21 Sept 2008

Keamanan yang Berkekalan

Hari ini -- 21 September -- sambutan Hari Keamanan Sedunia. Bercakap tentang keamanan, mengingatkan saya pada bandar Taiping di Negeri Perak.


Taiping, asalnya dikenali dengan nama Kelian Pauh. Ia merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terkenal suatu masa dahulu.

Antara 1862 hingga 1873, dua puak yang bermusuhan iaitu Ghee Hin dan Hai San sering bertempur.


Pada Januari 1874, mesyuarat diadakan oleh tiga kumpulan di PulauPangkor -- iaitu kumpulan pemerintah Melayu; ketua-ketua puak Cina yang bertelagah; serta pegawai British.


Mesyuarat itu berakhir dengan “Perjanjian Pangkor” yang membawa kepada kewujudan British Malaya.

Kelian Pauh pula menjadi “Keamanan Yang Berkekalan” atau “Taiping” dalam bahasa Cina.

19 Sept 2008

Piala Peringatan Arumugam

Bekas penjaga gol tersohor negara, mendiang R. Arumugam pernah bermain untuk Selangor dari 1971 hingga 1988; serta mewakili negara sebanyak 196 kali dari 1973 hingga 1986.

Sebagai memperingati beliau, satu kejohanan bola sepak sembilan sebelah dalam kalangan pemain veteran akan diadakan pada 28 September ini.

Kejohanan itu untuk merebut "Piala Peringatan Arumugam" dianjurkan oleh Star-brite Football Club dari Pelabuhan Klang, iaitu tempat Arumugam dilahirkan.

Mendiang Arumugam turut diberi gelaran "Spiderman” kerana kecekapannya menangkap bola semasa mewakili pasukan Selangor dalam liga tempatan dan Malaysia ketika menentang pasukan antarabangsa.

Beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan pada 18 Disember 1988, pada usia 40 tahun.

Pengerusi penganjur kejohanan, M. Arokiasamy berkata kejohanan tersebut akan diadakan di padang "Veteran Marines", Pelabuhan Klang, iaitu padang yang pernah digunakan oleh mendiang Arumugam untuk berlatih.

Pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan bola sepak ini boleh menghubungi talian 019-2826441.

18 Sept 2008

Hari Keamanan Sedunia di Bernama Radio24

Pada 21 September 2008 (Ahad), sempena sambutan Hari Keamanan Sedunia, Bernama Radio24 (93.9FM atau www.radio24.com.my) bercadang membuka talian kepada orang ramai berkongsi pandangan mengenai "keamanan".

Nota penting: BUKAN untuk mempromosi Global Peace Festival (17-19 Oktober 2008) tetapi untuk berbincang secara umum mengenai "keamanan".

Saya membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat untuk bercakap secara langsung melalui telefon pada 21 September 2008, antara 9:00 pagi hingga 12:00 tengah hari.

Syarat utama: MESTI boleh bercakap Bahasa Malaysia dengan baik dan lancar.

Jika ada yang berminat, sila berikan nama penuh, jawatan dan nombor telefon kepada saya di alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my SEBELUM pukul 12:00 tengah hari, 20 September 2008 (Sabtu).

Pada tarikh 21 September 2008, kami sendiri akan menghubungi saudara untuk berbual antara 9:00 pagi dan 12:00 tengah hari; dengan izin Tuhan.

Sekian. Harap sudi juga sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan.

Ulang: E-mel selepas pukul 12:00 tengah hari, 20 September 2008 tidak dapat dipertimbangkan.

16 Sept 2008

ucapan@radio24.com.my

Ucapan Aidil Fitri boleh dikirim ke alamat ucapan@radio24.com.my untuk siaran Hari Raya di Bernama Radio24 (93.9FM atau www.radio24.com.my).

Harap sudi sebarkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara di seluruh dunia.

Siaran Langsung 24 Jam Suara Anda Aidil Fitri di BERNAMA RADIO24

KUALA LUMPUR, 16 September 2008 - Sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, Bernama Radio24 memberi peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan ucapan hari lebaran melalui segmen popular Suara Anda dengan membuka talian berterusan sepanjang siaran langsung 24 jam.

Talian akan dibuka mulai pukul 7:00 pagi hari terakhir Ramadhan (Malam Raya Pertama) hingga 7:00 pagi Hari Raya Pertama. Melalui talian langsung ini, pendengar dipelawa berinteraksi dengan peneraju BR24, memberikan komen tentang berita semasa di Aidil Fitri dan berpeluang menyampaikan dedikasi lagu Raya.

“Uniknya di Bernama Radio24, Suara Anda Aidil Fitri ini bukan sahaja memberi platform kepada orang ramai membuat ucapan Raya dan dedikasi lagu, tetapi juga bertujuan memberi ruang kepada pendengar melaporkan suasana sambutan Aidil Fitri ala laporan langsung berita,” menurut Ketua Pegawai Operasi BR24, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Tambah Sheikh Raffie, seperti format segmen Suara Anda yang biasanya ke udara sepanjang hari, Isnin hingga Jumaat, Suara Anda Aidil Fitri membentangkan isu-isu semasa yang berkisar sekitar musim Hari Raya dan permasalahan yang ditampilkan dalam komen pendengar.

Bernama Radio24 boleh didengar melalui frekuensi 93.9 FM di sekitar Lembah Klang atau melalui laman web www.radio24.com.my dari seluruh dunia.

Setelah setahun beroperasi secara bebas-ke-udara dan melalui audio streaming langsung laman webnya, stesen radio berita pertama negara ini juga berjaya menarik minat pendengar dari kumpulan tersendiri termasuk dari luar Lembah Kelang yang mendengar melalui laman web Bernama Radio24.

Justeru, istimewanya Suara Anda Aidil Fitri tahun ini, adalah ia bukan sahaja dapat didengar di dalam negara, bahkan di seluruh dunia. Pendengar boleh memberi ucapan kepada insan tersayang yang berada di perantauan di mana ia mampu didengari mereka secara langsung melalui laman web www.radio24.com.my.

Selain daripada memanggil studio Bernama Radio24 melalui talian 03-2692 7939, orang ramai juga boleh menghantar ucapan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip R24 diikuti ucapan, dan hantar ke (DAPAT) 32728.

Bagi memeriahkan suasana sambutan Aidil Fitri tahun ini, Bernama Radio24 juga akan memainkan lagu-lagu Hari Raya Aidil Fitri dari pelbagai genre dan era.

Sepanjang cuti Hari Raya, BR24 akan terus memberikan berita terbaru setiap jam melalui Top 5 News dan Buletin 24. Antara laporan menarik di luar berita sepanjang musim perayaan ini ialah laporan trafik secara langsung daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Bernama Radio24 adalah stesen radio berita pertama di Malaysia yang dilancarkan pada 3 September 2007 dan beroperasi di bawah naungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, BERNAMA. Stesen radio komersial ini yang membawakan liputan langsung secara eksklusif dan menawarkan program wawancara secara interaktif kepada pendengar. Ia juga menampilkan ulasan berita utama dan analisis segera mengenai sesuatu peristiwa atau isu yang memerlukan perhatian umum.

15 Sept 2008

Peluang Berkongsi BERITA di Bernama Radio24 – dari Malaysia atau Luar Negara


Aidil Fitri semakin hampir; dijangka pada 1 Oktober 2008.

Apakah perancangan saudara pada Hari Raya Pertama dan Kedua?

Sudikah saudara berkongsi BERITA berhubung sambutan di tempat saudara melalui stesen radio pertama Malaysia?

Sama ada saudara berada di Lembah Klang atau di kampung-halaman, tidak menjadi masalah kerana telefon menjadi tali penghubung.

Sila maklum bahawa ruang dan peluang yang diberikan ini BUKAN untuk menyampaikan ucapan Aidil Fitri, tetapi untuk menyampaikan BERITA mengenai sambutan Aidil Firti.

Misalnya: kemeriahan di kampung, KL yang lengang, juadah khas, kemeriahan sambutan, kemalangan (jika ada), tips keselamatan, pengumuman rumah terbuka, keadaan cuaca di tempat saudara, banjir (jika ada) dan tempat menarik untuk dikunjungi sekeluarga.

Kalau saudara berada di luar negara, mengapa tidak berkongsi BERITA Aidil Fitri di sana?

Kalau saudara kenal sesiapa – di Lembah Klang, di seluruh Malaysia atau di luar negara – sila sebarkan maklumat ini utnuk sama-sama memeriahkan Aidil Fitri di Bernama Radio24.

Memandangkan saudara akan menjadi semacam wartawan yang melaporkan berita untuk siaran di Bernama Radio24, maka pihak kami akan menghubungi saudara melalui telefon, walaupun jika saudara berada di luar negara – boleh jimatkan bil telefon!

Caranya begini: Hantar e-mel kepada saya (Uthaya Sankar SB – http://my.mc761.mail.yahoo.com/mc/compose?to=uthayasb@yahoo.com.my) dan nyatakan nama lengkap, nombor telefon dan tempat saudara akan berada semasa hari raya. Nyatakan juga sama ada mahu dihubungi pada raya pertama atau kedua. Kalau boleh, nyatakan juga aspek apa yang boleh saudara laporkan berita untuk Bernama Radio24.

Ringkasnya, perlu ada elemen BERITA – bukan sekadar menyampaikan ucapan.

Bernama Radio24 boleh didengar melalui frekuensi 93.9FM di Lembah Klang dan http://www.radio24.com.my/ dari seluruh dunia.

13 Sept 2008

Kenyataan Akhbar Bersama



Pertubuhan-pertubuhan penulis Malaysia mendukung tanggungjawab dan amat peka kepada isu-isu perpaduan bangsa dan negara. Kami memandang berat terhadap segala ucapan dan tindakan yang berkaitan keutuhan negara kita.

1. Kesan penjajahan memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan. Semua rakyat tanpa mengira kaum dan asal-usul mereka wajib bekerjasama dengan erat, dan berusaha untuk memperjuangkan masa depan tanah air yang cemerlang.

2. Semua rakyat Malaysia mencintai keamanan dan ingin melahirkan negara yang bersatu-padu, harmoni dan muhibah. Kita harus menjadikan sejarah sebagai iktibar dan menumpukan perhatian kepada pembangunan dan kemajuan masa kini dan masa depan. Oleh itu, kami menentang habis-habisan sebarang ucapan dan tindakan yang memecah-belahkan perpaduan, serta menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya tidak dipengaruhi dan dihasut oleh segelintir orang yang tidak bertanggungjawab.

3. Dalam era globalisasi, Malaysia hendaklah menunpukan perhatian dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi yang adil dan saksama, berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta meningkatkan usaha menyatupadukan rakyat.

4. Berusaha mengembangkan proses keharmonian Bangsa Malaysia kepada masyarakat umum. Sekiranya timbul sebarang salah faham atau persengketaan antara rakyat, maka kita akan menyelesaikannya atas semangat permuafakatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

5. Bangsa Malaysia secara umumnya masih perlu mencapai persefahaman dalam tafsiran sejarah negara. Maka GAPENA, PERSPEKTIF dan KAVYAN mencapai persetujuan untuk menganjurkan Seminar Sejarah Nasional Malaysia. Tujuannya adalah untuk melahirkan perpaduan Bangsa Malaysia atas fakta sejarah negara yang benar dan mantap.


Rumah Gapena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur
13 September 2008


Ditandatangani:

Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein
Ketua Satu GAPENA

Goh Hin San
Presiden PERSPEKTIF


Uthaya Sankar SB
Presiden KAVYAN