8 Feb 2009

Thaipusam: 4 Rangkap Pantun 4 Kerat


Berikut 4 rangkap pantun 4 kerat yang “dijual” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa Pesta Ponggal Bukit Bintang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008:

Kekalkan tradisi sepanjang hayat,
Berbuat baik membawa berkat;
Pemimpin negara berjiwa rakyat,
Amat memahami kehendak masyarakat.

Hormati selalu ibu dan ayah,
Jangan sekalipun terkasar kata;
Walaupun sambutan di luar wilayah,
Kemeriahan dikongsi warga kota.

Minum pagi kopi pekat,
Bersarapan dengan sebuku roti;
Sambutan Thaipusam semakin dekat,
Warga menanti pengumuman cuti.

Anak burung belajar terbang,
Walau hujan turun lebat;
Kalau Pak Lah sudi pertimbang,
Pasti sokongan semakin hebat.

Pak Lah “membeli” pantun saya; dan berikut pantun balas beliau:

Thaipusam sudah dekat,
Rakyat muafakat;
Pak Lah kena mesyuarat,
Lepas itu baru nak cakap.

Nota:
1) Berita mengenai kemungkinan Pak Lah umum cuti Thaipusam mendapat liputan meluas dalam akhbar-akhbar dan berita radio/televisyen pada 20 Januari 2008.

2) Dalam segmen Akhbar Hari Ini pada 20 Januari 2008, rangkap ketiga pantun di atas turut dibacakan.

3) Pada petang 20 Januari 2008, Pak Lah umumkan cuti Thaipusam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

4) Pada 21 Januari 2008, Anita Abdullah dari Bernama Radio24 mewawancara saya mengenai cuti Thaipuam dan pantun Thaipusam itu dalam berita Bahasa Inggeris.

5) Pada 23 Januari 2008 (Hari Thaipusam), Zamzarina memperkatakan mengenai pantun Thaipusam dalam Selamat Pagi Malaysia.

6) Anita Abdullah bercadang mewawancara saya dalam Bernama Radio24 (93.9FM) pada 9 Februari 2009, 12:15 tengah hari. Tetapi terpaksa ditolak kerana akan berada dalam penerbangan dari Miri ke KLIA.