabangsa; khasnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Pak Cik: Peringkat antarabangsa, satu hal. Jangan kita lupa bahawa ramai sahabat dan jiran tetangga kita adalah kaum Cina. Boleh juga kita berbual bersama mereka menggunakan Bahasa Mandarin.

Bapa: Seperti yang saya katakan tadi, tidak rugi kalau kita menguasai banyak bahasa. Apabila kita belajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tidak bermakna kita meminggirkan bahasa ibunda.

Pak Cik: Mengikut Perlembagaan, Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi. Malah ia juga bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antara masyarakat pelbagai kaum.

Bapa: Kita mungkin menganggap soal penguasaan bahasa kebangsaan sebagai tidak penting. Tetapi jangan lupa bahawa kelulusan subjek Bahasa Malaysia peringkat SPM amat penting untuk meneruskan pengajian dan mencari pekerjaan.

Pak Cik: Untuk menguasai bahasa kebangsaan bukannya susah. Tanpa mengira kaum, kita perlu menganggap bahasa itu sebagai “bahasa kita” dan bukan “bahasa orang lain”.

Bapa: Semangat seperti itulah juga yang akan membantu menjayakan konsep “Satu Malaysia”. Kita perlu sedar bahawa negara ini adalah negara kita semua tanpa mengira kaum.

Pak Cik: Tindakan-tindakan kecil seperti inilah yang bakal menjayakan usaha-usaha besar – memupuk perpaduan, mahupun membina Bangsa Malaysia.

Bapa: Tengok tu, telefon kamu sedang berdering. Jawablah dulu.

Pak Cik: (dengan fasih dalam BM) Selamat sejahtera, Razali. Saya sihat. Terima kasih. Apa yang boleh saya bantu? …

16 Aug 2009

Sketsa Merdeka di MinnalFM

Mulai 15 Ogos 2009, sekitar pukul 1:30 tengah hari, selama 15 hari, MinnalFM menyiarkan sketsa pendek (sekitar 3 minit) yang saya tulis bertema Merdeka dan Satu Malaysia. Penerbitnya Prema Krishnan manakala editor yang membantu saya “memurnikan” skrip ialah Hemantha Kumar Nagappan.

Saya cuba menulis kisah yang mudah dengan gaya yang mudah.

Berikut “rangka” skrip bagi sketsa yang disiarkan pada 16 Ogos 2009. Rangka ini boleh memberi sedikit gambaran kepada semua mengenai kandungan sketsa yang disiarkan pada hari berkenaan.

Bapa: (ketuk pintu) Kumar, sedang buat apa, tu? Emak kamu kata, minum petang sudah tersedia.

Anak: Masuklah, ayah. Pintu bilik tidak berkunci. Saya sedang berbual dengan rakan-rakan melalui Facebook.

Bapa: Facebook? Buku muka? Entahlah, saya tak faham segala teknologi moden ini.

Anak: Ayah tak bolehlah bercakap macam ini. Teknologi internet ini memang canggih. Akan tetapi, bukannya sukar untuk dipelajari dan dikuasai.

Bapa: (ketawa) Mungkin juga benar. Ada beberapa orang kawan saya, selepas bersara, meluangkan masa dengan internet. Mereka membaca surat khabar pun di skrin komputer.

Anak: Sekarang ini, memang internet sudah menjadi sebahagian daripada keperluan dalam kehidupan seharian kita. Sebab itulah juga kerajaan berusaha memastikan kemudahan internet sampai kepada setiap rakyat; termasuk di kawasan pedalaman.

Bapa: Pendedahan yang diberikan di sekolah juga membantu anak-anak kecil pun sudah pandai menggunakan komputer dan internet. Ada kalanya, ibu bapa pula yang menjadi risau.

Anak: Saya faham mengapa ayah risau. Akses internet memang tiada had. Kandungannya pula pelbagai.

Bapa: Saya cuma risau anak-anak akan mendapat maklumat yang salah daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Anak: Itu memang suatu cabaran. Memang sukar untuk menyekat kandungan di internet. Akan tetapi, para pengguna perlu bijak memilih dan menentukan sumber mana yang boleh dipercayai dan mana pula yang meragukan atau tidak boleh dipercayai.

Bapa: Kerajaan memang berusaha menapis kandungan atau maklumat yang tersebar melalui internet. Tetapi, akhirnya terpulang kepada kita sendiri untuk bersikap bijak.

Anak: Kebebasan yang diberikan janganlah pula disalah gunakan sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Apatah lagi jika ia menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

Bapa: Saya percaya, kamu tidak menyalah gunakan kebebasan yang diberikan untuk mengakses internet.

Anak: Jangan risau, ayah. Saya menggunakan internet untuk tujuan-tujuan yang baik sahaja. Tentulah saya tidak akan menjejaskan kepercayaan yang ayah letakkan pada saya dengan memasang kemudahan internet di rumah kita.

Bapa: (tiba-tiba) Eh! Itu foto keluarga kita, kan?

Anak: Betul, ayah. Foto yang kita ambil minggu lalu. Saya muat naik ke album di Facebook supaya kawan-kawan saya di luar negara boleh melihatnya.

Bapa: Di bawah setiap foto itu ada pula catatan kata-kata. Daripada kawan-kawan kamu, ya?

Anak: Ya, kawan-kawan saya di Facebook menulis komen selepas melihat foto-foto yang saya upload.

Bapa: Wah! Banyaknya foto. … Ini semasa sambutan Deepavali, bukan?

Anak: Bukan hanya foto semasa Deepavali tahun lalu. Lihat di sini … Sambutan hari jadi kawan saya bulan lalu, rombongan ke Putrajaya bersama rakan-rakan sekolah dulu, majlis perkahwinan jiran kita dan bermacam-macam lagi.

Bapa: Komen yang ditulis oleh kawan-kawan kamu pula ada yang dalam Bahasa Inggeris, ada dalam Bahasa Malaysia dan ada juga dalam Bahasa Tamil!

Anak: Bahasa memang tidak menjadi halangan di ruang siber. Mungkin ada yang berpendapat, internet hanya menggunakan Bahasa Inggeris. Sebenarnya tidak. Misalnya, ada begitu banyak laman sesawang menggunakan Bahasa Tamil.

Bapa: Memang menarik. Nampaknya saya juga sudah mula berminat untuk membuka akaun Facebook.

Anak: Baguslah, ayah. Saya boleh membantu. Nanti jangan lupa tambah saya sebagai kawan di Facebook.

Bapa: (ketawa) Mana pula anak-anak suka berkawan dengan ibu bapa melalui internet? Kawan-kawan saya kata, anak-anak mereka tidak mahu kebebasan mereka terhalang.

Anak: Saya tidak berasa begitu. Sepatutnya ibu bapa perlu sama-sama mempelajari penggunaan internet. Buat juga akaun jaringan sosial seperti Facebook dan tambah anak-anak sebagai kawan. Secara tidak langsung, boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan di ruang maya/siber.

Bapa: Betapa baik jika semua anak-anak berfikiran seperti kamu, Kumar. Apapun, sebentar nanti bolehlah kamu tolong saya untuk membuka akaun Facebook.

Anak: Tidak menjadi masalah. Malah, ayah juga boleh memblog menggunakan Bahasa Tamil untuk berkongsi pengalaman ayah.

Bapa: Hmm, saya sudah tak sabar untuk berkongsi pengalaman saya dengan generasi muda.

Anak: Saya juga tidak sabar untuk mempromosi blog ayah kepada rakan-rakan!Bapa: Sebelum itu, mari kita pergi minum teh. Tentu emak kamu menunggu.

15 Aug 2009

Sketsa Satu Malaysia

Berikut rangka skrip dalam Bahasa Malaysia bagi sketsa Merdeka @ Satu Malaysia yang disiarkan di MinnalFM pada sekitar pukul 1:30 tengah hari, 15 Ogos 2009. Penerbit sketsa ini ialah Prema Krishnan manakala editor yang membantu memurnikan skrip saya dalam Bahasa Tamil ialah Hemantha Kumar Nagappan. Paparan rangka skrip di bawah ini dilakukan sebagai usaha memastikan seluruh Bangsa Malaysia boleh mengetahui kandungan sketsa yang disiarkan.

Bapa: Saya lihat sejak tadi, kamu asyik membelek-belek akhbar. Apa yang dicari? Ada resepi masakan baru disiarkan?

Emak: Abang asyik suka mengusik saya. Memasak sudah menjadi kepakaran saya.

Bapa: Jadi, apa yang awak cari?

Emak: Berita-berita mengenai konsep “Satu Malaysia” yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Tidaklah saya ketinggalan apabila berbual-bual dengan kawan-kawan mengenainya.

Bapa: Baguslah tu. (berjenaka) Saya sangka awak hanya berbual kosong bersama-sama kawan-kawan setiap petang. Rupa-rupanya kamu semua turut membincangkan topik-topik penting.

Emak: Itu semua zaman dulu. Wanita zaman sekarang membincangkan pelbagai topik dan isu-isu semasa. Di negara merdeka ini, hak pendidikan golongan wanita tidak dinafikan. Jadi, wanita juga boleh membincangkan topik-topik besar.

Bapa: Jadi, topik terbaru yang dibincangkan bersama-sama kawan-kawan awak adalah mengenai “Satu Malaysia”?

Emak: Abang tahu, tak? Ada orang yang masih tidak faham mengenai apa sebenarnya “Satu Malaysia”.

Bapa: Itu bahaya. Mungkin ada pihak yang cuba melencongkan fikiran orang dengan memberikan maklumat yang salah mengenai konsep ini.

Emak: Sebab itulah juga saya cuba mendapatkan maklumat terbaru dan tepat mengenai “Satu Malaysia” dari akhbar-akhbar supaya boleh dikongsikan bersama jiran-tetangga.

Bapa: Perkara paling asas yang kita perlu tahu adalah bahawa konsep “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu bukan sesuatu yang baru.

Emak: Benar. Konsep ini adalah kesinambungan ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang menjadi impian kita sejak dahulu.

Bapa: Konsep “Satu Malaysia” juga menjadi satu formula yang membantu mencapai cita-cita negara iaitu Wawasan 2020.

Emak: Bagi menjayakan cita-cita ini, perpaduan menjadi asas yang paling utama di negara berpenduduk majmuk ini.

Bapa: Perpaduan yang ditekankan dalam gagasan Satu Malaysia bukanlah bermakna mana-mana kaum perlu meninggalkan ciri-ciri budaya yang diwarisi daripada nenek-moyang.

Emak: Perkara ini memang asas tetapi amat perlu ditekankan supaya tidak ada sesiapa yang terkeliru atau dikelirukan oleh pihak lain.

Bapa: Di bawah Satu Malaysia, kepelbagaian etnik, budaya, adat dan sebagainya menjadi aset atau kelebihan yang dibanggakan.

Emak: Setiap kaum dengan identiti dan jatidiri masing-masing. Pada masa yang sama, kita saling mengenali, memahami, menghormati, bantu-membantu dan menyumbang ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Bapa: Aspek perpaduan sesungguhnya menjadi agenda utama sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Satu Malaysia berusaha menyemarakkan semangat perpaduan dan semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Emak: Hasil daripada apa yang saya ketahui melalui media massa, ada dua aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan gagasan Satu Malaysia.

Bapa: Pertama adalah teras-teras perpaduan dan nilai-nilai murni seperti penerimaan, keadilan sosial, hormat-menghormati, rendah diri dan berbudi bahasa.

Emak: Aspek kedua pula adalah nilai-nilai aspirasi (cita-cita) seperti budaya menimba ilmu sepanjang hayat, melakukan kerja-kerja dengan tahap terbaik, menepati masa, dan memiliki integriti.

Bapa: Kita perlu sedar bahawa segala perkara yang dinyatakan ini bukan sesuatu yang baru. Sebaliknya menjadi cita-cita pemimpin negara kita sejak merdeka.

Emak: Segala aspek ini juga selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

Bapa: Malah, usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum sudah dilaksanakan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Emak: Usaha-usaha itu diteruskan oleh Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Muhamad , Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bapa: Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan atau cara tersendiri, namun matlamat atau cita-cita mereka adalah sama; iaitu membina Bangsa Malaysia.

Emak: Kita sebagai rakyat pula perlu mengukuhkan kesetiaan kepada negara. Kita perlu yakin bahawa tidak ada sesiapa pun yang dipinggirkan dalam menikmati pembangunan dan kejayaan negara.

Bapa: Kalau kita memahami dan menghayati konsep Satu Malaysia, kita semualah yang bakal menikmati hasil daripada kejayaannya.

Emak: Fikiran kita juga tidak akan mudah dilencongkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keamanan dan perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat.
.
Bapa: Kalau semua orang berfikiran bijak seperti kamu, betapa baiknya.

14 Aug 2009

Waktu Kavyan

Suatu mesyuarat yang saya hadiri sepatutnya sudah bermula 20 minit lalu. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang bayang atau tanda-tanda bahawa mesyuarat akan bermula dalam masa terdekat.

Hal seperti ini bukan lagi sesuatu yang baru dalam kalangan masyarakat kita. Malah, tidak salah jika dikatakan bahawa amalan tidak menepati masa sudah menjadi norma dan budaya rasmi Bangsa Malaysia.

Saya pernah menulis mengenai “etika mesyuarat” di blog saya pada 27 Mei 2009. (Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan berkenaan.)

Memandangkan “mesyuarat” dan “temujanji” sudah menjadi kewajipan dalam kalangan Bangsa Malaysia – khususnya mereka yang tidak tahu apa sebenarnya “mesyuarat” dan “temujanji” – maka saya menulis lagi mengenainya di akhbar dalam talian The Malaysian Insider, keluaran 14 Ogos 2009.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca makalah berkenaan dan jangan lupa menulis mengenai pengalaman saudara sendiri untuk dikongsi bersama!

Berita yang Mencuri Tumpuan

Berita-berita yang sempat mencuri tumpuan saya pada awal pagi 14 Ogos 2009:

Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, seseorang itu perlu mempunyai strategi, berpengetahuan dan mampu meramal masa depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah tidak lama lagi, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan perlu mengkategorikan tahap ancaman Influenza A (H1N1) bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya wabak itu yang setakat ini sudah pun mengorbankan 51 orang, titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Isteri dan lima anakanda baginda yang turut dijangkiti wabak itu, kini semakin pulih.)

Lebih 180 ahli Umno Bahagian Permatang Pauh akan menyertai Kursus Pemantapan Persediaan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir selama tiga hari, kata Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Pelajar institusi pengajian tinggi perlu mengelak daripada terbabit dalam sebarang bentuk demonstrasi jalanan kerana tindakan itu hanya merosakkan pemikiran dan masa depan mereka, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Penceramah PAS dibenarkan mengeluarkan kata-kata keras terhadap lawan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang walaupun apabila kempen berlangsung ketika Ramadan, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor, Pulau Pinang kembali kecoh dan tegang semalam berikutan tindakan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd mahu meneruskan hasrat merobohkan 23 unit rumah penduduk di situ.

Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mungkin telah diseret dari arah sisi sebelum mayat mendiang dijumpai di koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam, kata Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor.

Aspirasi Sasterawan Negara Ke-11

Apabila Dato’ Dr Anwar Ridhwan diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 11 Ogos 2009 [BACA DI SINI], tidak kurang yang menghubungi saya untuk bertanya, adakah pengumuman itu bermakna Prof Madya Dr Lim Swee Tin gagal meraih anugerah itu.

Ternyata timbul sedikit kekeliruan. Sebenarnya, nama Dr Lim Swee Tin belum dicalonkan. Malah, tidak juga termasuk dalam senarai pencalonan sebelum ini.

Perkara itu telah saya sahkan sendiri apabila berkunjung ke Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Jun 2009. Nama Dr Lim Swee Tin tidak pernah dicalonkan oleh sesiapa sebelum ini.

Kekeliruan juga mungkin timbul kerana saya memulakan kempen pencalonan Dr Lim Swee Tin pada 24 Jun 2009. [BACA DI SINI]

Tambahan pula, pada 9 Julai 2009, One Nusantara Sdn Bhd mencetak kad nama khas sebagai menyokong kempen berkenaan. [LIHAT DI SINI]

Biar saya jelaskan bahawa pencalonan Dr Lim Swee Tin sedang diusahakan sebagai penerima ke-11 Anugerah Sastera Negara. Malah, pencalonan belum lagi dibuka. [RUJUK PENCALONAN DI SINI]

Sengaja saya mulakan kempen lebih awal supaya biar semua orang tahu bahawa Dr Lim Swee Tin sesungguhnya layak bergelar Sasterawan Negara; seperti yang saya nyatakan dalam wawancara di akhbar theSun [BACA DI SINI].

Pasti sahaja saya amat mengharapkan sokongan dan bantuan daripada semua pihak yang sama-sama mahu melihat aspirasi “Sasterawan Negara Dr Lim Swee Tin” menjadi kenyataan dengan semangat sejati Satu Malaysia!

13 Aug 2009

Sambutan terhadap Buku-buku Kubur

Sambutan terhadap “Buku-buku yang Bangkit Semula dari Kubur” ternyata amat memberangsangkan. Sehingga pukul 12:00 tengah malam, 12 Ogos 2009, saya sudah menerima tempahan bagi 18 set buku daripada 15 orang.

Setiap set terdiri daripada empat buku; iaitu Siru Kambam, Surat dari Madras, Orang Dimensi dan Hanuman: Potret Diri.

Bagi sesiapa yang tidak tahu mengapa buku-buku berkenaan digelar “Buku-buku yang Bangkit Semula dari Kubur” (atau ringkasnya “Buku dari Kubur”), sila KLIK DI SINI dan DI SINI untuk maklumat lanjut.

Terima kasih kepada semua yang membuat tempahan dan membuat bayaran. Saya mengirim buku sebaik sahaja saya menerima stok.

Saya masih membuka tawaran kepada individu yang mungkin berminat membeli buku-buku ini secara pakej dengan harga istimewa. Untuk maklumat lanjut mengenai buku-buku berkenaan serta harga pasaran setiap buku, sila klik pada judul di bawah:

Orang Dimensi (1994)
Siru Kambam (1996 & 1997)
Hanuman: Potret Diri (1996)
Surat dari Madras (1999)

11 Aug 2009

Sasterawan Negara Dato' Dr Anwar Ridhwan

Tahniah kepada Dato’ Dr Anwar Ridhwan yang diumumkan sebagai penerima ke-10 Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pengumuman mengenainya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada 11 Ogos 2009.

Dr Anwar, atau nama sebenarnya Mohd. Anuar Rethwan dijadual menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada suatu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2009.

Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor serta mendapat pendidikan di SK Sungai Besar (1956-1962), Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dan Universiti Malaya (BA-1973, MA-1983, Ph.D-1998) serta bertugas di DBP sejak 1973.

Dr Anwar antara lain pernah mengikuti kursus penerbitan buku di USA (1982), International Writing Programme (1986) dan profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000). Sejak 2001, beliau dilantik Pengarah Penerbitan DBP.

Karya kreatif Dr Anwar termasuk Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Arus (1985), Tercipta Dari Tanah (1985), Sangkar (1986), Di Negeri Belalang (1989), Orang-orang Kecil (1990), Yang Menjelma dan Menghilang (1992) dan Naratif Ogonshoto (2001).

Beliau juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (2002) dan Hadiah Sastera Mastera (2003).

Dr Anwar pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan pada 2003-2007.

Acara Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan dianjurkan pada 15 Mei 2004 sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan beliau kepada dunia sastera kebangsaan.

Kini, beliau merupakan Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sasterawan Negara ke-10 sudah diketahui. Maka, bolehlah saya tumpukan pada usaha pencalonan Prof Madya Dr Lim Swee Tin sebagai Sasterawan Negara ke-11.

10 Aug 2009

Berita yang Mencuri Tumpuan pada Awal Pagi

Bekas pelakon kanak-kanak di Britain, Mark Lester, yang memegang watak Oliver Twist dalam muzikal Oliver! (1968) mendedahkan, dia menderma sperma kepada Michael Jackson dan mungkin bapa kepada Paris, anak Raja Pop itu.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pelajar-pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah masing-masing.

Datuk Seri Rajib Tun Razak akan meneruskan tradisi bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang pernah melawat kuil Batu Caves sewaktu sambutan Thaipusam semasa menjadi Perdana Menteri dahulu. Tun Hussein Onn (Perdana Menteri ketiga) melawat Batu Caves pada tahun 1979. Selepas 30 tahun, Datuk Seri Najib (Perdana Menteri keenam) pula melakukan lawatan rasmi pada 9 Ogos 2009.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan tindakan beberapa pihak yang bersedia menjadi saksi dalam membuktikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Puisi yang Hancur

Pengalaman dan pengajaran hasil daripada peluang menyaksikan suatu persembahan baru-baru ini: Bukan semua orang boleh mendeklamasi puisi. Hasil karya penyair agung pun boleh hancur jika tidak kena orangnya.
.
(Tiada foto kerana tidak mahu menyentuh sensitiviti dan perasaan mana-mana pihak.)

9 Aug 2009

Mencari Buku-buku dari Kubur

Susulan daripada surat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz (bertarikh 22 Julai 2009 dan saya terima melalui pos pada 4 Ogos 2009) – BACA DI SINI – maka saya dengan penuh gembira memutuskan untuk pergi sendiri pada pagi 5 Ogos 2009 untuk “mengesan” baki stok yang tiba-tiba sahaja “muncul dari kubur”.

Khabarnya, “saki-baki” stok adalah seperti berikut:

Orang Dimensi – 80 naskhah
Siru Kambam – 209 naskhah
Surat dari Madras – 106 naskhah
Hanuman: Potret Diri – 250 naskhah

Mula-mula, saya ke Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka di Menara DBP, Kuala Lumpur untuk meninjau kalau-kalau ada stok di sana. Tiada. Sistem dalam talian pula bermasalah dan tidak dapat digunakan untuk menyemak baki stok di Kompleks Dawama, Hulu Kelang.

Bagaimanapun, staf di Koperasi DBP menghubungi staf di Hulu Kelang melalui telefon untuk cuba mendapatkan butiran “saki-baki” buku-buku saya yang pernah diterbitkan oleh DBP.

Laporan “saki-baki” stok yang dinyatakan adalah seperti berikut:

Orang Dimensi – 0 naskhah
Siru Kambam – 0 naskhah
Surat dari Madras – 0 naskhah
Hanuman: Potret Diri – 200 naskhah

Selepas itu, saya ke Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan di Tingkat 10 Menara DBP. Ketua Bahagian tiada.

Akan tetapi, seorang pegawai yang begitu baik hati sudi menyemak “saki-baki” stok secara dalam talian. (Malangnya, saya tidak ingat nama beliau!)

Jumlah stok yang dinyatakan adalah:

Orang Dimensi – 2 naskhah
Siru Kambam – 131 naskhah
Surat dari Madras – 0 naskhah
Hanuman: Potret Diri – 205 naskhah

Seterusnya, saya ke Bahagian Hak Cipta. Pukul 10:15 pagi. Tidak ada walau seorang pun manusia di bahagian berkenaan.

Dari Tingkat 10, saya ke Tingkat 19 dengan harapan dapat bertemu Pengarah Penerbitan. Malangnya, saya dimaklumkan bahawa beliau menghadiri mesyuarat.

“Lain kali, telefon dulu, baru datang,” demikian nasihat yang diberikan.

Kebetulan, di Tingkat Bawah, bertembung dua rakan dari Dawama: Zamani dan Ridzuan. Mereka melakarkan peta jalan ke Kompleks Dawama.

Sampai di sana pada pukul 12:10 tengah hari dalam suasana hujan. Mohd Isa Khamis di Bahagian Pemasaran menyambut saya dengan penuh gembira. Nampaknya, beliau juga menerima salinan surat daripada Ketua Pengarah DBP pada 4 Ogos 2009.

Beliau menyemak “saki-baki” stok dan memberikan laporan berikut:

Orang Dimensi – 80 naskhah
Siru Kambam – 209 naskhah
Surat dari Madras – 106 naskhah
Hanuman: Potret Diri – 230 naskhah

Tidak semua stok itu ada di Kompleks Dawama, Hulu Kelang. Ada sebahagian di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

Mohd Isa akan menghubungi saya untuk memberitahu jumlah diskaun yang ditawarkan untuk membeli kesemua “saki-baki” buku berkenaan.

Sementara itu, sehingga pagi 9 Ogos 2009, 6 individu sudah membuat tempahan untuk membeli pakej “buku-buku dari kubur” dengan “harga dari kubur”.

8 Aug 2009

Kisah Penuh Buku dari Kubur

Saya berasa amat gembira menerima surat bertarikh 22 Julai 2009 daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato' Haji Termuzi Abdul Aziz. Surat itu saya terima melalui pos pada 4 Ogos 2009.

Lalu, kisah gembira itu mahu saya kongsikan dengan orang ramai supaya kita semua dapat sama-sama menikmati perasaan gembira yang tidak terhingga itu dengan semangat “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sebenarnya, saya ada bertemu Dato' Haji Termuzi semasa kami sama-sama menghadiri Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya pada 3 Ogos 2009.

Bagaimanapun, beliau bersikap amat profesional dengan tidak menceritakan kepada saya mengenai surat yang beliau tandatangani dan sudah dikirim kepada saya melalui pos.

Berita gembira yang disampaikan oleh Dato' Haji Termuzi melalui surat itu adalah sebagai menjawab surat saya bertarikh 22 Jun 2009 yang telah saya sampaikan sendiri kepada Pengurus Hak Cipta DBP, Hajah Asiah Daud pada 24 Jun 2009.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca kisah penuh, seperti yang disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 Ogos 2009.

7 Aug 2009

Menempah Buku-buku dari Kubur

Saya percaya bahawa saya akan menerima stok buku Siru Kambam (1997), Surat dari Madras (1999), Orang Dimensi (1994), dan Hanuman: Potret Diri (1996) dalam masa terdekat.

Sila KLIK DI SINI untuk sedikit maklumat mengenai buku-buku berkenaan yang saya sifatkan sebagai “bangkit semula dari kubur”.

Jom bergaya dengan buku!

Ada sesiapa yang mahu membuat pesanan buku-buku berkenaan sebelum kehabisan stok secara hakiki?

Harga istimewa yang saya tawarkan adalah RM20.00 sahaja bagi pakej keempat-empat buku sekali gus bagi 50 pembeli terawal.

Harga buku, jika mahu dibeli secara individu adalah seperti berikut:

Siru Kambam sahaja – RM10.00
Surat dari Madras sahaja – RM10.00
Orang Dimensi sahaja – RM3.00
Hanuman: Potret Diri sahaja – RM3.00

(Harga tawaran ini tidak termasuk kos penghantaran melalui pos. Jika mahu buku dikirim melalui pos, sila tambah RM1.00 bagi setiap sebuah buku.)

Untuk makluman, kesemua karya yang termuat dalam buku-buku berkenaan adalah karya asli dalam Bahasa Malaysia.

Harga istimewa yang saya tawarkan adalah khusus bagi sesiapa yang membuat pesanan terus daripada saya.

Buku-buku berkenaan juga sudah tiada dalam pasaran. Itulah juga sebabnya stok berkenaan perlu “dibangkitkan dari kubur”.

Untuk membuat pesanan, SILA KIRIM E-MEL ke uthayasb@yahoo.com.my dan saya akan berikan nombor akaun bank. AKAN TETAPI, wang hanya perlu dimasukkan apabila diminta berbuat demikian – iaitu selepas saya menerima stok buku-buku berkenaan.

6 Aug 2009

Kavyan Mendambakan Pengiktirafan?

Saya bersetuju dengan pandangan Nisah Haji Haron dalam artikel beliau “Sastera Pelbagai Kaum – Satu Jenama Lapuk?” siaran Tunas Cipta (TC), Jun 2009 bahawa, pembahagian penulis mengikut kaum harus ditiadakan, apatah lagi apabila penulis berkenaan berkarya dalam bahasa kebangsaan.

Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan tentang kenyataan Nisah bahawa Kumpulan Sasterawan Kavyan “mendambakan pengiktirafan di persada sastera Melayu dan dengan yang demikian, mewujudkan kelompok tersendiri dan dilihat seolah-olah memperkukuh kedudukan mereka dalam sastera Melayu”.

Saya bimbang kenyataan ini boleh memberi gambaran negatif terhadap Kavyan, khususnya dalam kalangan pembaca majalah TC yang mungkin belum berpeluang mengenali Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999.

Walaupun Kavyan diterajui oleh sekumpulan pengarang atau peminat sastera dalam kalangan kaum India, segala aktiviti anjuran Kavyan adalah terbuka kepada umum tanpa batasan kaum. [Rujuk makna "pelbagai kaum" DI SINI]

Saya masih ingat, selepas kejayaan aktiviti Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003, seorang wartawan bertanya, “berapa ramai peserta Melayu, Cina dan India yang mengambil bahagian?”

Sehingga kini, kami tidak dapat memberikan jawapan kerana pihak Kavyan tidak pernah – dan tidak akan – membuat pembahagian peserta mengikut kategori kaum.

Malah, dalam aktiviti Baca Cerpen, kami memilih karya berdasarkan kesesuaian dengan khalayak sasaran; bukannya berdasarkan kaum.

Apa-apa yang mungkin menimbulkan salah faham dalam kalangan pihak tertentu adalah kerana Jawatankuasa Kavyan mestilah terdiri daripada individu kaum India, warganegara Malaysia.

Tidak wajar untuk mendakwa yang syarat itu menjadikan Kavyan “bersikap perkauman” atau “cuba mewujudkan kelompok tersendiri”.

Jauh sekali untuk “mengharapkan pengiktirafan daripada mana-mana pihak” atau “cuba memperkukuh kedudukan dalam sastera Melayu”.

Bagi pembaca TC yang belum berpeluang mengenali Kavyan, bolehlah mendapatkan maklumat terperinci di www.kavyan.blogspot.com.

Uthaya Sankar SB, Tunas Cipta, Ogos 2009

5 Aug 2009

Buku-buku yang Bangkit Semula dari Kubur!

Tidak lama lagi, saya kemungkinan besar akan berpeluang membeli 80 naskhah Orang Dimensi, 209 naskhah Siru Kambam, 106 naskhah Surat dari Madras dan 250 naskhah Hanuman: Potret Diri daripada pihak tertentu dengan harga murah.

Saya bercadang untuk menyimpan 80 naskhah Orang Dimensi, 100 naskhah Siru Kambam, 100 naskhah Surat dari Madras dan 100 naskhah Hanuman: Potret Diri sebagai stok untuk dihadiahkan kepada cucu-cicit.

Baki 109 naskhah Siru Kambam, 6 naskhah Surat dari Madras (yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99) dan 150 naskhah Hanuman: Potret Diri (yang pernah dipentaskan sebagai teater di Johor pada Julai 2005) akan saya jual kepada sesiapa yang berminat.
.
Mana-mana individu yang berminat untuk membeli buku-buku berkenaan dengan “harga dari kubur” bolehlah segera membuat tempahan. Ingat: Stok adalah terhad. Maka, yang dahulu didahulukan.
.
Maklumat lanjut akan saya catatkan di blog ini selepas “menilai keadaan fizikal saki-baki stok” dan membuat tempahan untuk membeli saki-baki itu secara tunai daripada pihak berkenaan.

4 Aug 2009

Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan

Berikut petikan kata-kata yang mencuri tumpuan saya dalam buku atur cara majlis Malam Semarak Perpaduan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia, Gabungan Dewan Perhimpunan Cina Malaysia dan Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2009.


“Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan.”
- Tema Malam Semarak Perpaduan; seperti dicetak di muka hadapan.


“Malam Semarak Perpaduan yang menjadi inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui Bahasa Kebangsaan, bahasa yang telah berperanan besar menyatukan pelbagai kaum di Malaysia ini sejak merdeka.”

- Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Malam Semarak Perpaduan


“Syabas diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka terutamanya Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum kerana berusaha mengadakan Malam Semarak Perpaduan sebagai sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.”

- Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia


“Saya amat menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan Malam Semarak Perpaduan yang antara tujuannya adalah untuk menyemarakkan kerjasama dan kesalingfahaman antara pemimpin pelbagai kaum di negara ini, khususnya dalam usaha untuk sama-sama terus memantapkan pembelajaran dan penggunaan Bahasa Kebangsaan kita.”

- Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri


“Perpaduan kaum boleh kita capai melalui penggunaan bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengikat antara kita di negara ini seperti yang telah terbukti sejak puluhan tahun yang lalu.”

- Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


“Program yang dianjurkan ini merupakan antara program yang dirancangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyemarakkan kerjasama dan kesalingfahaman antara pelbagai kaum di negara ini, khususnya berteraskan bahasa kebangsaan kita. … Dalam Fesival Bahasa dan Sastera (yang akan dilaksanakan) pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan telah diaturkan yang matlamat akhirnya adalah untuk memahirkan dan menanamkan rasa sayang murid-murid kita terhadap bahasa kebangsaan dan membenihkan perpaduan yang kental.”

- Dato’ Haji Termuzi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka


“Berdasarkan pengamatan sejarah, bahasa Kebangsaan berfungsi sebagai bahasa perpaduan di negara ini.”

- Penerangan mengenai Malam Semarak Perpaduan di halaman 12 buku atur cara

3 Aug 2009

Gerakan Pemansuhan Istilah Bahasa Malaysia?

“Bagi tujuan Minit Mesyuarat Memartabatkan Bahasa Malaysia, biar saya tegaskan bahawa sekurang-kurangnya seorang, iaitu saya, Uthaya Sankar SB, menentang sebarang usul pemansuhan penggunaan istilah ‘Bahasa Malaysia’ oleh mana-mana pihak.”

Demikian saya menyatakan semasa Mesyuarat Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBI) pada 3 Ogos 2009 (Isnin) di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

Saya terpaksa menegaskan perkara itu berikutan ada usul daripada beberapa individu supaya penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” dimansuhkan apabila merujuk pada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia.

Usul berkenaan dikemukakan selepas pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa istilah yang digunapakai adalah “Bahasa Malaysia” selaras dengan keputusan Kabinet pada tahun 2007.

Tentu sahaja saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang!

2 Aug 2009

Menjelang 75 Tahun A. Samad Said

Semasa Dialog Sasterawan Negara: Datuk A. Samad Said di Kompleks PKNS Shah Alam pada 2 Ogos 2009, Pak Samad memberitahu para hadirin bahawa Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009, pukul 8:00 malam, bertempat di Auditorium DBP.

“Saya secara peribadi mengundang anda semua hadir ke majlis yang diadakan bagi meraikan saya. Datanglah beramai-ramai. Ini bukan demonstrasi tetapi datanglah sebagai tanda sokongan kepada saya dan para pengarang sastera,” kata beliau.

Menurut maklumat di laman sesawang Wira Bukit, buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map (terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta) akan turut dilancarkan oleh Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi Abdul Aziz.

“Bapak harap Uthaya dan anggota Kavyan juga hadir sama, walaupun hubungan Uthaya dengan DBP tidak begitu mesra,” tambah Pak Samad.

Lalu, saya memberi jaminan kepada Pak Samad bahawa saya akan hadir ke majlis berkenaan sebagai turut meraikan Pak Samad yang juga merupakan Penasihat Agung Kavyan sejak 2003.

1 Aug 2009

Foto Baca Cerpen Rudra Avatara II

Acara Baca Cerpen Rudra Avatara II pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) menyaksikan penyertaan 15 peserta dewasa yang membaca petikan cerpen-cerpen daripada Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009).
.
Sila ke album foto di Facebook [KLIK DI SINI] untuk melihat foto-foto yang dirakam semasa acara berkenaan.
.
Manakala maklumat acara boleh dibaca DI SINI.