31 Jul 2008

Selamat Tinggal, AHI!

Saya ke RTM untuk berusaha menyiapkan tuntutan gaji bagi bulan Julai 2008. Semoga tidak “tersangkut” lagi seperti selalu. Apapun, tidak mengapa kerana mulai hujung bulan Ogos, gaji sebagai pegawai tetap di Radio24 akan melicinkan perjalanan hidup.

Saya juga menyiapkan surat untuk diberi kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa, Encik Wan Bukhari Wan Daud, berhubung kerja tetap saya di Radio24. (Sila rujuk surat berkenaan pada satu lagi entri di blog ini.)

Memandangkan beliau terlalu sibuk dan tiada di bilik, saya tidak berpeluang menyerahkan terus surat berkenaan ke tangan beliau.

Pada sebelah petang, saya mendapat SMS daripada Ketua Pemberita TV, Puan Noriani Idris yang memaklumkan bahawa Pengawal Berita TV, Haji Mustapha Kamal meminta supaya tempat saya sebagai penyampai segmen Akhbar Hari Ini (AHI) diganti dengan orang lain.

Apabila saya menelefon ke Unit Penerbitan Berita TV, saya diberitahu bahawa arahan sama dikeluarkan oleh pegawai berkenaan berhubung kedudukan saya sebagai Penyampai Berita.

Untuk tujuan rekod, perlu saya tekankan bahawa saya tidak melepaskan tugas Penyampai AHI dan Penyampai Berita TV; seperti yang jelas pada kedua-dua surat saya kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa.

Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh pegawai berkenaan tidaklah menghairankan langsung. Saya terima dengan rasa gembira, lega dan penuh syukur.
.
Tentu Tuhan mahu saya memberi tumpuan sepenuhnya pada Rado24; selain pada pelbagai aktiviti lain bersama Kavyan.

Surat Kepada Pengarah BES

Tuan Pengarah
Berita Ehwal Semasa
Jabatan Penyiaran Malaysia
Kuala Lumpur

31 Julai 2008


Tuan,

Kerja Sepenuh Masa Sebagai Penyunting Berita di Radio24


Surat saya yang terdahulu adalah berkaitan.

2. Dimaklumkan bahawa saya sudah menerima tawaran kerja sepenuh masa sebagai Penyunting Berita di Radio24 dan akan memulakan kerja di sana pada tarikh 1 Ogos 2008.

3. Sekiranya khidmat saya masih diperlukan di RTM, saya masih boleh menjadi Penyampai Akhbar Hari Ini secara piecemeal seperti sekarang.

4. Sekiranya diperlukan juga, saya masih boleh menjadi Penyampai Berita Bahasa Malaysia secara piecemeal seperti sekarang.

5. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengarah BES atas segala kepercayaan, sokongan, peluang dan ruang yang diberikan kepada saya selama ini.

Sekian. Terima kasih.


s.k.:
i) Pengawal Berita TV
ii) Ketua Unit Penerbitan Berita TV
iii) Ketua Pemberita TV (Akhbar Hari Ini)

30 Jul 2008

Temuduga B41

Awal pagi, saya ke Putrajaya bagi temuduga jawatan kontrak Penerbit Rancangan B41. Kedua-dua penemuduga dan saya lebih banyak berbual dan berbincang; bukan temuduga konvensional.
.
Saya memaklumkan secara terus-terang kepada penemuduga bahawa saya telah memohon jawatan B41 pada Disember 2007 dan tidak mendapat sebarang maklum balas sejak itu.
.
Maklumat berkaitan bolehlah dibaca di sini.
.
Maka, kata saya kepada penemuduga, saya sudah pun menerima tawaran kerja di Radio24 dan akan memulakan khidmat di sana pada 1 Ogos 2008.
.
Selesai temuduga, saya ke RTM untuk minum di kantin bersama-sama rakan-rakan. Saya menceritakan apa yang berlaku semasa temuduga.
.
Kemudian, saya ke Bahagian Pinjaman, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk bertemu Puan Sofia dan Puan Shahliza bagi perbincangan aktiviti kerjasama Kavyan dan PNM.
.
Aktiviti-aktiviti berkenaan akan dimulakan segera; apatah lagi tempat kerja baru saya di Wisma Bernama hanyalah di sebelah PNM!
.
Saya juga ke Radio24 untuk berkenal-kenalan dengan rakan-rakan baru. Mereka ternyata amat mengalu-alukan penyertaan saya dalam keluarga Radio24. Mereka juga ternyata menyedari potensi saya di Radio24.

29 Jul 2008

Dilema UthayaSB

Saya telah memohon untuk menjadi staf tetap di RTM pada Disember 2007. Namun, tiada sebarang berita positif atau perkembangan ke arah itu.
.
Lalu, dalam surat kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa beberapa bulan lalu, saya telah nyatakan bahawa saya terpaksa mencari kerja tetap lain.
.
.
Salah satu tawaran yang saya terima baru-baru ini adalah dari Radio 24; hanya menunggu masa untuk surat tawaran rasmi.
.
Pada 27 Julai 2008, saya tiba-tiba menerima surat melalui e-mel untuk menghadiri temuduga "pengambilan jawatan pelantikan secara kontrak sebagai Penerbit Rancangan gred B41 di Jabatan Penyiaran, Kementerian Penerangan."
.
Dan hari ini, panggilan dari Bernama yang memaklumkan bahawa surat lantikan saya sudah siap dan saya boleh memulakan kerja sebagai kakitangan tetap di Radio 24 pada 1 Ogos 2008!
.
Berikut SMS yang saya kirim kepada rakan-rakan berhubung perkembangan ini:
.
Dilema Uthaya: Radio24 minta mula kerja sebagai kakitangan sepenuh masa pada 1 Ogos 2008. RTM pula panggil temuduga staf kontrak B41 pada 30 Julai 2008.
.
Pelbagai reaksi, panduan dan nasihat diterima. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan sudi mengambil berat.

28 Jul 2008

Devishi Menghafaz Puisi Pak Samad

Devishi Prabha Sankari akan turut mengambil bahagian dalam acara Baca Puisi Rindu Ibu pada 1 Ogos 2008 di Kompleks PKNS, Shah Alam sempena Pesta Buku Selangor.
.
Untuk itu, hari ini saya membimbingnya berlatih sebuah puisi pendek karya Pak Samad yang termuat dalam kumpulan puisi Rindu Ibu terbitan Wira Bukit Sdn Bhd.
.
Kami berlatih sebentar sahaja. Esok kami sambung lagi.

27 Jul 2008

Sinar Harian

Ingat wawancara yang dilakukan oleh wartawan Sinar Harian pada 25 Julai (dua hari lalu)? Ia disiarkan dalam akhbar Sinar Harian edisi Selangor/KL hari ini.
.
Artikel satu halaman itu memuatkan maklumat yang memang saya minta sahaja wartawan rujuk di laman sesawang.
.
Harapan saya agar ia sekurang-kurangnya membantu mempromosi Kavyan kepada penduduk Selangor dan sekitarnya. Juga promosi bagi Rudra Avatara kerana laman sesawang turut dinyatakan pada hujung artikel.

26 Jul 2008

Pelancaran Rudra Avatara

Majlis Pelancaran Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia Rudra Avatara berjalan lancar sebagaimana diharapkan.
.
Terima kasih kepada setiap individu yang memberi sokongan dengan menghadiri majlis pelancaran dan/atau membeli Rudra Avatara.
.
Saya juga amat terhutang budi kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Datuk N. Marimuthu dan jawatankuasa majlis pelancaran.
.
Sila rujuk laman sesawang yang dikemas kini untuk maklumat terkini.

Perasmian Pesta Buku Selangor

Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2008 disempurnakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam.
.
Saya diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai pengacara majlis. Tentu sahaja tidak menjadi masalah bagi saya. Tambahan pula, saya mewakili Kavyan dalam Jawatankuasa Induk Pesta Buku Selangor.
.
Pesta buku ini bermula pada 25 Julai dan akan tamat pada 3 Ogos.
.
Dapatkan maklumat lanjut DI SINI.

25 Jul 2008

Baca Cerpen A. Samad Said

Pada hakikatnya, ini kali kedua aktiviti Baca Cerpen A. Samad Said dianjurkan; kerana pernah dianjurkan di Kolej Prime, Subang Jaya pada 28 Februari 2004.
.
Baca mengenainya DI SINI.

Pada kali ini, dianjurkan sebagai aktiviti sempena Pesta Buku Selangor dan disertai oleh 18 peserta pelbagai kaum dan latar belakang.

Pasti sahaja kehadiran Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menjadi daya penarik kepada pengunjung di Kompleks PKNS Shah Alam.
.
Turut mendapat perhatian ialah Prakash, pelajar cacat penglihatan dari Universiti Malaya yang membaca cerpen "Dosa Pejuang" versi Braille.
.
Terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dan menjayakan acara ini.
.
Terima kasih juga kepada Wira Bukit Sdn Bhd yang menaja cenderamata berupa buku kepada para peserta. Lumayan!
.
Dapatkan foto acara di e-Kavyan.

Raptai Perasmian Pesta Buku Selangor

Saya tiba di Kompleks PKNS Shah Alam sejurus sebelum 10:00 pagi untuk raptai majlis perasmian Pesta Buku Selangor yang akan berlangsung pukul 12:00 tengah hari esok.
.
Saya memainkan peranan pengacara majlis dan saya sudah menyiapkan teks pengacaraan. Bagaimanapun, berlaku sedikit tokok-tambah dan rombakan yang memang sudah saya jangkakan.
.
Rampai tidak mengambil masa yang lama. Sempat saya diwawancara secara ringkas oleh wartawan Sinar Harian bagi ruangan "Personaliti".
.
Saya berikan sedikit maklumat sahaja; kerana kebanyakan maklumat mengenai diri saya, kavyan dan Rudra Avatara sudah diperolehnya dari laman sesawang.

Buku Kulit Keras

Buku Rudra Avatara edisi kulit keras telah siap malam semalam dan saya pergi mengambilnya dari pejabat Encik Thomas pada pagi ini.
.
Saya perlu mengakui bahawa kulit buku edisi hardcover ini amat menarik; walaupun paparan pada kulit buku adalah sama sahaja seperti edisi paperback.
.
Untuk makluman, edisi kulit tebal dicetak 500 naskhah dan edisi kulit nipis pula 3,000 naskhah.
.
Maklumat lanjut dan terperinci bolehlah dibaca di laman sesawang saya, iaitu http://www.uthayasb.cjb.net/

24 Jul 2008

Bersama Devishi Prabha Sankari

Sejak beberapa hari lalu, saya banyak meluangkan masa bersama Devishi Prabha Sankari. Percaya atau tidak, kami membincangkan persiapan menjelang Majlis Pelancaran Rudra Avatara!
.
Devishi bersetuju untuk turut membantu semasa gimik pelancaran. Kami juga membuat persiapan barangan yang diperlukan bagi aktiviti Kavyan semasa Pesta Buku Selangor.
.
Masa yang diluangkan bersama amat penting dan bermakna kepada saya sebagai seorang ayah yang biasanya sentiasa sibuk.

23 Jul 2008

Who Stole the Moon?

Itulah judul ulasan Rudra Avatara yang ditulis oleh Amir Muhammad dan disiarkan dalam akhbar Malay Mail hari ini.
.
Saya suka pada ulasan yang bersifat amat objektif ini. Dan nampaknya Amir masih tetap mengimbau cerpen "Yang Aneh-aneh" yang pernah diulasnya dalam kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta.
.
Bacalah ulasan Amir di sini: Who Stole the Moon?

Mesyuarat Aktiviti Pesta Buku Selangor

Pagi ini diadakan mesyuarat terakhir bagi Jawatankuasa Aktiviti Pesta Buku Selangor.
.
Kavyan terlibat dalam merancang, mengendalikan dan menguruskan empat aktiviti; iaitu Baca Cerpen A. Samad Said, Pelancaran Buku Rudra Avatara, Rasa Sayang Eh! dan Baca Puisi Rindu Ibu.
.
Maklumat lengkat bolehlah dirujuk di laman sesawang http://www.kavyan.cjb.net/

20 Jul 2008

Pertandingan Teater Bahasa Malaysia

Pada sebelah pagi, saya dan Prabhawathy di Bilik Aktiviti, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam untuk sesi latihan baca puisi dan baca cerpen sempena aktiviti yang akan diadakan pada Pesta Buku Selangor.
.
Guru dan murid-murid dari SJK (T) Midlands telah hadir untuk sesi latihan.
.
Selepas itu, saya ke RTM kerana bertugas membaca Warta Jam 4 dan Warta Jam 6. Sempat minum bersama Boboy dan Kak Salmah.
.
Sebaik sahaja selepas Warta Jam 6, saya ke Balai Budaya di Kuala Lumpur untuk majlis penyampaian hadian Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan anjuran Fenomena Seni Pentas.
.
Saya pergi sebagai pengacara majlis atas undangan saat akhir oleh S.T. Bala. Pencapaian murid-murid SJK (T) dalam persembahan teater/drama Bahasa Tamil memang amat menggalakkan.
.
Nampaknya usaha Fenomena Seni Pentas sama dengan usaha Kavyan; iaitu mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa bagi semua rakyat Malaysia.

19 Jul 2008

Kavyan di PNM

Program Diskusi Karya Sastera anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berlangsung di Aras 1 PNM.
.
Sengaja saya pergi lebih awal untuk bertemu dan berbual dengan beberapa pegawai yang saya kenal di PNM.
.
Diskusi berkenaan dipengerusikan oleh Puan Siti Mariani dan menampilkan saya selaku wakil Kavyan bersama-sama SM Zakir (PENA) dan Dr Chong Fah Hing (PERSPEKTIF).
.
Diskusi kami agak santai dan menyentuh perkara-perkara berkaitan penulisan sastera. Selain memperkatakan mengenai Sasterawan Kavyan dan aktiviti Kavyan, saya turut diminta bercakap mengenai Rudra Avatara.
.
Kebanyakan hadirin terdiri daripada siswa-siswi universiti. Ada yang mengenali saya; tetapi sebagai penyampai berita dan Akhbar Hari Ini - bukan sebagai sasterawan.
.
Tidak mengapa; pasti selepas ini mereka akan melayari internet dan lebih mengenali Kavyan.

Feature: He Doesn’t Translate Blindly

His namecard tells us that he is a “University Malaya Graduate (Academy of Malay Studies)” and that he’s “willing to do translation in various fields (in Malay and English)”.

Prakash Suriyamurthy is also “willing to write articles and essays”. His mobile is 012-9020512 and his e-mail address is raj_um82@yahoo.com

You would have guessed that he was born in 1982.

I have read about him – last year, I think – and wanted to meet him. I contacted Dr M. Rajantheran of University Malaya to try to get in touch with Prakash.

Then, one fine day (last year too) Prakash called me after “reading” about me in the Internet.

When I say “reading”, what I actually mean is “listening”; because, you see, what Prakash’s namecard does not tell us is that he is blind. He uses a special software to “read” printed material.

What the namecard also does not reveal is that Prakash is doing his Masters in University Malaya. Also that he is transforming the Thirukural to Braille. Oh, by the way, that’s the article I read about him last time.

If you want to meet him, do attend Baca Cerpen A. Samad Said at Kompleks PKNS, Shah Alam on Friday, 25 July 2008 at 3:00 pm. Prakash will be reading one of Datuk A. Samad Said’s shortstory using Braille. Details at www.kavyan.cjb.net

Or surprise him with a call (012-9020512) or an e-mail (raj_um82@yahoo.com) to say hello.

If you are a reporter, I’d be surprised if you are not yet thinking of a feature article.

Or better still, if you have any translation job, pass it to him. Rest assured that you are dealing with a professional translator.

Prakash may be blind; but he doesn’t translate blindly!

18 Jul 2008

Dari Shah Alam ke Brickfields

Pagi ini saya mengadakan perbincangan dengan anak saya, Ganesan Duraisamy (yang juga Bendahari Kavyan) mengenai persiapan menjelang pelancaran buku Rudra Avatara pada 26 Julai 2008.

Kami memutuskan untuk mengadakan majlis pelancaran yang serba ringkas sahaja. Tambahan pula, perasmian
Pesta Buku Selangor oleh Menteri Besar Selangor akan berlangsung pada pukul 2:30 petang dan tentu sahaja berlarutan sehingga 4:30 petang.

Majlis pelancaran Rudra Avatara akan bermula pukul 5:00 petang.

Kavyan sudah memutuskan untuk tidak menggunakan latar pentas yang khusus bagi majlis pelancaran kerana: satu, mengurangkan kos; dua, latar pentas majlis perasmian masih ada; dan tiga, tiada masa untuk menukar latar pentas.

Seterusnya, saya singgah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam untuk berbincang dengan Cik Afidah mengenai persiapan yang perlu bagi aktiviti Kavyan sempena Pesta Buku Selangor.

Selepas itu, ke pejabat
Pusat Komuniti ERA di Petaling Jaya untuk bertemu Saravanan dan berbincang mengenai majlis pelancaran Rudra Avatara.

Saravanan memaklumkan kepada saya bahawa Datuk Marimuthu agak sibuk sekarang tetapi akan tetap hadir memberi ucapan pada majlis pelancaran. Begitu juga, walaupun Saravanan dan kakitangan Pusat Komuniti ERA amat sibuk dengan program komuniti – malah mereka akan ke Johor sebentar lagi – mereka akan tetap hadir pada 26 Julai 2008.

Kemudian, saya ke Brickfields untuk bertemu Prakash Suriyamurthy. Saya pernah membaca mengenai beliau di sebuah akhbar tidak lama dahulu; di mana beliau sedang mengusahakan Thirukural versi Braille. Oh, ya! Prakash cacat penglihatan.

Bagaimanapun, jangan pandang rendah terhadap beliau kerana beliau adalah graduan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaysia dan sedang menyambung Ijazah Sarjana di tempat yang sama.

Beliau pernah menelefon saya beberapa bulan lalu, tetapi hanya pada hari ini kami berpeluang untuk bertemu.

Saya juga bertemu Mohd Jimadie Shah Othman (graduan Universiti Malaya yang kini merupakan wartawan di
Malaysiakini) untuk menyerahkan kumpulan cerpen Rudra Avatara.

Lalu, kami berbual-bual sambil makan vadei dan minum teh/kopi. Saya kagum dengan kedua-dua pemuda berkenaan. Masing-masing ada keisitmewaan, jatidiri dan berpegang teguh pada apa dipercayai dan dilakukan.

Sekitar 3:00 petang, Jimadie terpaksa pergi kerana khabarnya ada sidang media di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya pula menghantar Prakash ke Perpustakaan Universiti Malaya. Katanya, kini sudah ada kemudahan mesin pengimbas khas yang boleh “membaca” (secara bersuara) teks bercetak untuk didengar oleh golongan cacat penglihatan.

Maka, saya berikan beliau senaskhah Rudra Avatara untuk beliau “dengar”. Sempat juga saya nyatakan kepada beliau, impian Kavyan untuk menganjurkan acara Baca Cerpen OKU yang melibatkan penyampaian cerpen oleh peserta pekak, bisu, buta dan cacat anggota (ringkasnya: Orang Kelainan Upaya).

Oh, ya! Prakash juga akan mengambil bahagian dalam
Baca Cerpen A. Samad Said pada 25 Julai 2008, 3:00 petang di Kompleks PKNS, Shah Alam. Pasti menarik!

Prakash boleh dihubungi melalui nombor telefon 012-9020512 dan e-mel raj_um82@yahoo.com

17 Jul 2008

SJK Tamil dan Aktiviti Kavyan

Menjelang Pesta Buku Selangor, banyak kerja yang belum dibereskan sebagai persiapan aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Saya sepatutnya telah ke beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil semalam untuk mendapatkan senarai nama murid dan guru yang telah menghubungi saya dan mengesahkan penyertaan dalam acara Baca Cerpen A. Samad Said dan Baca Puisi Rindu Ibu.

Terus terang, saya kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru besar, guru-guru dan murid-murid SJKT Midlands dan SJKT Hicom.

(Saya tidak mahu menyentuh mengenai sikap guru besar dan guru-guru kanan beberapa SJKT dan SK yang langsung tidak menunjukkan minat selepas saya pergi ke sekolah mereka minggu lalu untuk memberikan maklumat mengenai acara sempena Pesta Buku Selangor.)

Di SJKT Hicom, saya berpeluang bertemu Cikgu Jamuna yang memang mengajar di sekolah ini dahulu tetapi telah bertukar ke sekolah lain beberapa tahun lalu. Beliaulah guru SJKT yang diperkenalkan kepada saya oleh Thillai Kamalan dahulu untuk memungkinkan aktiviti Kavyan dijalankan di SJKT.

Maka, kini, dengan kemunculan semula Cikgu Jamuna di SJKT Hicom, tentu lebih banyak aktiviti boleh dijalankan. Tambahan pula, guru-guru lain di SJKT Hicom (misalnya Cikgu Nalini) memang memberikan komitmen dan kerjasama demi manfaat murid-murid.

Perkara yang sama juga dibuktikan oleh guru besar dan guru-guru SJKT Midlands. Mereka memahami nilai program yang dikendalikan oleh Kavyan. Apatah lagi program yang melibatkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Saya ucapkan terima kasih kepada mereka semua. Juga ucapan tahniah kerana menyedari kepentingan aktiviti bahasa dan sastera demi perkembangan minda dan jatidiri kanak-kanak.

16 Jul 2008

Malaysia Tuan Rumah Festival Keamanan Global 2008

Saya menghadiri sesi bersama media untuk mempromosikan Festival Keamanan Global 2008 di The Gardens. Bukan sebagai wakil media tetapi sebagai jawatankuasa penganjur.

Berikut bahan berita yang disiarkan di www.bernama.com:

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Festival Keamanan Global 2008 yang bertujuan memupuk keamanan dan keharmonian di negara pelbagai kaum.

Perhimpunan keamanan terbesar dunia itu, yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dari 17 hingga 19 Okt, dijangka menarik kehadiran 20,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadualkan merasmikan festival itu.
.
Festival itu dianjurkan bersama Persekutan Keamanan Universal Malaysia (UPF), Persatuan Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) dan Pure Love & True Family Malaysia for World Peace (PLTFMWP).

Pengerusi Persekutuan Keamanan Universal Malaysia Tan Sri Zaleha Ismail berkata festival itu akan diisi dengan pelbagai acara, termasuk sukan keluarga, pertandingan nyanyian lagu keamanan, pameran kebudayaan global, pameran tentang keamanan dan pameran seni tempatan yang bertujuan memupuk keamanan.

"Festival Keamanan Global akan menjadi penghubung antara rakyat dari seluruh negara. Ia akan menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum kepada dunia melalui bidang pendidikan, sukan, kesenian, perkhidmatan dan keharmonian antara agama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya wakil dari 14 negara, termasuk Filipina, Amerika, Korea, Kenya, Jepun dan Mongolia dijangka menyertai acara itu.

* Versi Bahasa Inggeris berita ini turut disiarkan dalam Daybreak di RTM2 pada pukul 7:30 pagi, 17 Julai 2008. Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh di laman sesawang www.gpfmalaysia.org

15 Jul 2008

Rudra Avatara di Kedai Koperasi DBP


Rudra Avatara kini boleh juga dibeli di Kedai Koperasi DBP Bhd, Menara DBP, Kuala Lumpur; selain daripada Silverfishbooks, Bangsar.

Pantun


Masak gulai santan kelapa,
Kelapa diparut penuh bergaya;
26 Julai usah dilupa,
Maklumat lanjut di sesawang saya.

14 Jul 2008

Diskusi Karya Sastera

Perpustakaan Negara Malaysia dan Jabatan Arkib Negara Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk mengadakan aktiviti keilmuan bersempena dengan Festival Kuala Lumpur 2008.

Sehubungan itu, program “Diskusi Karya Sastera” yang bertemakan Memartabatkan Seni Budaya Dalam Penulisan akan diadakan pada 19 Julai 2008 (Sabtu), 10:00 pagi-12:00 tengah hari di Bilik Serbaguna, Aras 1, Perpustakaan Negara Malaysia.

Panel terdiri daripada wakil Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, hubungi Cik Hasnan Mamat di talian 03-26871700 sambungan 1846.

13 Jul 2008

Rudra Avatara










Beberapa visual berkaitan Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia RUDRA AVATARA. Maklumat lanjut di SINI.




12 Jul 2008

Bertemu Munis

Sudah agak lama juga tidak bertemu Muniswaran. Lalu, pada kesempatan yang hadir hari ini, kami bertemu dan makan tengah hari di Brickfields. Sempat juga membeli DVD filem Tamil.

Macam-macam yang kami bualkan; serius dan santai.

Kemudian, kami ke Devi's Corner di Bangsar untuk minum teh. Selepas itu, saya membawa Munis ke Silverfishbook untuk melihat koleksi buku-buku yang terdapat di sana. Sempat juga bertemu Encik Raman, pemilik kedai buku berkenaan.

11 Jul 2008

Mesyuarat Festival Keamanan Sedunia

Mesyuarat Jawatankuasa Global Peace Festival berlangsung pada sebelah malam untuk membincangkan pelbagai persiapan menjelang festival yang akan berlangsung pada Oktober 2008.
.
Majlis bertemu media pula akan berlangsung pada 16 Julai 2008 di The Garden, Midvalley. Suatu lagi majlis bertemu wakil NGO dijadualkan pada 19 Julai 2008.
.
Kami juga perlu menghubungi pihak media untuk medapatkan maklum balas berhubung surat yang sudah dikirim melalui faks sebelum ini. Saya juga lebih selesa untuk bertemu wakil media secara bersemuka; atau mengirim e-mel terus kepada individu terbabit.
.
Suatu komen/pandangan yang dikongsi bersama oleh saya dan Puan Krishna adalah bahawa mesyuarat jawatankuasa induk ini tidak digunakan untuk "mencadangkan" aktiviti untuk dibincangkan. Sebaliknya, perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam jawatankuasa kecil sebelum dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk.
.
Semoga akan dipraktikkan pada mesyuarat akan datang.

Rudra di Silverfishbooks



Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia RUDRA AVATARA kini boleh dibeli di kedai buku Silverfishbooks, Bangsar. Saya menyerahkan 25 naskhah pada petang ini.

Layari www.silverfishbooks.com untuk maklumat lanjut mengenai kedai buku ini yang dimiliki dan dikendalikan oleh seorang peminat dan pencinta buku.

Maklumat Rudra Avatara pula ada di www.uthayasb.cjb.net

Jangan lupa majlis pelancaran pada 26 Julai 2008, 5:00 petang!

Cenderamata Wira Bukit



Pihak Kavyan amat terharu dengan kesudian dan kesediaan pihak Wira Bukit Sdn Bhd menyumbangkan cenderamata berupa buku-buku karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said kepada peserta yang bakal mengambil bahagian dalam Baca Puisi Rindu Ibu dan Baca Cerpen A. Samad Said.

Saya terasa amat gembira apabila Sdr Helmy memaklumkan perkara itu melalui SMS beberapa hari lalu.

Hari ini, Sdr Fauzi dari Wira Bukit Sdn Bhd telah datang sendiri untuk menghantar buku-buku berkenaan kepada saya di Shah Alam.

Untuk makluman, tarikh akhir untuk mendaftar sebagai peserta bagi kedua-dua acara berkenaan adalah pada 15 Julai 2008.

Pak Samad akan turut hadir ke kedua-dua acara berkenaan. Pasti orang ramai tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk mendapatkan buku Pak Samad, bertemu beliau, serta mendapatkan tandatangan pada buku beliau.

Menjelang Pesta Buka Selangor

Pesta Buku Selangor akan berlangsung dari 25 Julai hingga 3 Ogos 2008 di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Majlis perasmian yang pada asalnya dijadualkan pada pukul 9:00 pagi, 26 Julai 2008 dibawa ke pukul 2:30 petang hari yang sama. Oleh itu, Majlis Pelancaran Rudra Avatara yang sepatutnya pada 1:30 tengah hari dianjakkan ke pukul 5:00 petang.

Pagi ini berlangsung mesyuarat terakhir jawatankuasa media dan publisiti. Pelbagai perkara dibincangkan dan diperkemaskan memandangkan tidak ada banyak masa sebelum pesta buku bermula.

Kerjasama yang diterima daripada pihak media juga agak memuaskan. Slot sudah diperoleh dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM) pada pagi 27 Julai 2008.

Walaupun hari ini berlangsung mesyuarat terakhir, jawatankuasa akan terus bekerja sehingglah ke penghujung pesta buku.

SJKT Midlands

Awal pagi, saya ke SJKT Midlands dan bertemu Guru Besar yang baru bernama Puan Varaletchumy.
.
Walaupun baru mengenali Kavyan, beliau melahirkan rasa bangga dan gembira dengan penglibatan Sasterawan Kavyan dalam memperkaya sastera kebangsaan.

.Terus sahaja beliau bersetuju untuk menghantar lima murid sekolah berkenaan menyertai Baca Puisi Rindu Ibu dan lima guru untuk menyertai Baca Cerpen A. Samad Said.
Pertemuan sekitar setengah jam itu meningkatkan minat saya untuk bekerjasama dengan pihak SJKT Midlands untuk mengendalikan beberapa aktiviti bahasa dan sastera pada masa hadapan.

Itulah antara sumbanga kecil Kavyan ke arah merealisasikan impian "Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia".

10 Jul 2008

Sastera di SJK (Tamil)

Kavyan memang sudah biasa mengendalikan aktiviti di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Sering juga murid-murid SJKT menyertai aktiviti anjuran Kavyan.

Apatah lagi apabila Kavyan sudah mendapat surat kebenaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di SJK dan SK seluruh negara.


Pagi ini, saya ke SJKT Emerald, SJKT Hicom, SJKT Sungai Renggam dan SK Taman Sri Muda 2 untuk menyerahkan surat undangan menyertai Baca Puisi Rindu Ibu.

Sambutan yang diterima adalah agak menggalakkan. Saya percaya ramai kanak-kanak yang akan berminat untuk hadir bertemu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

9 Jul 2008

Rapist & Rape

Demikian judul buku yang dilancarkan oleh ERA Consumer Malaysia Wisma WIM, Taman Tun Dr Ismail pada pagi ini.

Menurut Pengarah Program Wanita, ERA Consumer Malaysia, Cik Nanthini Ramalo, buku Rapist & Rape: Who and Why adalah berdasarkan kajian yang dijalankan dengan mewawancara perogol di empat buah penjara.

Maklumat lanjut mengenai buku ini - serta cara untuk mendapatkannya secara percuma - bolehlah dirujuk di laman www.dhrramalaysia.org.my

8 Jul 2008

Rudra Avatara di Perpustakaan Negara

Sebagaimana ditetapkan dalam Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331), saya telah ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk menyerahkan 5 naskhah Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia RUDRA AVATARA.

Selepas penyerahan di kaunter, saya sempat bertemu dan berbual-bual dengan Puan Samsul berhubung penglibatan beliau dalam Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), minat beliau dalam bercerita, serta berbincang mengenai buku dan pembacaan.

Beliau juga melakukan pengesahan untuk mengambil bahagian dalam acara Baca Cerpen A. Samad Said yang akan berlangsung pada 25 Julai 2008.

7 Jul 2008

Saharom & Puasa

Saya ke Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd untuk bertemu Abang Saharom, editor majalah e@siswa. Saya bercadang untuk keluar makan tengah hari bersama beliau. Akan tetapi, Abang Saharom memaklumkan bahawa beliau berpuasa hari ini.
.
Walau bagaimanapun, beliau tidak keberatan untuk menemani saya keluar makan tengah hari. Sambil makan, kami berbual tentang pelbagai perkara.

Apa yang amat menarik perhatian saya adalah terhadap penghayatan sebenar konsep "puasa" oleh Abang Saharom.

Betapa baik jika lebih ramai individu dapat mencontohi cara sebenar beliau dalam berpuasa. Titik.

6 Jul 2008

3 Syif di RTM

Hari ini, saya bekerja 3 syif di RTM. Akan tetapi, jangan anggap saya bekerja 8 x 3 = 24 jam!
.
Saya masuk kerja pada pukul 1:00 tengah malam untuk menyampaikan Warta 3, 4 & 5 Pagi. Kemudian, menyambung untuk segmen Akhbar Hari Ini dari 5:05 pagi hingga 7:45 pagi. Selepas bersarapan, disambung dengan Warta Jam 9, 10 & 11; iaitu sehingga 11:05 pagi.

.Apa yang menarik, saya sebenarnya tidak dijadualkan bekerja di RTM hari ini. Namun, kemudian, diminta mengganti seseorang untuk menyampaikan Warta 3, 4 & 5. Kemudian, ada penyampai meminta mengganti bagi Warta Jam 9, 10 & 11. Juga diminta pula mengganti rakan lain bagi Akhbar Hari Ini.

5 Jul 2008

Rudra Avatara Sudah Siap!

Pada pukul 11:30 pagi, saya ke pejabat pencetak untuk mengambil buku Rudra Avatara yang sudah siap dicetak. Buku versi kulit keras pula akan siap beberapa hari lagi.
.
Saya membawa pulang Rudra Avatara dan menjadi pembaca pertama bagi buku yang sudah siap itu!

.Saya juga mengirim SMS kepada sekumpulan rakan-rakan untuk memaklumkan bahawa Rudra Avatara sudah siap.

.Kini, tumpuan pada usaha menjual Rudra Avatara - untuk membayar kos mencetak! Dan juga pada majlis pelancaran 26 Julai 2008. Maklumat di SINI.

4 Jul 2008

Masyarakat Berjiwa Bangsa Malaysia



Majlis Pelancaran 17 Buah Buku berlangsung di Legar Putra PWTC pagi ini sebagai suatu lagi aktiviti sempena Festival Membaca 2008.

Saya diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai pengacara majlis.

Sebelum acara bermula, saya berpeluang bertemu Saifullizan Yahaya dan Fadli Al-Akiti. Pertemuan kami berlangsung dalam suasana persahabatan yang ikhlas dan saling menghormati serta memahami.

Buku terbaru Saifullizan Yahaya dan Fadli Al-Akiti adalah antara 17 buku yang dilancarkan oleh Tuan Teng Boon Soon, Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tentu sahaja saya tidak melepaskan peluang membeli terus buku Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi (Saifullizan Yahaya, DBP: 2008) dan Saga Horizon (Fadli Al-Akiti, Alaf21: 2008) daripada pengarang terbabit.

Mereka juga bertanya mengenai buku terbaru saya – Rudra Avatara – yang akan dilancarkan pada 26 Julai nanti. Saya berterus terang bahawa penerbitan kali ini agak berbeza kerana bagi setiap buku yang dijual nanti, saya perlu gunakan untuk membayar “hutang” (kos mencetak) buku.

Pada hari ini, saya turut berpeluang bertemu Encik Yap Yeow Choy yang merupakan Presiden Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia. Saya berterus-terang kepada beliau bahawa selama ini, saya hanya mengenali PERSPEKTIF.

Antara lain, Encik Yap berkongsi pandangan bagaimana perlu ada interaksi antara penulis pelbagai kaum dan pelbagai aliran bahasa. Mungkin Kavyan akan merancang dan menganjurkan aktiviti dengan persatuan ini.

Saya turut berpeluang bertemu Encik Poh Seng Titt dari Mentor Publishing; di mana dua buku tebitan syarikat berkenaan turut dilancarkan pagi ini.

Encik Koh Yok Hwa dari Gemilang Publishing turut memperkenalkan saya kepada Puan Ng Chew Fah, Setiausaha Sulit kepada Tuan Teng Boon Soon.

Selepas acara selesai, saya sempat membisikkan kepada Tuan Teng bahawa saya kagum dengan kelancaran dan kefasihan beliau menggunakan Bahasa Malaysia.


Ringkasnya, melalui Bahasa Malaysia dan minat membaca, pada hari ini saya berpeluang mengenali beberapa individu penting dalam kalangan masyarakat Cina yang berjiwa Bangsa Malaysia.

3 Jul 2008

Bersama Devishi di PWTC

Suasana sambutan Festival Membaca masih diteruskan dengan beberapa aktiviti di Legar Putra PWTC. Saya sempat membawa Devishi Prabha Sankari untuk turut merasai suasana sambutan.

Puan Lee Yoke Chan dari Exact Publisher mewawancara saya untuk artikel dalam sebuah akhbar mingguan yang diedarkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Saya kagum dengan sikap Puan Lee Yoke Chan terhadap Bahasa Malaysia. Beliau menyedari serta menegaskan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia – dan sekali gus wajib menguasainya.

Kami akan cuba merancang aktiviti bahasa dan sastera di SJKC dalam masa terdekat.

Tanpa diduga, semasa kami berjalan-jalan di tempat aktiviti Legar Putra, kami berpeluang bertemu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad).

.
Sudah agak lama Devishi tidak bertemu Pak Samad; walaupun kami sering berbual tentang “Samad Taata” (Atuk Samad). Seperti biasa, Devishi agak malu-malu untuk memulakan bicara dan bertanya khabar Pak Samad. Apatah lagi apabila Faisal Tehrani turut berada di sisi Pak Samad.

2 Jul 2008

The Secret di KTAR

Pada pukul 6:15 petang, saya sudah berada di KTAR, Wisma MCA, Jalan Ampang. Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh Haagen bahawa 54 orang telah mendaftar untuk menghadiri sesi Reading Club anjuran MCA di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Tentu sahaja saya menjadi lebih bersemangat untuk memperkatakan buku The Secret dalam sesi yang berlangsung dari pukul 7:00 malam hingga 9:00 malam dengan jumlah kehadiran 57 individu pelbagai lapisan, umur, kaum, agama, pendidikan dan pekerjaan.

Apatah lagi kerana para hadirin telah sama ada membaca buku The Secret atau menonton versi DVD. Maka, kami dapat berbincang dan berkongsi pandangan/pengalaman mengenai kandungan buku itu serta pengalaman peribadi berhubung panduan yang terdapat dalam The Secret.
.
Suatu sesi Reading Club yang memang cukup membanggakan!

Kelab Membaca Kebangsaan

Sekitar pukul 2:00 petang, saya sempat pergi ke Dewan Merdeka PWTC bagi menyaksikan majlis pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Turut dilancarkan lagu tema kempen membaca bertajuk “Budaya Membaca” (lagu: Pak Ngah, lirik: Habsah Hassan).

Sesudah acara yang serba ringkas (dan amat membanggakan!), saya tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai Mentor Kelab Membaca. Manakala Devishi Prabha Sankari pula saya daftarkan sebagai ahli kelab yang dikenali sebagai Sinar Pintar.

Salah satu daripada objektif Sinar Pintar (menurut buku program) adalah untuk menjadikan membaca atau aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan membaca satu aktiviti riadah yang menyeronokkan di samping boleh meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Objektif utama Sinar Pintas adalah untuk memperkayakan kehidupan kanak-kanak melalui tabiat membaca dan seterusnya melahirkan generasi yang bermaklumat dan berintelek.

Bertemu Abang Saharom

Pada hari kedua Persidangan Penerbitan Buku Kanak-kanak Bagi Rantau Asia Pasifik, tugas saya sebagai pengacara majlis menjadi lebih mudah kerana lebih banyak aktiviti berupa sesi ceramah selari (dua sesi di dua tempat berlainan) dan bengkel.

Dalam perbualan bersama-sama Dato’ Lat selepas beliau menyampaikan Ucap Utama pada sesi pagi, kartunis tempatan bertaraf dunia itu mengingatkan betapa penting untuk penulis/pelukis tempatan mengekalkan identiti tempatan walaupun mahu bergelar penulis/pelukis bertaraf dunia.

Saya juga bertemu Abang Saharom selepas kami tidak berpeluang bersua selama hampir setahun. Saya tumpang gembira apabila diberitahu bahawa majalah e@siswa yang ditanganinya semakin meningkat dari segi jualan dan permintaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Kami juga berbincang untuk mengadakan kerjasama antara e@siswa dan Kavyan dalam menganjurkan beberapa acara bagi remaja/pelajar.

1 Jul 2008

Persidangan Penerbitan Buku Kanak-kanak

Persidangan Penerbitan Buku Kanak-kanak Bagi Rantau Asia Pasifik anjuran Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa (IBBY) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Saya diberikan tugas dan tanggungjawab sebagai pengacara majlis dan perlu mengendalikan majlis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris; memandangkan peserta juga datang dari beberapa negara luar.

Persidangan dilancarkan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Saya telah berpeluang untuk berkenalan dengan beberapa tokoh hebat dari luar negara yang terlibat dalam bidang penulisan buku sastera kanak-kanak dan/atau penerbitan buku sastera kanak-kanak.

Antaranya: Ellis Vance (Amerika Syarikat), Naib Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa (IBBY); Dr Ira Saxena (India), penulis dan pakar psikologi kanak-kanak serta Setiausaha Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-kanak di India; Surekha Panandiker (India), penulis buku kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris, Hindi dan Marathi serta seorang pencerita yang hebat.
.
Tentu sahaja ini sebagai tambahan kepada beberapa tokoh tempatan seperti Dato’ Lat (Dato’ Mohd Nor Khalid), Mohamed Yusof Ismail (Yusof Gajah), Dr Sheikh Muszaphar (Angkasawan Negara) dan Mahaya Mohd Yassin (PEN). Pada waktu ini juga saya berkenalan dengan Koh Yok Hwa