Tuesday, 31 March 2009

PNM Perhebat Kempen Galakan Membaca

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), melalui Bahagian Gerakan Literasi Maklumat akan memperhebat aktiviti “Kelab Membaca Sinar Pintar” sempena sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa dan Hari Buku Sedunia pada bulan April 2009.

Walaupun sambutan Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa adalah pada 2 April dan Hari Buku Sedunia pada 23 April, PNM merancang aktiviti sepanjang bulan berkenaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Gerakan Literasi Maklumat PNM, Encik Abdul Majid bin Hamid berkata, beberapa aktiviti berkaitan buku dan pembacaan khusus bagi kanak-kanak akan dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 10-12 April 2009.

BACA MAKLUMAT LANJUT DI SINI

Monday, 30 March 2009

Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa

Sempena Hari Buku Kanak-kanak Antarabangsa yang disambut pada 2 April 2009, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama beberapa pihak menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan April 2009.

Presiden MBBY, Datin Paduka Hajah Shahaneem Hanoum berkata, pihaknya antara lain bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Perpustakaan Kuala Lumpur, Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Seniman Kecil dalam menganjurkan pelbagai aktiviti khusus bagi kanak-kanak dan remaja.

Maklumat lanjut boleh dibaca DI SINI.

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan berlangsung pada 29 Mac 2009 (Ahad), 10:00 pagi di Taman Sri Muda, Shah Alam.
.
Pelbagai perkara berkaitan Kavyan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan yang dikendalikan secara profesional dan terancang; serta hanya mengambil masa sejam.
.
Seperti biasa, minit mesyuarat dimuatkan di laman sesawang untuk membolehkan laporan itu dibaca oleh para ahli dan orang ramai yang berminat mengetahui perkembangan semasa Kavyan.
.
.

Sunday, 29 March 2009

Mengubah Alpa (Bahagian Akhir)

Apa pun, semua ini hanyalah hasil perbincangan kami sebagai sekumpulan kanak-kanak berumur antara sepuluh hingga dua belas tahun yang sering dianggap tidak penting oleh golongan penulis, ibu bapa, guru dan pemimpin. .
Mungkin sahaja tidak akan ada apa-apa perubahan yang berlaku di sekolah kami hasil daripada kedatangan Cikgu Siva ke sini. Semuanya kerana para guru yang datang ke sekolah estet sering menumpukan perhatian pada semua aspek di estet; kecuali memberi tumpuan terhadap murid-murid sekolah itu sendiri!

Kealpaan ini turut menular kepada golongan pengarang yang mungkin sahaja secara penuh ikhlas mahu memikul tanggungjawab membawa perubahan kepada kami.

“Apalah gunanya semua ini jika tidak kena pada sasaran?”

Akhirnya, kami memutuskan untuk cuba mengadakan pertemuan dengan Cikgu Siva dalam masa terdekat. Kami akan menyuarakan pandangan dan pemikiran kami. Kami perlu menyedarkan guru itu daripada kealpaan yang mengabui pemikiran.

Mana tahu, kami mungkin mampu mengubah apa yang berlaku dalam Alpa, walaupun novel berkenaan sudah terbit dan dibaca orang!

Buat sementara waktu, bacalah pandangan dan pemikiran kami – golongan kanak-kanak dari sebuah sekolah estet – sebagai teks yang berasingan. Atau abaikan sahaja jika anda merasakan kandungannya bertentangan dengan apa yang anda sudah terima selama ini sebagai suatu kebenaran hakiki.

[KOMEN DIALU-ALUKAN]

Saturday, 28 March 2009

Anak Emak: Mengharapkan Kelainan

Filem Melayu terakhir yang saya tonton adalah Sepet; itu pun atas desakan pelajar kolej yang meminta VCD filem berkenaan ditayangkan di auditorium kolej sebagai salah satu aktiviti Kelab Seni & Sastera.

Saya sentiasa mengharapkan “sesuatu” apabila menonton filem dalam bahasa apa sekali pun. Saya sentiasa mengharapkan supaya filem yang ditonton memberi kesan pada intelektual atau sekurang-kurangnya emosi.

Begitulah juga apabila saya menerima salinan DVD Anak Emak pada 24 Mac 2009 dan menontonnya sebanyak dua kali, dua hari kemudian.

Saya seorang penonton dan peminat filem yang berfikiran kritikal. Setiap frame biasanya mencuri tumpuan saya. Bagi saya, setiap aspek yang dipaparkan – serta teknik kesemuanya itu dipaparkan – perlu ada makna.

Realiti tidak perlu “make sense” tetapi fiksyen – termasuk filem – perlu.

Dan apa yang saya perkatakan pada majlis Apresiasi Filem Anak Emak di FINAS pada 28 Mac 2009 adalah pandangan saya secara terbuka dengan niat baik dan ikhlas.

BACA MENGENAINYA DI SINI

Mengubah Alpa (Bahagian 6)

“Hmmm … Memang banyak juga karya yang mengutarakan tema itu. Akan tetapi, adakah diselami sedalam-dalamnya atau pada permukaan sahaja?”

“Ternyata tidak! Lihat sahaja nasib penduduk di estet ini. Kita semua sedia maklum bahawa seorang ahli politik yang amat berpengaruh sentiasa memperhati kita. Kalau dia mahu, banyak yang boleh dilakukannya.”

Kalau dia mahu. Akan tetapi, ternyata dia tidak mahu.”

Kami semua terdiam seketika. Nampaknya amat jelas tentang apa – atau siapa – yang menjadi punca utama kemunduran murid-murid sekolah Tamil khususnya dan penduduk estet umumnya.

Sedangkan kami – golongan kanak-kanak yang hanya belajar di sebuah sekolah Tamil yang amat mundur di sebuah estet yang terpinggir – boleh membuat taksiran dengan amat mudah, mengapa golongan dewasa masih tidak tahu punca kepada segala masalah?

Atau mungkinkah benar pandangan bahawa mereka hanya golongan bawahan yang tidak mampu berbuat apa-apa? Atau penduduk ini hanya “beratus anjing estet” (Alpa, halaman 42) seperti digelar oleh ahli politik yang cuba mengaut keuntungan apabila estet ini dijual kelak!

Betapa baik jika Cikgu Siva memberi lebih banyak tumpuan terhadap kami – golongan murid yang mengharapkan kehadiran beliau sebagai seorang pendidik yang berilmu dan berkelayakan di sekolah kami.

Malangnya, Cikgu Siva hanyalah tipa ratusan guru yang dihantar ke sekolah-sekolah Tamil seluruh negara. Mereka lupa bahawa kamilah golongan yang perlu dididik oleh mereka. Bukan semata-mata kerana itulah tugas hakiki mereka, tetapi juga kerana kamilah golongan yang bakal mengubah nasib penduduk estet di seluruh negara.

[BERSAMBUNG ESOK]

Friday, 27 March 2009

Mengubah Alpa (Bahagian 5)

Tentu sahaja hakikat yang sedang berlaku ini adalah di luar daripada jangkauan fikiran dan imaginasi sejumlah besar pengarang.

Mungkin itulah juga antara sebab mengapa golongan pengarang lebih ketara menampilkan watak-watak daripada kalangan guru dan pemuda estet apabila mahu mengangkat tema kemunduran penduduk kaum India di estet.

“Minta perhatian,” kata rakan yang dilantik mempengerusikan mesyuarat. “Jangan kita ulangi kesilapan lalu. Jangan kita keluar daripada topik dengan membincangkan isu-isu lain yang tiada dalam agenda.”

Masing-masing terdiam seketika sambil mencerna peringatan yang diberikan oleh pengerusi mesyuarat. Peringatan yang diberikan itu memang amat wajar. Ramai pengarang yang terlalu asyik menulis sehingga lari daripada tema asal; iaitu membicarakan nasib sekolah Tamil. Sebaliknya mereka akan bercerita tentang ribuan – malah jutaan – kisah lain yang tiada kaitan secara langsung dengan tema utama.

“Apakah isu-isu yang menghalang kemajuan murid sekolah Tamil?”

“Kekurangan kemudahan sekolah.”

“Sudah dipaparkan dalam karya.”

“Guru sementara, guru yang tidak komited dan guru yang kurang berilmu.”

“Sudah dibicarakan dalam banyak karya.”

“Pemilik estet yang tidak membantu sekolah Tamil.”

“Sudah.”

“Guru besar yang ada hubungan politik dan hanya menjadi pak turut kepada pemimpin politik.”

“Terlalu biasa diceritakan.”

“Tokoh-tokoh politik yang berpura-pura mengambil berat tetapi sebenarnya hanya mahu mengambil kesempatan terhadap golongan tidak berpendidikan di estet dan ladang.”

[BERSAMBUNG ESOK]

Thursday, 26 March 2009

Mengubah Alpa (Bahagian 4)

(Foto sekadar hiasan)
.
Sebagaimana yang dapat anda duga, mereka berdua mula bercinta. Ah, sebuah kisah tipikal dalam sebuah karya Tamil! Bezanya, M. Balachandran menulis dalam Bahasa Malaysia supaya boleh dibaca oleh seluruh Bangsa Malaysia.

“Adakah hanya guru dari luar yang mampu membawa perubahan kepada seratus dua puluh penduduk di estet kita? Jika benar, apa peranan pemuda yang berfikiran radikal di estet kita sendiri?”

“Apa pula peranan ahli politik yang muluk berkata-kata?”

“Hei, jangan lupa bahawa sikap sebenar ahli politik dalam alam nyata jarang ditulis secara tuntas dalam karya sastera Tamil! Mungkin ada penulis yang berani mengkritik, tetapi pasti ada batasan. Atau mungkin ada peraturan tidak tertulis yang menjadi pegangan dalam kalangan penulis.”

“Benar. Balachandran sendiri hanya berani separuh jalan dalam mendedahkan mengenai ahli politik yang telah dan sedang memperhamba kita semua. Cikgu Siva juga tidak mampu berbuat apa-apa.”

“Apa sangat yang boleh dilakukan oleh Cikgu Siva di sekolah ini tanpa sokongan guru besar? Guru besar yang ada sekarang sudah berkhidmat di sekolah ini selama lima belas tahun. Namun, tiada apa-apa perubahan.”

“Mungkin kerana guru besar ini tiada hubungan dengan ahli politik!”

“Ah! Mustahil belaka. Jika tiada kaitan dengan orang politik peringkat tertinggi, mana mungkin beliau kekal di sekolah yang sama selama lima belas tahun?”

Perbincangan kami nampaknya semakin hangat. Mungkin sahaja para pengarang yang berusaha menulis mengenai nasib kaum India di estet tidak pernah membayangkan bahawa sekumpulan kanak-kanak kaum India berumur sepuluh hingga dua belas tahun mampu mengadakan mesyuarat dan membincangkan isu-isu yang sedang kami bincangkan sekarang.

[BERSAMBUNG ESOK]

Wednesday, 25 March 2009

Bacaan Pantas

Pada 25 Mac 2009 (Rabu), 11:00 pagi – 1:00 tengah hari, saya diundang mengendalikan Bengkel Teknik Membaca Pantas di SMK Subang, Kampung Melayu Subang. Undangan ini datang melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Berikut beberapa fakta yang akan saya kongsikan pada bengkel berkenaan:


BACAAN PANTAS (SPEED READING)

APA
– membaca dengan kadar laju
– mendapat maklumat lebih pantas.

SEJARAH
– menjadi kegilaan di Amerika Syarikat tahun 1940-an.
– 1950-an, Evelyn Wood gunakan jari untuk panduan membaca dengan laju.
– Teknik “Wood Method” yang pada 1958 dikenali “Reading Dynamics”.
– Evelyn Wood perkenalkan istilah “speed reading”.

TOKOH
– John F. Kennedy, Jimmy Carter & Rosalynn Carter

TUJUAN
– membaca dengan pantas
– jimat masa
– ulang kaji
– membasahkan ingatan
– mencari fakta (vs fiksyen)

BAHAN
– buku (paling lazim)

BUKAN BUKU
– label produk, arahan/notis, peta, akhbar, majalah, iklan, nota ulang kaji, poster, SMS, internet

TEKNIK
– gunakan jari/pembaris/penanda buku
– jangan bersuara
– membaca dengan mata
– baca rangkaian kata, bukan perkataan demi perkataan
– baca tajuk dan topik
– penggunaan fon: warna, huruf tebal, huruf condong, huruf BESAR.

BELAJAR
– Perisian komputer
– buku-buku panduan
– internet
– kursus

PANDUAN
– mata sihat
– tiada gangguan (muzik, TV dll)
– tahu topik & apa dicari
– jangan ulang baca (reread)
– jangan bersuara
– guna jari & penanda buku
– baca rangkaian kata, bukan perkataan
– berlatih 10 minit sehari – mula dengan buku fon besar
– mula dengan buku yang pernah dibaca
– mula dengan buku yang tahu kandungan
– berhenti setiap 10 minit
– tidur yang cukup
– catatkan dalam bentuk nota ringkas & peta minda

JANGAN amal bacaan pantas untuk penghayatan karya sastera!
Jika ingin mengendalikan bengkel panduan bacaan pantas di tempat saudara, hubungi saya.

Mengubah Alpa (Bahagian 3)

(Foto sekadar hiasan)
Lantas kanak-kanak yang bertugas mengambil minit mesyuarat mengeluarkan novel Alpa dari dalam beg sekolah. Dikeluarkannya juga beberapa karya Bahasa Tamil tempatan. Lalu, ditayangkannya kepada semua yang hadir.

“Sayang sekali kita semua tidak dihadirkan untuk bersuara dalam novel ini,” kata seorang lagi rakan sambil menyentuh kulit novel berwarna merah darah yang menampilkan ilustrasi sebahagian roda motosikal dan sebahagian kaki seorang manusia yang terlantar.

“Lebih menyedihkan kerana Cikgu Siva akan menerima nasib yang malang.”

Kami semua terdiam seketika mendengar ulasan itu. Sedikit demi sedikit kami mula mengingat semula kandungan novel berkenaan.

“Mungkinkah itu juga disengajakan?” Seseorang bertanya secara retorikal. “Mungkin sebagai simbol bahawa mana-mana individu yang cuba mengubah keadaan di estet akan menerima nasib malang.”

“Mungkin. Akan tetapi, kita bercakap mengenai usaha mengubah keadaan di sekolah Tamil dan keadaan murid sekolah Tamil. Bukan mengenai cubaan mengumpul para pemuda yang berfikiran radikal dan membuat tuntutan pampasan apabila estet ini dijual kepada pemaju perumahan tahun depan.”

“Bukankah itu juga isu yang cukup penting? Ramai guru lulusan maktab yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah di estet cuba membantu penduduk kaum India dalam menghadapi isu seumpama itu.”

Cikgu Siva sendiri pada mulanya tidak gembira apabila ditempatkan di sekolah kami. Beliau ternyata tidak ikhlas menjadi guru Bahasa Tamil di sebuah estet yang mundur.

Namun, keadaan berubah tidak lama kemudian. Pastinya perubahan sikap itu juga disebabkan kehadiran Cikgu Rani, anak kepada kerani estet.
.
[BERSAMBUNG ESOK]

Tuesday, 24 March 2009

Rudra Avatara di MPH dan Singapura

Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia Rudra Avatara kini boleh dibeli di Singapura; selain di beberapa gedung buku terkemuka seluruh Malaysia.

Sebelum ini, ada pembaca dari republik itu yang menghubungi saya melalui e-mel dan bertanya bagaimana mereka boleh mendapatkan buku berkenaan.

Saya pula tidak dapat memberikan jawapan yang pasti kerana masalah tukaran wang dan kos kiriman melalui pos.

Baru-baru ini, saya dihubungi Encik Mohamad Noor Mohamad Amin yang merupakan pembekal buku di republik berkenaan. Beliau berminat membeli 40 naskhah Rudra Avatara untuk diedarkan ke 26 perpustakaan di sana.

Pada pagi 24 Mac 2009, saya dihubungi semula oleh Encik Mohamad yang datang ke Kuala Lumpur. Maka, saya segera pergi menyerahkan 40 naskhah Rudra Avatara yang diminta.

Jika ada permintaan daripada pembaca, sekolah, perpustakaan dan pihak-pihak lain di Singapura, beliau akan membeli lebih banyak daripada saya.

Maka, bagi rakyat Singapura yang berminat membaca Rudra Avatara, boleh menghubungi Encik Mohamad melalui telefon bimbit 90680737.

Sementara itu, GerakBudaya Enterprise yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor pula sedang mengedarkan Rudra Avatara ke beberapa gedung buku terkemuka di seluruh negara.

Pengedaran itu diuruskan oleh Encik Zulhabri Supian.

Pada 1 Mac 2009, saya menyerahkan 255 naskhah Rudra Avatara kepada beliau. Pada 24 Mac 2009, sebanyak 250 naskhah lagi diserahkan untuk tujuan edaran ke kedai-kedai buku terkemuka seluru negara.

Maklumat GerakBudaya boleh dibaca di www.gerakbudaya.com manakala maklumat lengkap mengenai Rudra Avatara pula di SINI.

Mengubah Alpa (Bahagian 2)

Kami yang lain memandang ke arah rakan kami yang mengeluarkan pandangan itu semasa kami mengadakan mesyuarat di sebuah pondok buruk di tepi sekolah.

Pada mulanya, kami mahu mengadakan pertemuan di sekolah rendah itu sendiri. Akan tetapi, Cikgu Siva nampaknya sudah mengatur satu mesyuarat bersama-sama Abang Ravi dan sekumpulan pemuda lain dari estet kami.

“Maksud kamu?” Salah seorang daripada kami bertanya apabila tiada penjelasan lanjut diberikan oleh rakan yang bercakap tadi.

“Mungkin para pengarang secara sengaja tidak memaparkan secara mendalam watak dan perwatakan kita sebagai murid sekolah Tamil kerana memang niat pengarang untuk menghantar mesej kepada khalayak pembaca bahawa kita semua sesungguhnya merupakan golongan yang dilupakan.”

Kami yang lain terdiam seketika sambil cuba mengingat sebanyak mungkin karya – Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia – yang mengangkat tema kemunduran, kelemahan, kekurangan dan masalah murid di estet dan ladang.

Memang ada banyak karya seumpama itu. Para pengarang dengan penuh sentimen, penuh emosi dan penuh tanggungjawab berusaha gigih memaparkan segala permasalahan yang wujud di sekolah-sekolah Tamil; khususnya di estet dan ladang.

“Akan tetapi,” kata seorang kanak-kanak dalam kalangan kami, “rata-rata penulis ketara memperkatakan mengenai golongan guru, guru besar, majikan, ibu bapa, kerani estet dan pemimpin politik semata-mata.”

“Benar,” sampuk seorang lagi rakan yang menghadiri mesyuarat sulung kami. “Kita yang sebenarnya menjadi watak utama dalam karya-karya itu hanya menjadi watak-watak sampingan yang tidak berperanan. Kita hanya menjadi pemerhati yang tidak diberikan suara. Malah, dijadikan watak yang tidak bernyawa!”

[BERSAMBUNG ESOK]

Monday, 23 March 2009

Foto di Facebook

Saya sempat memuat naik foto-foto beberapa aktiviti di Facebook [sila klik untuk capaian].
.
Antaranya, foto "Konvensyen Perpustakaan Desa" (15 Mac 2009), "Di Luar Lingkungan" (16 Mac 2009), "Break Through Learning Series" (21 Mac 2009) dan "Bernama Radio24" (22 Mac 2009).
.
Juga, sekurang-kurangnya 30 foto manipulasi komputer yang menampilkan diri saya dalam pelbagai aksi yang melucukan!
.
Sila maklum bahawa foto-foto akan dimuatkan di Facebook dari semasa ke semasa.

Mengubah Alpa (Bahagian 1)

Kisah ini bukan sebuah kisah baru. Segala permasalahan yang ditampilkan di sini sudah pernah diperkatakan secara umum dan secara khusus dalam ratusan – malah ribuan – karya bahasa Tamil sejak dahulu.
.
Terkini, dalam novel Alpa karya M. Balachandran, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2006). Namun, memandangkan kehadiran kami langsung tidak dijelaskan dalam novel itu, kami memilih untuk tampil menceritakan pandangan kami.
.
Kisah ini boleh dibaca bersama-sama karya-karya terdahulu yang mengangkat tema sekolah jenis kebangsaan Tamil di estet; atau boleh dibaca secara berasingan. Malah, lebih baik dibaca secara berasingan supaya para penulis asal yang cuba (ulang: cuba) mengangkat kisah kami dalam karya mereka tidak akan melenting, lalu menghukum kami dalam karya-karya seterusnya.
.
“Saya fikir, memang wajar diri kita semua tidak dipaparkan dalam kebanyakan karya. Saya fikir, hal itu disengajakan oleh para penulis yang memang bijak menggunakan kreativiti dan lesen untuk mengkritik isu-isu sosial.”
.
[BERSAMBUNG ESOK]
.

Sunday, 22 March 2009

MIC-key Cows!


Semoga Tuhan menunjukkan belas kasihan!

Saturday, 21 March 2009

Shanjhey The Boss

Saya tidak pasti bagaimana saya mula-mula mengenali Shanjhey Kumar Perumal. Mungkin di Facebook. Ya, rasa-rasanya begitulah. (Ternyata Facebook merupakan rangkaian sosial yang amat berguna jika tahu dimanfaatkan secara positif.)

Sejak awal, Shanjhey suka merendah diri – tanpa merendahkan martabat diri. Umpama belanga yang penuh; dalam perumpamaan Tamil.

Shanjhey pernah memberitahu saya bahawa beliau yang kini berusia lewat 20-an pernah membaca cerpen “Inkontinen” yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa pada tahun 1994.

Saya amat bertuah kerana berpeluang bertemu pembikin filem dan penulis skrip ini di sebuah kafe di Jalan Klang Lama pada petang 20 Mac 2009.

Walaupun bersemuka bagi kali pertama, saya merasakan seperti sudah lama mengenali Shanjhey.

Kami membincangkan pelbagai perkara sepanjang pertemuan kami selama hampir lima jam sambil minum dan makan di kafe berkenaan. Ya, lima jam!

Antara topik yang kami bincangkan adalah berkenaan filem tempatan dan filem India, penulisan, buku, sastera Bahasa Tamil, sastera Bahasa Malaysia, pengalaman filem, filem pendek, RTM, TV3, Astro, agama, budaya, bahasa, seni dan penghayatan filem. Ringkasnya: macam-macam.

Shanjhey ternyata senang diajak berbual dan mampu memberikan pandangan yang kritikal dan matang.

Saya percaya Shanjhey mempunyai masa depan yang amat cerah dalam bidang perfileman. Tambahan, beliau tidak mudah tunduk dan mengalah pada tuntutan konvensional.

Sebuah filem pendek berjudul “Thaipoosam” yang beliau hasilkan pada tahun 2006 – zaman pra-Hindraf – telah ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa ke-36 di Rotterdam, Belanda.

Saya berpeluang menonton filem pendek berkenaan di skrin komputer riba (laptop) yang dibawa oleh Shanjhey.

Untuk mengenali Shanjhey secara lebih mendalam – serta menonton filem-filem pendek bermutu yang beliau dan rakan-rakan beliau hasilkan – bolehlah melawat laman beliau di Facebook: SILA KLIK DI SINI dan tambah Shanjhey sebagai rakan.

Friday, 20 March 2009

Klinik Kerjaya dan Resume

Saya ingin mempromosikan "Klinik Kerjaya dan Resume" yang dianjurkan oleh MCA bagi membantu mereka yang diberhentikan kerja dan yang menganggur.

Saya terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan program ini yang akan dilancarkan di Wisma MCA, Jalan Ampang pada 21 Mac 2009.


Maklumat berikut saya petik daripada siaran media yang dikirim kepada saya melalui e-mel.

Kadar pengangguran dan pekerja yang diberhentikan kerja kian meningkat secara mendadak ekoran krisis ekonomi global. Justeru, bagaimana untuk mendapat pekerjaan dan, lebih penting lagi, bagaimana untuk menarik perhatian para majikan serta diberikan peluang untuk ditemu ramah adalah merupakan dua kebimbangan utama sekarang.

Menyedari hakikat ini, Sekretariat Pembelajaran Sepanjang Hayat MCA menganjurkan "Klinik Kerjaya dan Resume" pada 21 Mac 2009 (Sabtu), 9:00 pagi di tingkat 2, Wisma MCA.

Klinik ini bertujuan membantu individu-individu yang menganggur dan mereka yang diberhentikan kerja untuk mencari pekerjaan baru dengan membuat pengubahsuaian ke atas resume mereka menerusi rundingan perseorangan dan forum kerjaya tentang tip-tip untuk mencari kerja dan mengenal pasti trend pasaran kerja sekarang. Aktiviti tersebut disokong oleh JobStreet.com.

Terdapat majikan-majikan unggul Malaysia yang akan menjalankan temuduga untuk bakal calon-calon. Sesiapa yang berjaya dalam temuduga akan ditawar peluang pekerjaan serta-merta.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat profesional terhadap bagaimana untuk memperbaiki resume dan berminat untuk mengetahui tentang tip-tip mendapatkan pekerjaan, sudikanlah menghadiri aktiviti tersebut.


Para peserta untuk Klinik Kerjaya dan Resume adalah dikehendaki untuk membawa bersama resume masing-masing.

Jika terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan, sila hubung Pembelajaran Sepanjang Hayat MCA di talian 03-2161 8044 sambungan 418-421 atau e-mel kepada: info@lll.net.my.

Atau hubungi terus Cik Sue F Law (016-3436586) untuk maklumat segera.



Thursday, 19 March 2009

Bertemu Ali di Pandan Indah

“Ali, saya amat berbangga dapat bertemu kamu. Kamu ternyata amat ikhlas dalam berkawan walaupun kamu tidak tahu siapa saya. Semoga dapat terus berkawan.”

Demikian SMS yang saya kirim kepada seorang sahabat baru yang sempat saya temui selama hampir 30 minit di sebuah gerai makan di Pandan Indah pada sebelah malam 18 Mac 2009.

Biasanya, apabila saya ke mana-mana, akan ada orang yang mengenali saya sama ada sebagai pengulas akhbar, penyampai berita, penulis, penyair atau pensyarah. Atau sekurang-kurangnya pernah mendengar suara saya atau melihat foto saya atau membaca nama saya di akhbar dan majalah.

Sebaliknya, Ali hanya mengenali saya sebagai “Sankar” di sebuah rangkaian sosial di ruang siber; sebagai seorang individu yang “suka berkawan dengan sesiapa yang sudi”.

Kebanyakan “sahabat” saya di rangkaian sosial berkenaan tidak memerlukan masa yang lama untuk mengetahui identiti sebenar saya sebagai seorang sasterawan dan “personaliti TV”.

Ali pula hanya mengenali saya berdasarkan maklumat yang saya paparkan pada profil di rangkaian sosial itu: foto, umur, alamat e-mel, tempat tinggal, tua tetapi awet muda, ada dua anak, dan bernama “Sankar”.

Ternyata Ali memang tidak gemar membaca dan kurang menonton televisyen!

Saya pula hanya mengenali Ali selama hampir sebulan di ruang siber. Kami biasanya bertanya khabar dan berbual hal-hal yang amat umum. Tanpa menyentuh hal-hal politik. Tanpa menyentuh hal-hal peribadi.

Saya sentiasa mengelak daripada bertanya maklumat diri, keluarga, pendidikan dan pekerjaannya kerana tidak mahu Ali bertanya akan soalan yang sama kepada saya!

Akhirnya, pada tengah hari 18 Mac 2009, kami bersetuju melalui SMS untuk bertemu pada sebelah malam. Saya memandu ke Pandan Indah seperti yang dijanjikan.

Sejak awal pertemuan, Ali ternyata seorang pemuda yang tidak bersikap prejudis. Kami terus menuju ke sebuah gerai berdekatan untuk minum sambil berbual-bual.

Sekali lagi, saya mengelak daripada bertanya soalan-soalan yang boleh membuka ruang kepada Ali untuk “mengetahui” identiti saya secara mendalam.

Ternyata amat seronok apabila dapat berbual dengan seorang individu yang benar-benar tidak mengenali kita! Bukanlah pula bermakna saya cuba menipu Ali dengan menyembunyikan identiti sebenar.

Dalam masa sekitar 30 minit yang sempat kami luangkan bersama di gerai itu, saya mendapat tahu bahawa Ali suka menonton filem seram dan komedi.

Katanya, “kalau saya menonton wayang bersama-sama kawan-kawan, pawagam pasti riuh.”

Apapun, perkara paling utama yang dapat saya kesan pada sikap Ali adalah keikhlasannya dalam persahabatan.

Suatu hari nanti – atau jika terbaca catatan ini! – Ali tentu akan mendapat tahu “rahsia” bahawa sahabat yang bernama “Sankar” sebenarnya adalah “Uthaya Sankar SB”.

Namun, saya percaya dan berharap Ali akan terus ikhlas dalam persahabatan antara dua generasi ini.

Wednesday, 18 March 2009

Menghadapi Situasi Dibuang Kerja

Break Through Learning Series yang diusahakan oleh MCA menawarkan siri ceramah dan kursus jangka pendek bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah menangani masalah kegawatan ekonomi dengan cara menguatkan dan membangunkan skil serta membina pandangan positif. Segala panduan ini dikemukakan dalam risalah kecil yang memuatkan panduan menghadapi masalah dibuang kerja.

Risalah berkenaan diterbitkan oleh MCA melalui program “Pembelajaran Sepanjang Hayat” (Lifelong Learning; LLL) dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Memandangkan saya memang terlibat dalam menggerakkan “Lifelong Learning Reading Club”, maka saya diberi kepercayaan untuk menterjemah risalah berkenaan daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia.

Hemantha Kumar, penyunting Berita Tamil (Radio) RTM pula diberi tugas dan tanggungjawab menterjemah ke Bahasa Tamil serta mencari perisian Tamil bagi membuat atur huruf (typesetting) risalah berkenaan dalam versi Bahasa Tamil.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia hanya kerja mudah; dan mudah juga untuk dilakukan kerja-kerja atur huruf.

Bagi versi Bahasa Tamil pula, Kumar menghadapi masalah mendapatkan perisian yang sesuai. Akhirnya, Kumar menaip menggunakan WordPad dan saya mengirimnya melalui e-mel kepada Cik Sue F Law yang tentu sahaja boleh membuka fail berkenaan tetapi tidak faham apa yang tertera!

Pada tengah hari 17 Mac 2009, saya dan Kumar ke pejabat LLL di Wisma MCA, Jalan Ampang dan dimaklumkan bahawa fail versi Bahasa Tamil yang dikirim itu boleh dibuka menggunakan MicrosoftWord tetapi tidak dapat “dibaca” dalam perisian Adobe Illustrator yang digunakan untuk membuat reka bentuk dan atur huruf risalah berkenaan.

Datang seorang pakar IT membantu petugas MCA yang menghadapi masalah itu. Tidak boleh. Kumar cuba membantu dengan perisian Tamil yang dibawa bersama. Tidak berjaya. Tulisan Tamil muncul dalam kedudukan yang tidak tersusun.

Cik Sue F Law dan rakan-rakannya tidak patah semangat. Mereka tetap mahu melakukan apa sahaja yang boleh dan perlu dalam memastikan risalah “Menangani Kehilangan Kerja” turut diterbitkan dalam Bahasa Tamil.

Saya dan Kumar pula menghubungi beberapa rakan yang mempunyai pengalaman menerbitkan bahan bercetak dalam Bahasa Tamil. Menurut mereka, masa sekitar seminggu diperlukan untuk melakukan atur huruf Bahasa Tamil bagi risalah enam halaman itu.

Risalah berkenaan akan dilancarkan pada Sabtu, 21 Mac 2009 dan perlu siap selewat-lewatnya pada Khamis, 19 Mac 2009!

Petugas di LLL MCA yang membuat reka letak risalah itu tetap tidak menyerah kalah.

Walaupun beliau tidak tahu Bahasa Tamil – serta tidak tahu apa-apa mengenai tulisan Tamil! – beliau tetap sanggup menyusun huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan Bahasa Tamil pada risalah, berpandukan teks Bahasa Tamil yang disediakan oleh Kumar.

Saya dan Kumar hanya mampu berpandangan sebagai tanda melahirkan rasa kagum dan terharu terhadap semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh petugas LLL MCA terbabit dalam memastikan risalah berkenaan tetap dapat diterbitkan dalam Bahasa Tamil; selain Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris.

Saya tidak tahu sama ada MIC turut menerbitkan/mengedarkan risalah seumpama ini dalam Bahasa Tamil kepada para ahli parti berkenaan khasnya, dan masyarakat India umumnya.

Saya rasa tidak perlu; kerana MCA sudahpun melakukan tanggungjawab itu dengan semangat Bangsa Malaysia sejati. MIC bolehlah membantu dengan mengedarkan risalah ini serta memastikan maklumat yang terkandung di dalamnya sampai kepada masyarakat umum (kaum India) dengan kadar segera.

Risalah itu antara lain memberi panduan yang cukup mudah dan praktikal berhubung tindakan-tindakan segera yang wajar diambil sekiranya seseorang dibuang kerja.

Untuk makluman, risalah berkenaan serta projek “Break Through Learning Series” akan dilancarkan di Tingkat 2, Wisma MCA, Jalan Ampang (di antara KLCC dan Hotel Nikko) pada pukul 9:30 pagi, Sabtu, 21 Mac 2009.

Dapatkan maklumat lanjut dan perkembangan mutakhir dengan menghubungi Cik Sue F Law di LLL MCA (03-21618044 sambungan 418); atau layari laman sesawang Lifelong Learning.

Sementara itu, saya dan Kumar (akan) pergi semula ke Wisma MCA pada tengah hari 18 Mac 2009 untuk membaca pruf bagi risalah versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil.

Tentu sahaja kami berdua (akan) melangkah masuk ke Wisma MCA dengan perasaan bangga dan kagum atas semangat Bangsa Malaysia dan kesungguhan yang diamalkan oleh MCA selepas 60 tahun penubuhannya dalam usaha menghulurkan bantuan merentas batas kaum.

Tuesday, 17 March 2009

Di Luar Lingkungan

Semasa menyertai Konvensyen Perpustakaan Desa di Johor Bahru, saya dan Sayed Munawar banyak juga berbincang mengenai bicarawara Di Luar Lingkungan yang diterajui beliau dan bersiaran di TV1, setiap Isnin, 9:30 malam.

Sebelum itu, Sayed (yang merupakan kembar saya; emak lain-lain, bapa asing-asing) pernah bertanya apakah saya setuju untuk tampil sebagai “sidekick” dalam rancangan berkenaan.

Pada 15 Mac 2009, sekitar 10:00 malam, Sayed mengirim SMS dan mempelawa sekali lagi. Maka, terus saya menyatakan persetujuan.

Sekitar pukul 6:30 petang, Isnin, 16 Mac 2009, seperti yang dijanjikan, saya ke Studio 1, Angkasapuri. (Saya di Bilik Operasi Unit Bencana RTM sejak awal pagi.)

Sayed sempat menunjukkan set yang bakal digunakan serta memberi sedikit taklimat mengenai Di Luar Lingkungan.

Masalah paling besar adalah dalam menentukan pakaian saya! Saya sebagaimana biasa, menyimpan kot dan kemeja di dalam kereta. Sayed mahu saya berpakaian gaya santai sedikit.

Maka, saya memakai kemeja dan ves. Kemudian didapati kurang sesuai. Bertukar kepada kot. Kurang sesuai dengan imej rancangan.

Tukar lagi; entah berapa kali! Akhirnya, kemeja tajaan serta ves – sepertimana saya muncul di kaca televisyen.

Saya telah mempromosi mengenai “kemunculan” saya melalui Facebook dan kiriman SMS. Banyak komen diterima.

Kemunculan saya dalam rancangan bicarawara Di Luar Lingkungan sebenarnya sekejap sahaja. Comeo? Pelakon undangan? Penampilan istimewa? Demikian antara istilah yang dilontarkan di Facebook oleh rakan-rakan.

Apapun, walaupun hanya muncul mengajak penyertaan para penonton di laman sesawang DLL dan grup Facebook DLL, serta membacakan sedikit petikan AgendaDaily dan Utusan Online; dan membaca tiga e-mel, saya masih berpuas hati kerana mampu melakukan yang terbaik.

Monday, 16 March 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PPMN2009) bertemakan “Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran” pada 17-19 April 2009 (Jumaat-Ahad) di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka Bandar Raya Bersejarah.

Dalam surat undangan bertarikh 4 Mac 2009 dan diterima oleh pihak Kavyan pada 14 Mac 2009, Biro Penulis Muda PENA menyebut bahawa antara matlamat PPMN2009 adalah mengintrospeksi perjuangan penulis muda hari ini setelah negara melalui cabaran 50 tahun mengekalkan kemerdekaan negara.

Selain pembentangan kertas kerja, PPMN2009 turut membuka ruang diskusi penulis muda mapan [sic] dan baru.

Sunday, 15 March 2009

Konvensyen Perpustakaan Desa

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Konvensyen Perpustakaan Desa 2009 pada 15 & 16 Mac 2009 di Hotel Zon Regency, Johor Bharu.

Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh Dato’ Seri Hj Mohd Shafie bin Hj Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Saya akan turut memperkatakan mengenai “Memperkasa Perpustakaan Desa Sebagai Pusat Kegiatan Ilmu dan Pembelajaran Sepanjang Hayat” pada konvensyen ini yang diadakan untuk memperkasa Perpustakaan Desa sebagai pusat kegiatan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, Konvensyen Perpustakaan Desa 2009 juga bertujuan menggalakkan minat membaca serta meningkatkan penglibatan masyarakat setempat melalui pelaksanaan aktiviti perpustakaan; dan menjalinkan kerjasama antara PNM dan Perpustakaan Awam negeri-negeri, agensi-agensi kerajaan seperti KEMAS, FELDA dan masyarakat setempat.

Peserta konvensyen terdiri daripada petugas Perpustakaan Desa, Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa, wakil perpustakaan/pusat sumber KEMAS dan FELDA serta wakil institusi pengajian tinggi.
Antara pandangan yang akan saya kemukakan (jika diizinkan Tuhan) adalah:
1. Koleksi bahan bacaan – pelbagai, terbaru

2. Perpustakaan bukan arkib

3. Bukan tempat untuk membaca buku semata-mata

4. Aktiviti berkaitan buku dan bahan bacaan

5. Aktiviti menggunakan bahan audio-visual

6. Petugas yang bersemangat dan berminat

7. Latihan bagi petugas perpustakaan

8. Bawa penulis untuk aktiviti – dialog, bertemu, bersantai

9. Terima pandangan & cadangan pihak luar – Cadangan MCA

10. Peruntukan wang untuk menampung kos aktiviti

11. Suasana yang “memikat” di dalam perpustakaan

12. Aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan -- Surat cadangan aktiviti Kavyan kepada Ketua Pengarah PNM

13. Bengkel penulisan (cerpen, makalah, berita, pantun, sajak)

14. Semalaman di Perpustakaan

15. Baca Cerpen & Baca Puisi

16. Libatkan penduduk setempat (murid-murid, pelajar, ibu bapa, pesara, suri rumah, belia dll) dalam aktiviti – jadual bertugas di perpustakaan & jawatankuasa penganjur aktiviti

17. Mengunjungi penduduk di rumah – jangan tunggu orang datang

18. Kelab Membaca Sinar Pintar – taklimat & aktiviti di Perpustakaan Desa

Saturday, 14 March 2009

SMS daripada Rakan yang Jauh

Banyak juga SMS dan e-mel yang saya terima daripada rakan-rakan dan bekas pelajar selepas mereka menonton saya dalam rancangan “Ally” pada 11 Mac 2009. (Baca catatan lalu.)

Saya tertarik membaca salah satu SMS yang saya terima pada 12 Mac 2009. Kata rakan yang mengirimnya:

“Saya menonton kemunculan saudara semalam [11 Mac]. Memang menarik.

“Tetapi saya ada cerita untuk dikongsi dengan saudara tentang suami saya. Sudah hampir 20 tahun berkahwin, suami saya tidak pernah menyokong dunia penulisan; apatah lagi rakan-rakan sastera saya. Barangkali dia cemburu.

“Entah macam mana, dengan kewujudan buku saudara [Rudra Avatara] dan dibelek anak-anak, dia baru sedar, pemuda yang bernama Uthaya [Sankar SB] adalah sahabat isterinya.

“Jadi, petang semalam [11 Mac], saya beritahunya yang saya mahu menonton kemunculan Uthaya. Tiba-tiba dia boleh datang duduk bersama! Biasanya dia tidur awal.

“Rupa-rupanya dia pun minat terhadap saudara. Kalau sebelum ini, dia akan berlalu jika saya menonton Anjung Seni. Anak-anak pun dia tegah menghadiri acara sastera. Dan saya tidak menulis lagi [karya sastera] kerananya.

“Terima kasih kerana menjadi sahabat saya.”

Friday, 13 March 2009

Di Sebalik Tabir "Ally"

Terima kasih kepada semua yang telah sudi menonton rancangan “Ally” menerusi TV3 pada pukul 11:00 malam, Rabu, 11 Mac 2009.

Selepas siaran rancangan berkenaan yang memaparkan “Siaran Langsung” pada sudut kanan, atas skrin televisyen, ada kenalan yang menelefon untuk mengucapkan tahniah serta melahirkan rasa tidak puas hati kerana kemunculan saya hanya “sekejap”.

Saya masuk kerja di Bilik Operasi Unit Bencana RTM selepas tengah malam. Sempat memuatnaik beberapa foto yang diambil pada rancangan “Ally” ke Facebook. Dan sempat juga membaca beberapa komen yang dimasukkan oleh rakan-rakan.

Memanglah tidak banyak perkara yang sempat diperkatakan dan disiarkan dalam rancangan sejam itu yang tidak kurang “meriah” dengan iklan! Tambahan pula ada empat tetamu pada kali ini, berbanding biasanya tiga orang sahaja.

Ada juga rakan-rakan di Facebook yang meminta diceritakan “kisah-kisah di luar siaran”. Cadangan yang baik. Apapun, ada pelbagai “rahsia” dan aktiviti di luar waktu siaran yang merupakan sebahagian daripada gerak kerja pihak penerbitan.

Maka, saya memilih untuk tidak menulis (“mendedahkan”?) mengenainya di sini.

Semasa saya mula-mula bertemu Rita Kalsom Rafi, beliau sedang makan bersama seorang pegawai TV3. Saya dan Ally Iskandar menyertai mereka. Seperti yang Ally ceritakan semasa siaran, kami bertiga menggunakan sudu dan garfu sementara Rita menggunakan jari untuk makan.

Pada mulanya, apabila mendengar Rita rancak – dan sedikit rasa malu-malu – berbual menggunakan Bahasa Inggeris yang fasih dan penuh gaya “mat salleh”, saya fikir beliau rakyat asing.

Kemudian, semasa berada di bilik solekan, saya berpeluang mendengar Rita bercakap Bahasa Malaysia (loghat utara) dengan amat lancar. Rupa-rupanya, Rita anak kacukan – seperti diceritakannya dalam rancangan “Ally”.

Si Qawi pula pada mulanya amat pendiam. Saya pula yang bertanya itu-ini mengenainya.

Akan tetapi, apabila naik ke pentas bersama-sama Ally, Qawi mengalami transformasi yang hebat! Remaja berumur 13 tahun itu begitu rancak bercerita kisah dan pengalaman di sekolah aliran Cina!

David Teo pula penerbit filem yang hanya saya berpeluang untuk bercakap apabila kami sudah sama-sama berada di pentas bersama Ally.

Terus-terang, saya merasakan perbezaan yang ketara antara kami berdua. Beliau mengakui “lebih Melayu daripada Cina” sedangkan saya pula “lebih Malaysia daripada Melayu/India”.

Beliau berpendapat “asal orang faham sudahlah” mengenai penggunaan Bahasa Malaysia, manakala saya pula memeriksa bahasa pada SMS sebelum mengirim!

Rakan-rakan yang menonton rancangan “Ally” mungkin sempat menyedari perbezaan ini. Apapun, segala perbezaan inilah yang menjadikan Bangsa Malaysia amat unik.

Apapun, tidak semua perkara yang dibualkan oleh Ally, Uthaya, Rita, David Teo dan Qawi berpeluang diketahui oleh penonton di rumah.

Kalau tidak percaya, cuba bertanya kepada pelajar UiTM yang hadir di studio sebagai penonton.
Catatan: Dapatkan foto di Facebook.

Thursday, 12 March 2009

Sesi Dialog Ketua Pengarah PNM Bersama Penulis

Melalui surat yang diterima pada 26 Februari 2009, saya antara penulis yang diundang menghadiri “Sesi Dialog Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Bersama Penulis” yang diusahakan oleh Bahagian Pembinaan Koleksi Negara dan Pendokumentasian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 12 Mac 2009, 8:15 – 11:00 pagi.

Pada 6 Mac 2009, saya ke pejabat Ketua Pengarah PNM, Encik Raslin bin Abu Bakar untuk menyerahkan surat cadangan beberapa aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan yang memenuhi kriteria “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya” dan “Masyarakat Membaca, Masyarakat Berilmu”.

Bagi saya, perbincangan semata-mata mengenai dana pembelian terus buku-buku karya penulis tempatan oleh PNM dan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 tidak memadai.

Di dalam surat sepanjang dua halaman itu, disenaraikan beberapa cadangan daripada pihak Kavyan dalam usaha merancakkan aktiviti bahasa dan sastera; melahirkan Bangsa Malaysia yang gemar membaca; dan memperkasa perpustakaan sebagai pusat kegiatan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

(1) Baca Cerpen Kavyan – Aktiviti ini boleh mensasarkan golongan kanak-kanak, remaja atau dewasa. Aktiviti ini memberi peluang kepada khalayak untuk membaca, mendengar serta menghayati teks cerpen secara lebih mendalam dan lebih menyeronokkan. [Contoh tahun 2008]

(2) Bengkel Menulis Cerpen – Bengkel sehari ini bertujuan memberi tunjuk ajar kepada penulis baru (remaja atau dewasa) mengenai penulisan cerpen serta panduan mengirim karya kepada editor akhbar/majalah. [Contoh tahun 2008]

(3) Bengkel Menulis Makalah – Bengkel sehari ini bertujuan membimbing peserta mengenai cara-cara menulis makalah (rencana), khususnya makalah berkaitan budaya untuk disiarkan di majalah. [Contoh tahun 2008]

(4) Bengkel Kewartawanan – Bengkel sehari ini membimbing peserta (remaja dan dewasa) mengenai penulisan laporan dan berita untuk tujuan penyiaran di akhbar dan majalah. Turut diselitkan aspek etika dan peraturan semasa menulis laporan dan berita.

(5) Taklimat dan Aktiviti Kelab Membaca Sinar Pintar – Kavyan sudah sedia menjalankan aktiviti ini di beberapa tempat dalam usaha mempromosi Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP). Kerjasama yang lebih erat dengan Bahagian Gerakan Literasi Maklumat dan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia PNM pasti boleh membantu menjayakan lagi usaha ini. Selain daripada taklimat bagi menambah Ahli dan Mentor KMSP, Kavyan juga menjalankan pelbagai program khusus bagi kanak-kanak dan remaja sebagai pengisian aktiviti. [Contoh tahun 2008]

(6) Penghayatan Sastera Remaja – Aktiviti ini bertujuan menimbulkan minat golongan pelajar dan remaja terhadap sastera, buku dan pembacaan. Peserta diberi peluang mendekati puisi tradisional, cerpen dan sajak secara santai dan menyeronokkan; tanpa terikat pada motif peperiksaan. [Contoh tahun 2008]

Beberapa aktiviti di atas pernah dicadangkan kepada PNM dan pernah juga dilaksanakan oleh Kavyan dengan kerjasama PNM.

Bagaimanapun, harapan Kavyan adalah supaya Encik Raslin bin Abu Bakar dapat memberi sokongan padu bagi memungkinkan aktiviti bahasa dan sastera anjuran Kavyan dengan kerjasama PNM dijadikan aktiviti bulanan (atau sekurang-kurangnya dua bulan sekali).

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Kavyan mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan. Maka, tidak timbul masalah dari aspek perancangan dan pengendalian.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, PNM pula mempunyai kemudahan dan peruntukan bagi menjayakan aktiviti bahasa dan sastera yang dicadangkan.

Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan juga tidak melibatkan kos yang tinggi.

Di dalam surat berkenaan, saya turut menyatakan harapan pihak Kavyan bahawa Encik Raslin bin Abu Bakar akan memberi reaksi positif terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan itu semasa Sesi Dialog pada 12 Mac 2009; atau mengatur pertemuan khas bersama wakil Kavyan pada tarikh lain untuk membincangkan cadangan aktiviti secara lebih lanjut.

Kita nantikan dengan penuh harapan.

Wednesday, 11 March 2009

Menjadi "Otai"!

Latihan Kewartawanan Asas yang saya kendalikan bagi sekitar 15 kakitangan baru Unit Khas, Galeri Perdana dan Unit Bencana RTM pada 3-10 Mac 2009 bukan suatu peristiwa besar yang perlu diberi perhatian.

Malah, kehadiran saya sebagai “tenaga pengajar” bukan sesuatu yang dirancang. Sebaliknya, memandangkan tidak ada sesiapa yang tampil untuk membimbing mereka secara formal, maka saya menawarkan diri semasa sesi suaikenal pada pagi 2 Mac 2009.

Apa tidaknya. Daripada saya membiarkan pengalaman yang ada pada diri ini tersimpan begitu sahaja, elok saya kongsikan bersama-sama staf baru ini yang memang bersedia untuk berkongsi ilmu.

Mungkin ada individu yang hanya akan tampil sebagai tenaga pengajar jika ada sesi formal yang menampilkan pula orang kenamaan sebagai perasmi.

Bagi saya, biarlah latihan dilakukan pada skala kecil kerana apa yang penting adalah ilmu yang disampaikan; bukan upacara perasmian yang hebat dan pengisian yang kurang berbobot.

Maka, menggunakan cara dan gaya saya sendiri, saya sempat berkongsi ilmu dengan tenaga muda yang menyertai Latihan Asas Kewartawanan. Bagi saya, ilmu yang ada merupakan anugerah Tuhan dan hanya bernilai apabila dikongsi dengan orang lain.

Sebahagian foto yang sempat dirakam boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

Tuesday, 10 March 2009

Ally & Charles

Pada 5 Mac lalu, Ally Iskandar menghubungi saya melalui Facebook dan bertanya sama ada saya sudi menjadi tetamunya dalam rancangan Ally (TV3, Rabu, 11:00 malam).

Saya menjawab ringkas: Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Tentulah gembira apabila kemampuan kita mendapat perhatian; di tengah-tengah budaya “kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan” semakin berleluasa.

Sebelum ini, saya pernah bergandingan dengan Ally sebagai pengacara majlis Rumah Terbuka Deepavali di KL Sentral pada awal November 2008.

Pada Tahun Baru Cina lalu, Ally menghubungi semasa rancangan MHI (TV3) untuk mengajak saya berbual dengan tetamu di studio, Dr Lim Swee Tin dan Selina S. F. Lee.

Berbalik pada cerita asal, selepas waktu kerja pada 9 Mac 2009, saya ke Sri Pentas untuk bertemu Ally bagi membincangkan rancangan Ally yang akan dirakam sebahagiannya pada 11 Mac 2009, pukul 3:00 petang di studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam.

Topik yang bakal dibicarakan adalah “Saya Anak Malaysia”. Kami sepakat untuk tidak terlalu formal dan menyediakan soalan. Sebaliknya, biarlah dibincangkan secara santai dan spontan semasa rakaman nanti.

Ally juga mengakui membaca blog saya apabila ada masa; serta suka pada cara saya melahirkan pemikiran saya untuk bacaan seluruh Bangsa Malaysia serta sesiapa yang tahu Bahasa Malaysia.

Berbalik pada rakaman Ally pada Rabu, 11 Mac 2009 di Glenmarie, saya bercadang membaca 5 orang bersama-sama saya. Jika ada yang berminat, silalah SMS maklumat diri ke 012-3368142 selewat-lewatnya pukul 4:00 petang, 10 Mac 2009.

Semasa saya di Sri Pentas, Charles Mohan dari NTV7 juga meluangkan masa untuk berbual-bual dengan saya. (Beliau mendapat tahu mengenai kedatangan saya selepas membaca status di Facebook: “Uthaya ke Sri Pentas petang ini.”)

Kami bualkan kisah-kisah lama kerana Charles merupakan junior saya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Kali terakhir kami bertemu adalah sewaktu Charles masih seorang wartawan di NTV7 dan belum menjadi penyampai berita.

Siapa sangka rakan-rakan di Sri Pentas mengikuti perkembangan saya serta lebih menghargai bakat dan kebolehan saya dalam bidang penyiaran! Hanya jauhari yang mengenal manikam. ...

Monday, 9 March 2009

Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia

Selesai waktu bertugas di Bilik Operasi Unit Bencana RTM pada pukul 8:00 pagi, 8 Mac 2009 – genap setahun tsunami politik melanda negara – saya segera ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana tidak mahu terlewat menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Majlis Penjenamaan Semula Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia.

Seperti yang sepatutnya telah saya duga, mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 8:30 pagi hanya bermula pada pukul 10:45 pagi; selepas hadirin bersarapan dan berbual-bual serta saling berkenalan.

Pada saat akhir, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia, Encik M. B. Selan meminta saya menjadi pengacara majlis; suatu tugas yang sebenarnya tidak sukar, lalu saya laksanakan dengan gembira.

Setiausaha Kebangsaan, Encik Saravanan menyampaikan ucapan alu-aluan di hadapan sekitar 15 Ahli Majlis Tertinggi yang hadir dari seluruh negara.

Timbalan Presiden Kebangsaan, Dr Thiagaraj Sivanandam pula dalam ucapan beliau menyentuh mengenai harapan pertubuhan agar Aswara menghulur bantuan serta membuka peluang kepada belia kaum India amnya dan ahli Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia khasnya untuk meneruskan pengajian di Aswara.

Pengarah Bahagian Kualiti dan Polisi Akademik Aswara, Encik Mohd Amir Hakim Mohd Yusof semasa ucapan perasmian Majlis Penjenamaan Semula Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia berkata, terdapat pengambilan pelajar Diploma dan Sarjana Muda pada Julai 2009 dan tarikh tutup adalah pada 30 April 2009. [Maklumat di sini]

Maka, kini, peluang dan ruang sudah diberikan; terpulang kepada belia kaum India menggunakan sebaik-baiknya ruang dan peluang ini. Encik Mohd Amir turut mengakui bahawa jumlah pelajar kaum India di Aswara adalah amat sedikit walaupun maklumat ada disiarkan di dua akhbar utama Bahasa Tamil.

Perasmian Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Seni Muzik India Malaysia pula disempurnakan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Nik Muhamad Faiszulikwan Mohammad.

Beliau menjelaskan bahawa JKKN menyediakan bantuan kewangan melalui “skim kebudayaan”, selain memberi peluang membuat persembahan kebudayaan di dalam dan luar negara.

Dalam ucapannya, Ketua Perhubungan Negeri Sembilan, Encik P. Manimaran pula menyentuh mengenai pentingnya penyebaran maklumat mengenai peluang di Aswara dan JKKN kepada masyarakat India.

Sepanjang mesyuarat, Encik M. B. Selan banyak berkongsi pengalaman pahit-manis beliau mengemudi pertubuhan ini sejak sekian lama. Beliau juga mengharapkan kerjasama padu daripada semua Ahli Majlis Tertinggi bagi memantapkan pertubuhan.

Perancangan juga dibuat untuk menambah ahli pertubuhan pada peringkat negeri.

Peneraju berpengalaman dari THR Raaga, “Anbulla” Maaran pula menekankan aspek promosi dan publisiti untuk menarik minat golongan seniman dan budayawan kaum India pada pelbagai peringkat umur di seluruh negara supaya menyertai pertubuhan ini.

Tarikh-tarikh bagi Mesyuarat Penubuhan dan Majlis Pelancaran Pertubuhan Peringkat Negeri juga ditetapkan dari 4 April hingga 3 Mei 2009.

Turut dibincangkan perancangan aktiviti 2009 di mana aktiviti-aktiviti akan dibahagikan mengikut negeri supaya tidak berlaku pertindihan dari segi tarikh dan jenis aktiviti.

Majlis penutupan serba ringkas disempurnakan sekitar pukul 6:30 petang oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Kreatif JKKN, Encik Hasryn Izzuddin Mohd Khairy.

Foto-foto yang dirakam semasa majlis ini boleh dilihat di Facebook. Sila ambil perhatian bahawa hanya individu yang mendaftar sebagai ahli Facebook (percuma) dan menambah uthayasb@yahoo.com.my sebagai “rakan” boleh mengakses ke “album foto” yang disediakan.

Sunday, 8 March 2009

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Ada rakan-rakan yang bertanya, mengapa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tidak “bersuara” berhubung isu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pertanyaan seumpama itu sebenarnya tersalah sasar. Pada hakikatnya, Kavyan sentiasa “bersuara” dan “bertindak” berhubung usaha mendaulatkan, memperkasa dan memperjuangkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi.

Sejak diasaskan pada tahun 1999, Kavyan sentiasa berpegang pada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”. Aktiviti Kavyan menggunakan Bahasa Malaysia dan terbuka kepada seluruh Bangsa Malaysia.

Pandangan Kavyan berkaitan kepentingan dan kedudukan Bahasa Malaysia ada juga disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia (Kavyan Daulatkan Bahasa Malaysia dan Kavyan Kesal Nasib Bahasa Malaysia).

Memang, dalam isu Sains dan Matematik, Kavyan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi; apatah lagi mengadakan/menyertai sebarang tunjuk perasaan di tempat umum.

Saya percaya, Kavyan mempunyai cara tersendiri.

Bagi saya sendiri, apabila penggunaan Bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik diumumkan pada hujung tahun 2002, saya sudah berfikiran jauh dan membayangkan “kejayaan” mengembalikan pengajaran subjek-subjek berkenaan dalam Bahasa Malaysia (di Sekolah Kebangsaan; manakala dalam bahasa ibunda di SJK Cina dan Tamil).

Dari situlah terhasilnya sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang disiarkan di ruang siber pada 26 Disember 2002 dan di akhbar Mingguan Malaysia pada 24 Jun 2007; serta disalaherti oleh kelompok tertentu lalu menghasilkan tsunami!

Mungkin dengan adanya kemampuan untuk berfikir secara lebih rasional sekarang, pihak berkenaan dapat memahami sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” dalam konteks sebenar!

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Saturday, 7 March 2009

Pe(r)juang(an) Bahasa II

kuraikan kejayaan
menumpaskan petualang
kusambut kemenangan
menewaskan dalang

tari si dalang sudah berakhir
kemenangan kini ada di tangan
di muka kelir menari-nari
wijaya perjuangan nekad dan berani

nescaya ada lagi
dalang dan talam cuba mencabar
kita cabar ia di muka pentas
buktikan siapa benar, siapa bertopeng
kejayaan tetap bagi kebenaran

ayuh kita raikan kejayaan
ayuh kita sambut kemenangan
petualang bahasa sudah tumpas
dalang bahasa sudah tewas

dirgahayu bahasaku!
dirgahayu Bahasa Malaysia!


Sajak ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 24 Jun 2007. Tanpa diduga, menimbulkan kemarahan dalam kalangan sekelompok kecil manusia yang khabarnya – menurut sumber – terlalu marah kepada pemerintah yang memutuskan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia”. Apa yang menyedihkan – dan tentunya amat memalukan! – adalah bahawa sajak ini turut disalah tafsir sesedap rasa oleh beberapa individu. Percayalah: terbukti sebuah sajak yang maha mudah tetap boleh menimbulkan “gelombang besar” yang menggoncang dunia. Baca catatan lanjut DI SINI

Hak Untuk Tidak Mengundi

Saya sering memberitahu pelajar saya semasa kuliah dan perbincangan subjek Pengajian Malaysia: Mengundi Adalah Hak – Termasuk Hak Untuk Tidak Mengundi.

Saya tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum 1999 kerana “malas”.

Saya tidak sempat mengundi pada Pilihan Raya Umum 2004 kerana bertugas di sebuah pusat pengundian di Shah Alam; sedangkan pusat mengundi saya di Klang/Kapar.

Saya bertugas di sebuah pusat pengundian di Shah Alam pada Pilihan Raya Umum 2008 dan sempat mengundi di Shah Alam menggunakan tanda “pass” (bukan tanda “pangkah”).

Saya sering mengingatkan pelajar saya di kolej bahawa tanda “pangkah” bukan satu-satunya tanda yang sah untuk digunakan semasa menandakan kertas undi.

Saya menggalakkan pelajar saya mendaftar sebagai pengundi kerana hanya rakyat Malaysia berumur minimum 21 tahun yang masih waras dan tidak dipenjarakan semasa tarikh pilihan raya – dan sudah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, tentunya – layak mengundi.

Banyak kali saya terpaksa menjawab pertanyaan pelajar yang mendengar daripada sumber tertentu bahawa kaum “Bukan Melayu” yang tidak mengundi semasa Pilihan Raya Umum akan dilucutkan kewarganegaraan!

Mengundi adalah hak – termasuk hak untuk tidak mengundi. Dan jika sudah menggunakan “hak” untuk tidak mengundi, jangan pertikaikan wakil yang dipilih oleh Rakyat yang menggunakan “hak” untuk mengundi.
....
Dan sudilah KLIK DI SINI untuk sedikit panduan praktikan mengundi calon paling uzur.

Friday, 6 March 2009

Kavyan & PPSMI

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), persatuan tunggal kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia, belum memutuskan untuk terlibat dalam perhimpunan besar esok (7 Mac 2009) kerana tidak pernah berdemonstrasi bagi membantah dasar kontroversi itu.

Ditanya kehadiran penasihat persatuan itu Sasterawan Negara A. Samad Said bersama GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI), presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata: “Kami sokong Pak Samad”.

A. Samad, Penasihat Agung Kavyan sejak kira-kira sepuluh tahun lalu, turut dilantik penasihat GMP.

Uthaya menambah, beliau menentang dasar itu sejak awal ia diumumkan oleh perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002.

“Respons kepada pengumuman itu, saya tulis sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” di media, tetapi orang salah sangka (ingat saya menentang istilah bahasa Melayu),” katanya, yang kini bertugas sebagai penyunting berita di sebuah stesen televisyen.

(Baca laporan sepenuhnya di Malaysiakini.)

Bila Nak Mula Kerja, YB?

Belum selesai lagi berpolitik? Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah lama berlalu dan wakil-wakil Rakyat sudah lama ditentukan oleh Rakyat.

Akan tetapi, mengapa masih ada YB yang belum memulakan tugas hakiki sebagai “wakil Rakyat”?

Saya bukan bercakap mengenai kawasan yang melibatkan Pilihan Raya Kecil tetapi kawasan yang sudah ada “wakil” sejak Mac 2008.

Kalau masih tidak tahu tugas hakiki, terima kasih sahajalah. YB boleh jalan!

Saya percaya, Rakyat akan lebih berhati-hati semasa memangkah – atau mana-mana simbol yang sesuai dan sah mengikut peraturan SPR – pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Thursday, 5 March 2009

Dewa Berkepala Gajah

Saya amat suka apabila ada orang bertanya dan mahu mendapatkan penjelasan berhubung budaya kaum India.

Budaya kaum India – khususnya dalam konteks kaum India beragama Hindu – memang amat kompleks dan sangat mudah diputar-belit oleh mana-mana pihak.

Baru-baru ini – pada 25 Februari 2009 – seorang rakan di tempat kerja bertanya mengapa terdapat lukisan dewa berkepala gajah (Ganesha) pada kad undangan kahwin.

Kemudian, beliau bertanya mengenai amalan kasta dalam budaya India.

Apabila memberi penjelasan mengenai hal-hal berkaitan budaya India dan agama Hindu, saya sering membandingkan (melihat persamaan dan perbezaan) dengan budaya kaum lain dan agama lain bagi membantu pemahaman.

Sekiranya individu yang bertanya merupakan menganut agama lain, saya akan nyatakan lebih awal bahawa perbandingan (melihat persamaan dan perbezaan) yang saya lakukan bukan bertujuan “menyebarkan” agama Hindu atau “menggugat” keimanan individu yang bertanya tadi.

Selalunya, individu yang bertanya itu memahami hakikat berkenaan dan mampu mendengar penjelasan saya dengan fikiran rasional dan terbuka.

Malah, sering juga saya perlu memberi penjelasan kepada masyarakat India dan penganut agama Hindu sendiri!

Apa yang penting, saya mampu memberi sedikit sumbangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya yang bersatu (“united”) ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang memiliki ciri-ciri integrasi sejati (“integrated”) seperti saling memahami, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan budaya.

Wednesday, 4 March 2009

Selamat Hari Jadi, Devishi Prabha Sankari!


Tahniah atas segala kejayaan dan pengalaman yang dikecapi sejak setahun lagi.

Tuesday, 3 March 2009

Wakil yang Mewakili

Saya sering mewakili Kavyan apabila diundang menghadiri mesyuarat dengan kementerian dan agensi kerajaan serta swasta.

Hal ini adalah kerana berbanding AJK lain dalam Kavyan, saya paling mudah menyesuaikan jadual kerja.

Saya juga sering muncul sebagai “wakil” Sasterawan Kavyan (penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia) dalam seminar, taklimat, bengkel, dialog, diskusi dan seumpamanya.

Maka, sering juga ditanya – atau dibisikkan orang – apakah tidak ada orang lain?

Sebenarnya, saya umpama ahli politik atau menteri. Apabila orang politik atau menteri muncul berucap atau membuat kenyataan di hadapan orang ramai, jangan kita lupa bahawa ada ramai “tenaga kerja” (tink tank) di sebalik tabir.

Bezanya: sering kali tokoh yang berucap itu hanya membaca teks yang ditulis oleh orang lain. Saya pula bercakap mewakili Kavyan.

Contoh lain yang mudah: penyampai berita [atau pembaca berita] di televisyen. Penonton melihat personaliti berkenaan tetapi sering lupa tentang suatu krew besar yang berada di belakang tabir – wartawan, jurukamera, penyunting berita, penerbit, pembantu penerbitan, jurusolek, perunding imej dan ramai lagi.

Sering juga saya menjadi “pengganti” apabila wakil lain beraral untuk memenuhi undangan pada saat-saat akhir. Atau apabila penganjur gagal menghubungi penulis lain.

Ingat: apa yang penting bukan “siapa yang muncul di hadapan” tetapi “siapa yang diwakili apabila muncul di hadapan”.

Monday, 2 March 2009

Konvensyen Perpustakaan Desa 2009


Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Konvensyen Perputakaan Desa 2009 pada 15 & 16 Mac 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa PERSADA Johor, Johor Bharu.

Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh Dato’ Seri Hj Mohd Shafie bin Hj Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Ketua Pengarah PNM, Encik Raslin bin Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, konvensyen ini diadakan untuk memperkasa Perpustakaan Desa sebagai pusat kegiatan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, Konvensyen Perpustakaan Desa 2009 juga bertujuan menggalakkan minat membaca serta meningkatkan penglibatan masyarakat setempat melalui pelaksanaan aktiviti perpustakaan; dan menjalinkan kerjasama antara PNM dan Perpustakaan Awam negeri-negeri, agensi-agensi kerajaan seperti KEMAS, FELDA dan masyarakat setempat.

Menurut Encik Raslin, peserta konvensyen terdiri daripada petugas Perpustakaan Desa, Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa, wakil perpustakaan/pusat sumber KEMAS dan FELDA serta wakil institusi pengajian tinggi.
.

Untuk Masyarakat Tertentu Sahaja?

Baru-baru ini – 26 Februari 2009 – saya membelek-belek sebuah akhbar nasional, sementara menunggu kereta saya diservis di Shah Alam.

Terus-terang, sudah lebih setahun saya hilang minat membaca akhbar berkenaan.

Saya agak tertarik dan teruja melihat kandungan terkini akhbar itu kerana beberapa halaman diperuntukkan bagi aktiviti bahasa dan sastera.

Bagaimanapun, perasaan kagum yang dirasai tidak kekal lama kerana terdapat catatan yang secara khusus meminta orang ramai mengirim bahan berkaitan aktiviti bahasa, sastera dan masyarakat kaum tertentu.

Amat memalukan apabila sebuah akhbar nasional yang dibaca masyarakat pelbagai kaum hanya sedia menyiarkan aktiviti kaum tertentu.

Sunday, 1 March 2009

Wasiat Dalam Talian

Nama saya Uthaya Sankar SB.

Saya beragama Hindu.

Saya tidak pernah meninggalkan agama Hindu dan/atau memeluk agama lain.

Apabila meninggal dunia nanti, saya mahu jenazah saya disempurnakan mengikut budaya India dan agama Hindu.

Saya mahu mayat saya dibakar dan dikembalikan kepada lima unsur alam – api, tanah, angin, angkasa dan air.

Panduan lengkap boleh dibaca menerusi artikel yang saya tulis dalam majalah Sarina keluaran Oktober & November 2004.