24 Aug 2008

Kepala Botak!

Kali terakhir saya membotakkan kepala adalah sekitar Disember 2004.
.
Mulai Februari 2005, memandangkan saya muncul di kaca televisyen RTM, saya tidak boleh membotakkan kepala.
.
Maka, hari ini, tiba-tiba saya mendapat "ilham" untuk membotakkan kepala. Tiada sebab khusus.
.
Selepas menghadiri majlis jamuan makan malam sempena perkahwinan Nisha-Navin di Petaling Jaya, saya terus ke kedai gunting rambut sekitar pukul 9:30 malam untuk melaksanakan impian itu.

Duta Keamanan

Siapa sangka penglibatan saya dalam bidang penulisan turut mendapat perhatian UPF Malaysia yang telah mencalonkan saya sebagai salah seorang penerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) yang diberikan oleh Universal Peace Federation kepada individu terpilih dalam pelbagai bidang.
.
Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur pada petang 24 Ogos 2008.
.
Mungkin saudara yang pernah membaca karya-karya saya (cerpen dll) boleh membuat penilaian mengenai sumbangan karya-karya berkenaan ke arah persefahaman, persaudaraan, perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

23 Aug 2008

Futsal untuk Keamanan

Sempena "Hari Keamanan Sedunia", pertandingan futsal akan dianjurkan di Stadium Bukit Jalil pada Oktober 2008.
.
Setiap kumpulan perlu terdiri daripada peserta pelbagai kaum sebagai salah satu pra-syarat bagi pertandingan futsal ini.
.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Dorai menerusi nombor 03 - 4280 8366.

22 Aug 2008

Kuasa Duit Sepuluh Sen

Berikut aktiviti yang sempat dipromosikan melalui segmen "Seni Sastera di Sana Sini" melalui Bernama Radio24:
.
Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan masalah kemiskinan tegar, Perhimpunan Penuntut Kolej dan Universiti (Cusa) sedang menganjurkan kempen "Kuasa Duit 10 Sen".
.
Golongan pelajar dan mahasiswa dipelawa sama-sama menjayakan program amal ini yang sedang diadakan di seluruh negara.
.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen "Kuasa Duit 10 Sen", hubungi Nicholas Lee di talian 012 - 340 72 89.

17 Aug 2008

Menanam 51 Pokok Keamanan dan Kemerdekaan

Bahan berita yang sempat disiarkan dalam Buletin24, 10:00 pagi melalui Bernama Radio24:

Pelbagai cara digunakan untuk memeriahkan sambutan menjelang ulang tahun ke-51 kemerdekaan negara.

Sebentar tadi, di Puchong Perdana, Selangor, berlangsung acara "Menanam 51 Pokok Keamanan dan Kemerdekaan".

Program anjuran "Human and Nature Develompent Society" (HANDS) menyaksikan penglibatan penduduk pelbagai kaum menanam 51 batang pokok sebagai simbol menghargai kemerdekaan negara serta menyokong usaha keamanan sejagat.

Presiden HANDS, Dr Kannan Raman yang dihubungi Bernama Radio24 sebentar tadi berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk sekitar Puchong Perdana adalah amat menggalakkan.

Program "Menanam 51 Pokok Keamanan dan Kemerdekaan" adalah juga sempena Hari Keamanan Sedunia yang disambut pada 21 September; serta "Festival Keamanan Global".
.
Buat julung kali, Malaysia menjadi tuan rumah "Festival Keamanan Global" pada 17 hingga 19 Oktober nanti.
.
Nota: Dapatkan maklumat Festival Keamanan Global di SINI.

15 Aug 2008

Akhbar di Bernama Radio24

Ikuti segmen “Akhbar di Bernama Radio24” Isnin-Jumaat, 7:32 pagi bersama Uthaya Sankar SB mulai 18 Ogos 2008 di 93.9FM atau layari www.radio24.com.my untuk santapan minda saudara!
.
Siaran ulangan pada pukul 9:32 pagi hari yang sama.

10 Aug 2008

Wujudkan Berita!

Walaupun saya sebenarnya hanya bekerja lima hari seminggu di Radio24, saya masih pergi ke pejabat hari ini (pada pukul 5:00 pagi) seperti selalu.
.
Selain menyiapkan sedikit bahan untuk segmen Seni Sastera di Sana Sini, saya juga membantu dua penerbit yang bertugas pagi ini.
.
Memang kurang bahan berita pada pagi Ahad ini.
.
Maka, saya memutuskan untuk "mewujudkan berita". Misalnya, dengan melaporkan mengenai forum "Memeluk Islam" semalam dan meminta pandangan Noor Nirwandy Mat Nordin, Pengarah Projek, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara langsung semasa siaran Buletin24.
.
Begitu juga, saya laporkan sedikit mengenai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang dijangka diumumkan oleh Pak Lah pada 15 Ogos. Saya gabungkan dengan pendirian Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), parti serpihan PAS, untuk turut bertanding.
.
Saya cuba menghubungi Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub untuk mendapatkan reaksi tetapi beliau sibuk. Begitu juga dengan beberapa wakil UMNO di Permatang Pauh.
.
Akhirnya, saya "mewujudkan" berita mengenai pertandingan tiga penjuru yang dijangkakan pada 26 Ogos; dan meminta pandangan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dalam Buletin24.
.
Sempat juga saya menghubungi Tee Hui Yee di Batu Pahat untuk bertanya perkembangan dirinya selepas menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN 10 bulan, 5 hari lalu.
.
Jadi, jika tiada bahan berita, "wujudkan" berita! Akan tetapi, jangan sampai "mereka" berita pula ...

9 Aug 2008

Bengkel Penulisan Makalah

Pada hari ini, saya berpeluang berkongsi ilmu dengan 12 individu daripada pelbagai latar pendidikan, profesion dan latar belakang dalam Bengkel Penulisan Makalah anjuran bersama Perpustakaan Negara Malaysia dan Kumpulan Sasterawan Kavyan di Dewan Serbaguna PNM.
.
Masing-masing peserta terlibat secara aktif dan tidak melepaskan peluang bertanya apa yang tidak diketahui.
.
Bengkel menjurus pada penulisan makalah budaya. Walaupun demikian, peserta juga diberi peluang menulis topik-topik lain mengikut minat masing-masing.
.
Secara tidak langsung, saya juag berpeluang menimba ilmu daripada para peserta yang ternyata mempunyai banyak ilmu!
.
Bengkel seumpama ini akan juda dianjurkan pada 24 Ogos di Shah Alam. Dapatkan maklumat di laman sesawang Kavyan.

8 Aug 2008

Seni Sastera di Sana Sini

Segmen Seni Sastera di Sana Sini memberi ruang dan peluang untuk membuat pengumuman ringkas-padat berkaitan aktiviti seni, sastera, bahasa, budaya dan kemasyarakatan melalui Radio24 (93.9FM) mulai 8 Ogos 2008.

Aktiviti mestilah yang bukan berciri perniagaan dan/atau komersial.

Maklumat perlu disalurkan kepada Uthaya Sankar SB melalui e-mel uthaya@radio24.com.my sekurang-kurangnya tiga hari sebelum acara.

Radio24 memiliki hak mutlak untuk menyiarkan atau tidak menyiarkan mana-mana maklumat dalam segmen ”Seni Sastera di Sana Sini”.

Dapatkan maklumat terperinci di laman sesawang Kavyan.

7 Aug 2008

Kebimbangan Encik Koh Yok Hwa

Pertemuan saya dengan Encik Koh Yok Hwa di Kafetaria Perpustakaan Negara Malaysia tengah hari ini adalah untuk sekadar berbual-bual. Beliau yang menghantar SMS pagi tadi dan bertanya sama ada kami boleh bertemu.
.
Perbincangan kami menyentuh soal Bahasa Malaysia, aktiviti Bahasa Malaysia dan khalayak sastera Bahasa Malaysia.
.
Encik Koh melahirkan kebimbangan kerana khalayak pelbagai kaum kurang menunjukkan minat untuk menggelakkan aktiviti berciri sastera dan bahasa kebangsaan.
.
Lalu, saya katakan, tidak haruslah kita bimbang memikirkan kelompok yang tidak mahu terlibat sama menjayakan aktiviti berciri bahasa dan sastera dalam Bahasa Malaysia.
.
Sebaliknya, kelompok manusia seperti Encik Koh dan saya sendiri yang berminat seharusnya meneruskan usaha murni yang sudahpun dimulakan.
.
Saya berharap pertemuan singkat -- sebelum hujan lebat bermula! -- sedikit sebanyak memulihkan semangat Encik Koh.

6 Aug 2008

Kelab Membaca Sinar Pintar

Saya berpeluang menghadiri pertemuan (mesyuarat?) bersama-sama beberapa kakitangan dan pegawai Bahagian Literasi Perpustakaan Negara Malaysia.
.
Kami membincangkan kertas cadangan Kavyan untuk menjalankan beberapa aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama PNM; khususnya melalui Kelab Membaca Sinar Pintar.
.
Saya berasa amat gembira kerana pihak PNM sedia mengetahui akan akiviti Kavyan dan memberi sokongan padu.
.
Kami membincangkan untuk mengadakan aktiviti di seluruh negara dengan memberi tumpuan pada khalayak kanak-kanak dan remaja.
.
Tambahan pula, saya juga salah seorang yang sudha menawarkan diri sejak awal-awal lagi sebagai Mentor Sinar Pintar.
.
Semasa cuti sekolah bulan Ogos ini, Bengkel Baca Cerpen Kanak-kanak akan dianjurkan. Dapatkan maklumat di laman sesawang Kavyan.

4 Aug 2008

Rudra Avatara karya terbaru Uthaya

Demikian tajuk ulasan/berita yang ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia, Azman Ismail dalam akhbar hari ini.
Bolehlah dibaca ulasan sepenuhnya DI SINI.

3 Aug 2008

Bengkel Penulisan Makalah

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan “Bengkel Penulisan Makalah” khusus bagi individu yang berminat mempelajari teknik menulis rencana atau makalah yang sesuai untuk siaran di akhbar dan majalah.

Bengkel Penulisan Makalah” akan diadakan pada 9 Ogos 2008 (Sabtu), 9:00 pagi hingga 4:00 petang di PNM, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Peserta akan dibimbing oleh Uthaya Sankar SB yang mempunyai pengalaman menulis sejak lebih 15 tahun lalu dalam pelbagai bidang.
.
Untuk maklumat lanjut, layari www.kavyan.cjb.net atau hubungi Puan Sofia Osman melalui e-mel sofia@pnm.my talian 03-26871700 (sambungan 1838).

2 Aug 2008

SJK (C) Serdang Baru 1

Berpandukan peta yang diberikan oleh Encik Ng Boon Chuan, Guru Besar SJK (C) Serdang Baru 1, saya memandu ke sekolah berkenaan.

Sebaik tiba pada sekitar pukul 2:30 petang, saya meminta maaf kepada para guru yang setia menanti.

Saya menerangkan kepada mereka mengenai kertas Bahasa Malaysia UPSR. Tumpuan perbincangan kami adalah mengenai soal bagaimana untuk membantu murid-murid sekolah berkenaan menyukai Bahasa Malaysia – sebagai suatu mata pelajaran dan juga sebagai bahasa kebangsaan.

Perlu saya akui bahawa daripada pemerhatian saya, para guru SJK (C) Serdang Baru 1 begitu mengambil berat dan mahu melakukan sesuatu untuk membantu murid-murid mereka.

Lalu, kami membincangkan beberapa cara yang mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Saya juga berjanji untuk datang semula dalam masa terdekat untuk bertemu murid-murid sekolah ini.

Pasti ada cara yang boleh digunakan untuk memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Malaysia. Pengalaman Kavyan tentu boleh membantu dalam perkara ini.

Hakim Sayembara Deklamasi Puisi

Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Negeri Selangor (Peringkat Saringan) berlangsung di Galeri Shah Alam.

Berada di Galeri Shah Alam mengingatkan saya pada Baca Cerpen Kavyan yang berlangsung di sini pada tahun 2003.

Pada sayembara ini, saya bersama-sama Pak AGI dan Shukri Abdullah menjadi hakim. Lebih 50 peserta mengambil bahagian. Jadi, boleh dibayangkan betapa “memenatkan” proses menilai para peserta.
.
Sebaik sahaja peserta terakhir menamatkan sajaknya sekitar pukul 1:30 tengah hari, saya segera meminta diri untuk pergi ke Serdang.

1 Aug 2008

Baca Puisi Rindu Ibu

Selepas mengambil Devishi dari Tadika CEC USJ9, kami terus ke Kompleks PKNS, Shah Alam. Prabha dan Ganesan menyertai kami di sana kemudian.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam Baca Puisi Rindu Ibu juga mula tiba. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hadir bersama isteri beliau dan anak, Helmy Samad (yang bertugas sebagai jurukamera Wira Bukit Sdn Bhd).

Acara Baca Puisi Rindu Ibu menyaksikan penyampai puisi-puisi Pak Samad oleh kanak-kanak 6-12 tahun.

Devishi menjadi peserta pertama dan menyampaikan puisi pendek berjudul “Huruf” dan “Abjad”. Ternyata Devishi tidak gentar dan gementar untuk berdiri di pentas! Ke mana tumpah kuah, kalau bukan ke nasi. …

Murid-murid dari SJK (T) Midlands, SJK (T) Hicom dan SJK (T) Seafield turut membuat persembahan yang boleh dibanggakan. Tahniah dan terima kasih kepada semua!

Terima kasih juga kepada Pak Samad yang sudi memenuhi undangan Kavyan untuk “hadir tanpa bayaran” ke majlis ini.
.
Kavyan bercadang menjadikan Baca Puisi Rindu Ibu sebagai aktiviti berkala dengan melibatkan peserta kanak-kanak yang berbeza pada setiap acara.

Hari Pertama di Radio24

Saya masuk kerja pada pukul 5:00 pagi. Memang saya lebih suka begini.

Rakan-rakan setugas -- Syeliza & Irma -- memberi sedikit tunjuk ajar tentang cara menggunakan sistem komputer di Radio24. Tidak terlalu sukar, sebenarnya.

Terus saya mulakan tugas penyunting berita.

Bermula pukul 7:00 pagi, berita ke udara setiap 15 minit. Para pendengar Radio24 (93.9 fm atau www.radio24.com.my) pasti mengetahui hal ini.

Sedar tak sedar, sudah pukul 1:00 tengah hari! Apabila minda aktif dan sibuk membuat kerja, perjalanan masa langsung tidak disedari.

Saya tersenyum sendiri membayangkan bagaimana agaknya reaksi beberapa penyunting berita yang saya kenali di tempat lain, jika mereka bekerja di Radio24. Pasti “terkencing & terberak” kerana budaya kerja di Radio24 berbeza.

Hanya individu yang benar-benar komited, rajin dan “pakar” boleh bekerja dengan Radio24.