29 Jun 2008

Kunjungan Perpaduan Kavyan II

Hari kedua dimulakan dengan persiapan bagi persembahan oleh para peserta. Jawatankuasa Kavyan pula mengadakan mesyuarat.
.
Sekitar pukul 11:00 pagi, peserta yang dibahagikan kepada empat kumpulan telah membuat persembahan. Kehadiran ibu bapa menjadikan majlis lebih menarik.
.
Selepas sesi persembahan, pihak Kavyan dan Pusat Komuniti ERA mengadakan perbincangan dengan ibu bapa mengenai apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.
.
Selepas makan tengah hari, Puan Prabhawathy mengendalikan Bengkel Penulisan UPSR bagi peserta yang bakal menduduki UPSR pada tahun ini.
.
Pada penghujung program, para peserta diberikan sijil penyertaan.
.
Dua hari yang memenatkan tetapi mengembirakan bagi Kavyan.

28 Jun 2008

Kunjungan Perpaduan Kavyan

Acara ini berlangsung di SJK (T) Permata, Dengkil dan diuruskan oleh Cik Seetha. Jadual asal diubahsuai sedikit mengikut keperluan peserta dan situasi semasa. Bagaimanapun, objektif masih dikekalkan.
.
Kanak-kanak ternyata amat seronok apabila diberi peluang untuk bermain pelbagai permainan tradisional.
.
Begitu juga apabila mereka didedahkan dengan pelbagai seni dan budaya tradisional yang semakin dilupakan.
.
Beberapa sukarelawan dari Pusat Komuniti ERA telah memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program ini.

27 Jun 2008

Hari yang Padat

Saya lebih berjalan hari ini dalam melakukan persediaan dan persiapan menjelang pelbagai aktiviti akan datang.

Misalnya, saya ke Pusat Komuniti ERA di Petaling Jaya untuk membincangkan aktiviti akan datang. Kemudian ke PWTC untuk bertemu Datin Paduka Sahaneem untuk membincangkan majlis perasmian pembukaan pada 1 Julai.

Pada sebelah malam pula, ke mesyuarat jawatankuasa media Festival Keamanan Sedunia.

Hari yang penuh dan padat, seperti biasa.

26 Jun 2008

Pesta Buku Selangor

Pada sebelah petang, saya ke Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam untuk perasmian pelancaran dan promosi Pesta Buku Selangor di mana saya terlibat dalam Jawatankuasa Publisiti dan Aktiviti.

Tinggal hanya sebulan sebelum pesta berlangsung dan Kavyan terlibat dalam menjayakan beberapa aktiviti.
.

Kelab Membaca Kebangsaan

Saya ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk bertemu beberapa rakan dan mengambil kad unangan Majlis Pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008. Saya percaya, lebih mudah untuk saya pergi sendiri mengambil kad undangan dan surat, berbanding meminta dikirim melalui pos kerana melibatkan proses birokrasi yang merumitkan melambatkan.

Apapun, majlis perasmian berkenaan akan berlangsung pada 2 Julai 2008 (Rabu), 2:00 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur; dan akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Kavyan menyokong penuh penubuhan Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca kerana kedua-duanya selaras dengan apa yang turut dilakukan oleh Kavyan.

Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang www.pnm.my atau boleh hubungi saya untuk mendapatkan kad undangan.

25 Jun 2008

Festival Keamanan Sedunia

Saya terlibat sama dalam Jawatankuasa Pelaksana (Publisiti & Media) bagi Festival Keamanan Sedunia (Global Peace Festival) yang akan berlangsung pada 17-19 Oktober 2008.

Mesyuarat yang diadakan hari ini berlarutan dari 8:00 malam hingga 10:30 malam. Hal ini tidaklah menghairankan kerana GPF suatu acara yang besar dan memerlukan perancangan yang teliti dan terancang.

Maklumat mengenai GPF boleh dibaca sepenuhnya di www.gpfmalaysia.org dan sudikanlah menyertainya!

Surat Kementerian Pelajaran Malaysia

Surat rasmi daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung kebenaran bagi Kavyan mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina & Tamil) seluruh negara diterima melalui pos hari ini.

Maka, Kavyan akan dapat menguruskan aktiviti di SK dan SJK di seluruh negara dengan lebih mudah; serta mengundang murid-murid menyertai aktiviti berkaitan.

Nombor rujukan surat adalah KP(BS/SPPK)602/3/1(12) dan akan dinyatakan pada aktiviti-aktiviti yang berkenaan; misalnya Baca Puisi Rindu Ibu dan Rasa Sayang, Eh!

Minnal FM

Peti masuk e-mel saya penuh dengan kiriman daripada para pendengar setia MinnalFM yang meluahkan kekecewaan terhadap mutu siaran Radio RTM Bahasa Tamil itu.

Sejak petang semalam (24 Jun 2008), peti masuk telefon bimbit saya sudah mula dihujani SMS yang bernada sama. Masing-masing meluahkan kekecewaan terhadap beberapa perkara.

Antaranya, pengacara MinnalFM yang ada sekarang kurang profesional, kurang kelayakan akademik, kurang bakat sebagai DJ, kurang penguasaan Bahasa Tamil, dan lebih mementingkan hiburan daripada misi sebenar MinnalFM sebagai media “penerangan”.
.
Tidak lupa juga mengenai kewujudan "DJ lelaki bersuara wanita"!

Tentu sahaja semuanya berbalik kepada soal kepimpinan dalam MinnalFM.

Saya sebenarnya sedang menyiapkan laporan berkaitan MinnalFM untuk diserahkan kepada pihak atasan pada 26 Julai 2008.

Mungkin saya akan menulis (memblog) lebih lanjut mengenai isu ini apabila laporan saya selesai nanti.

Penggodam Bahasa

Ada rakan yang bertanya apa yang mungkin akan berlaku jika ada pihak yang “mencuri” alamat e-mel saya – seperti yang berlaku kepada Abang Saiee Driss beberapa hari lalu. Apatah lagi, alamat e-mel saya memang terpampang di mana-mana di ruang siber dan di ruang nyata.

Dalam dunia serba canggih ini, hal sedemikian memang tidak mustahil boleh berlaku. Namun, si penggodam terbabit tentulah amat perlu turut memiliki ciri-ciri asas berikut:

1. Mampu memikirkan kata laluan dalam Bahasa Malaysia

2. Menguasai Bahasa Malaysia

3. Mencintai Bahasa Malaysia

4. Memperjuangkan Bahasa Malaysia

5. Mampu mengirim e-mel palsu menggunakan Bahasa Malaysia yang betul, tepat dan lengkap dari segi laras bahasa, gaya bahasa dan sistem bahasa

Memang segalanya mungkin dalam dunia serba canggih ini. Namun, masih ada ciri yang tetap tidak boleh digodam dan dipalsukan!

24 Jun 2008

Saiee Driss & Nigeria

Apabila telefon bimbit saya berdering pada pukul 5:17 petang dan nama “Saiee Driss” terpapar pada skrin, saya menjawab “Vanakam” seperti biasa sebelum terpaksa bertanya: “Ini Abang Saiee yang sebenar atau Abang Saiee Nigeria?”

Hal ini adalah demikian kerana awal pagi semalam (23 Jun 2008), saya menerima e-mel daripada “Saiee Driss” dalam Bahasa Inggeris – mengatakan bahawa beliau terkandas di Nigeria berikutan dirompak di hotel di mana beliau menginap semasa bertugas. Lalu, meminta saya – dan entah berapa ramai lagi di seluruh dunia! – mengirim sejumlah wang dengan segera.

Saya tidak tertipu kerana alasan yang cukup mudah: Abang Saiee tidak mungkin mengirim e-mel Bahasa Inggeris kepada saya – walaupun kami sama-sama mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang boleh dibanggakan; dan Abang Saiee juga ada blog yang khusus ditulis menggunakan Bahasa Inggeris.

Saya menelefon Abang Saiee tetapi tidak dijawab. Lalu, saya menelefon Pengarah Radio 24, Sdr Sheikh Raffie yang mengesahkan turut menerima e-mel palsu yang serupa. Maka, terbukti Abang Saiee masih di Malaysia.

Berbalik kepada pertanyaan “Ini Abang Saiee yang sebenar atau Abang Saiee Nigeria?” … Mujurlah saya menerima jawapan berbentuk ketawa yang lazim saya dengar, berserta pengesahan dalam Bahasa Malaysia, “Saya yang sebenar”.

Kami berbual seketika; termasuk mengenai rancangan Abang Saiee untuk pulang ke Sarawak. Saya percaya hal berkenaan boleh dibaca lebih lanjut di blog beliau.

Tsunami Kedua: Setahun Kemudian

Masihkah saudara ingat akan sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang mengakibatkan tsunami di negara kita tahun lalu?

Jika tidak ingat – atau jika tidak tahu-menahu mengenainya – harap sudi BACA DAHULU POLEMIK DI SINI (sila klik pada link ini) sebelum meneruskan pembacaan pada halaman ini.

Catatan ini saya lakukan pada 24 Jun 2008 – TEPAT setahun selepas sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (24 Jun 2007).

Pelbagai pandangan dan komen disiarkan di media cetak dan media alternatif sejak sajak berkenaan disiarkan. Tidak kurang juga SMS dan e-mel kecaman yang saya terima (dan masih saya simpan sebagai dokumentasi).

Bagaimanapun, tahukah saudara bahawa sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” bukan sajak yang baru ditulis pada tahun 2007? Sajak berkenaan dikarang pada akhir tahun 2002 dan merupakan kesinambungan kepada sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa”!

Mungkin juga sesiapa yang tahu senario berkaitan isu Bahasa Malaysia @ Bahasa Kebangsaan pada waktu itu (tahun 2002) akan lebih memahami sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.

Apapun, saudara amat wajar membaca ULASAN SAJAK ITU DI SINI. Dan bersedialah untuk “ditampar” tsunami sekali lagi apabila membaca ulasan yang ikhlas dan objektif itu.

Teh O dan Milo Bersama Pak Samad II

Pagi ini saya membaca berita pukul 9 pagi dan 11 pagi di RTM1. Tiada Warta Jam 10 kerana siaran langsung dari Parlimen.

Maka, pada pukul 9:30 pagi, saya bertemu Pak Samad sekali lagi di Bangsar. Dan sekali lagi, menu pilihan kami sama sahaja: Pak Samad minum teh O dan saya minum Milo suam.
.
Kami bualkan beberapa perkara berkaitan Kavyan, Rudra Avatara, sambutan 52 tahun DBP dan beberapa perkembangan sastera tanah air.
.
Pak Samad turut menyerahkan suatu catatan ringkas sepanjang satu halaman yang akan diterbitkan sebagai prakata dalam Rudra Avatara.
.
Saya turut memaklumkan kepada Pak Samad bahawa Kavyan sudah mendapat kelulusan rasmi daripada pihak Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia untuk mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah-sekolah rendah seluruh negara.
.
Kami tidak dapat berbual panjang kerana Pak Samad perlu ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan, manakala saya perlu kembali ke RTM untuk menyampaikan Warta Jam 11.

23 Jun 2008

Teh O dan Milo Bersama Pak Samad

Saya menghubungi Pak Samad dan kami bertemu di Bangsar untuk membincangkan buku Rudra Avatara. Saya serahkan manuskrip kumpulan cerpen berkenaan untuk Pak Samad baca sebelum menyediakan teks ucapan pelancaran.
.
Pak Samad menghadiahkan saya senaskhah buku 68 Soneta Pohon Ginkgo (Dapatkan maklumat buku terbaru Pak Samad di SINI.)
.
Saya mewakili Kavyan mengucapkan terima kasih kepada Pak Samad kerana terus sudi menjadi Penasihat Agung Kavyan sejak tahun 2003.
.
Pak Samad mendedahkan bahawa ada juga "cubaan" meminta/mendesak beliau menarik diri daripada terus menjadi Penasihat Agung Kavyan tahun lalu. (Baca isu berkaitan di sini)
.
Saya terharu apabila Pak Samad memaklumkan bahawa beliau tahu mengenai kedudukan Kavyan dan juga mengenai peribadi diri saya; maka tidak timbul soal beliau perlu menarik diri daripada menjadi Penasihat Agung Kavyan berdasarkan "desakan" atau "cadangan" mana-mana pihak.
.
Saya puji sikap Pak Samad kerana beliau lebih sedia bersemuka untuk menyelesaikan masalah tanpa terpengaruh pada "desakan" luar.

22 Jun 2008

Sarapan Bersama Anak-anak

Minggu lalu, sempena Hari Bapa, saya tidak berpeluang bersarapan bersama-sama kedua-dua anak sekali gus. Hal ini kerana Ganesan bekerja sejak awal pagi memandangkan tayangan Dhasa Avatharam sudah bermula; Ganesan bekerja di pawagam.
.
Saya meluangkan masa bersama-sama Ganesan dan Devishi secara berasingan; tambahan pula saya bekerja di RTM pada hari itu.
.
Maka, pagi ini, kami bertiga bersarapan bersama-sama di kedai; semata-mata untuk meluangkan masa bersama-sama sebagai meraikan Hari Bapa.

21 Jun 2008

Pak Samad Lancar Rudra Avatara

Suatu berita yang amat menggembirakan dan amat membanggakan bagi saya secara peribadi.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang merupakan Penasihat Agung Kavyan bersetuju untuk hadir melancarkan Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia Rudra Avatara di Shah Alam, Selangor pada 26 Julai 2008 (Sabtu).

Saya menganggap kesudian beliau untuk hadir dan berucap serta melancarkan Rudra Avatara sebagai suatu penghormatan besar bagi diri saya, bagi Kavyan dan bagi pihak penganjur Pesta Buku Selangor.

Sempena Pesta Buku Selangor 2008, Kavyan turut menganjurkan Baca Cerpen A. Samad Said dan Baca Puisi Rindu Ibu sebagai penghormatan kepada Pak Samad yang ternyata merupakan Sasterawan Berjiwa Rakyat.

Bagaimanapun, pada mulanya saya berasa tidak sedap hati untuk mengundang Pak Samad menghadiri kedua-dua acara berkenaan kerana tiada dana/peruntukan untuk menampung kedatangan beliau.

Bayangkan! Pak Samad memberitahu saya melalui telefon pada petang 21 Jun 2008 bahawa beliau tetap bersedia untuk hadir; bukan wang yang menjadi ukuran.

“Saya rasa berdosa jika tidak hadir,” kata beliau dalam perbualan kami melalui telefon.

Jadi, saya berharap orang ramai akan menghadiri ketiga-tiga aktiviti berkenaan supaya dapat bertemu Pak Samad dan memeriahkan majlis.
.
Maklumat lengkap program boleh dirujuk di laman sesawang www.uthayasb.cjb.net

Sambutan Luar Dugaan!

Aktiviti Bengkel Penulisan UPSR anjuran Kavyan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam mendapat sambutan di luar dugaan apabila seramai 43 murid Tahun 4, 5 dan 6 pelbagai kaum menghadirinya.

Pihak penganjur yang hanya menjangkakan kehadiran 20 peserta terpaksa bertindak pantas menyediakan kemudahan serta makan-minum bagi kesemua peserta.

Bengkel berjalan lancar, walaupun ada peserta yang datang lewat.

Sehubung itu, para peserta diingatkan bahawa sekiranya mahu menghadiri mana-mana aktiviti Kavyan pada masa hadapan, maka aspek ketepatan masa perlu diberi keutamaan.

“Aktiviti Kavyan akan bermula dan tamat mengikut jadual yang ditetapkan. Jika dikatakan bermula pukul 9:00 pagi, maka akan bermula 9:00 pagi – bukan 9:30 pagi atau 10:00 pagi,” tegas Uthaya Sankar SB yang mengendalikan program dengan kerjasama beberapa pegawai PPAS.

Aktiviti Bengkel Penulisan UPSR juga akan diadakan pada Julai dan Ogos – menjelang UPSR yang dijadualkan pada 9 September 2008.

Maklumat semasa boleh diperoleh di laman sesawang www.proaktif.cjb.net

20 Jun 2008

The Secret

Saya akan memperkatakan (atau lebih tepat lagi: memperkenalkan) buku THE SECRET (Rhonda Byrne) di KTAR, Tingkat Bawah, Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu, 2 Julai 2008.

Acara ini anjuran MCA Lifelong Learning's Reading Club di mana saya terlibat sama. Rujuk www.lll.net.my untuk maklumat lanjut.

Sesi di KTAR dalam Bahasa Inggeris dan terbuka kepada umum. Datanglah untuk berkongsi THE SECRET - walau jika saudara belum menerima sentuhan THE SECRET, atau belum membaca THE SECRET, atau sudah berikrar tidak akan membaca/mendengar/menonton THE SECRET.

Ya, THE SECRET juga terdapat dalam versi DVD dan buku audio.

19 Jun 2008

Bertemu Pencetak

Saya bertemu pencetak yang menguruskan kumpulan cerpen Rudra Avatara untuk kami bincangkan kulit buku serta kualiti kertas yang akan digunakan.

Sebagai seorang individu yang berpengalaman dalam bidang percetakan, beliau memberikan panduan dan nasihat mengenai kualiti kulit dan kertas buku yang bakal digunakan.

Beliau juga bersedia membuat beberapa versi kulit depan buku berdasarkan konsep dan draf yang saya kemukakan. Kemudian, bolehlah saya memilih yang terbaik dan paling sesuai.

Harus saya katakan bahawa saya amat berpuas hati dengan komitmen, tahap profesionalisme dan mutu kerja yang diberikan oleh pencetak berkenaan.

Saya tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan beliau kepada sesiapa yang berminat atau bercadang mencetak sebarang bentuk bahan bercetak.

18 Jun 2008

Minggu yang Sibuk

Sejak hampir seminggu lalu, saya agak sibuk dengan pelbagai mesyuarat; khususnya menjelang Pesta Buku Selangor (http://www.pestabukuselangor.com/) dan Persidangan Penerbitan Buku Kanak-kanak Asia Pasifik (http://www.mbby.org/).
.
Juga dengan MCA LLL Reading Club (http://www.lll.net.my/) di mana saya menjadi mentor untuk memperkatakan dan memperkenalkan pelbagai buku fiksyen dan non-fiksyen kepada khalayak.

Belum termasuk pelbagai lagi kesibukan lain pada hampir setiap hari.

Bagaimanapun, saya amat berpuas hati kerana dalam segala kesibukan itu, saya mendapat kepuasan. Melakukan apa yang saya suka; menyumbang bakti.

17 Jun 2008

Anekdot Bahasa

Saya ke Pos Malaysia Taman Sri Muda, Shah Alam seawal 8:25 pagi untuk mendapatkan rebat (sebut: "ri-bat" di RTM) yang mula diberikan sejak Sabtu, 14 Jun 2008.
.
Walaupun menunggu selama sejam sebelum tiba giliran saya untuk berurusan di kaunter, saya tidak jemu atau bosan, kerana membaca kumpulan cerpen The Japanese Wife (Kunal Basu).
.
Sambil itu, saya sempat mendengar tiga wanita berbual rancak menggunakan Bahasa Malaysia. Seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Mereka berbual mengenai kenaikan harga petrol, kenaikan harga barangan keperluan harian dan tentang pemberian rebat oleh kerajaan.
.
Saya terasa bangga kerana mereka menggunakan Bahasa Malaysia secara spontan sepanjang berkomunikasi.
.
Tidak lama kemudian, datang seorang lagi wanita Melayu menyertai perbualan mereka. Dia menggunakan broken English.
.
Pada waktu itu, barulah saya sedar bahawa wanita "Melayu" yang pertama tadi sebenarnya seorang wanita warganegara Indonesia.

15 Jun 2008

Selamat Hari Bapa!

Pada 10 Jun, ramai yang mengirim SMS, e-mel serta mesej melalui Tagged, Friendster dan Facebook untuk mengucapkan "Selamat Hari Jadi" kepada saya.

Kebanyakan mesej/ucapan itu saya balas dengan ucapan terima kasih; sambil menambah bahawa saya lebih suka/gembira menyambut Hari Bapa.

Tahun ini, sambutan Hari Bapa pada 15 Jun - hari Ahad ketiga.

Sesungguhnya, bagi saya, kewujudan saya sebagai Acha (bapa) jauh lebih bermakna daripada tarikh kelahiran saya.

Jadi, sempena Hari Bapa, saya mengucapkan terima kasih kepada anak-anak saya yang memberikan status Acha kepada saya!

12 Jun 2008

Semak Pruf Rudra Avatara

Pihak pencetak yang cukup efisien telah menyiapkan reka letak (layout) dan kulit buku Rudra Avatara dan saya sudah mengambilnya hari ini untuk disemak dengan penuh teliti.

Walaupun saya sendiri yang melakukan setting tetapi apabila melakukan pembacaan semula secara penuh teliti, barulah nampak beberapa kesilapan menaip (typo error) pada manuskrip.

Saya berusaha penuh memastikan kesilapan berada pada tahap paling minimum.

10 Jun 2008

Semalaman di Perpustakaan

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan program Semalaman di Perpustakaan dengan membuka peluang kepada sekumpulan kanak-kanak meluangkan masa semalaman di perpustakaan daerah di seluruh negeri Selangor.

Program bermula pada pukul 3:00 petang hari Jumaat dan berakhir pada pukul 3:00 petang hari Sabtu; serta diisi dengan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, budaya dan pembacaan yang menyeronokkan bagi kanak-kanak berumur 11 dan 12 tahun.

Maklumat terperinci mengenai program Semalaman di Perpustakaan boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.kavyan.cjb.net

9 Jun 2008

Baca Cerpen A. Samad Said

Sempena Pesta Buku Selangor (25 Julai – 3 Ogos 2008), Perbadanan Perpustakaan Awam (PPAS) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Pusat Komuniti ERA mengadakan program Baca Cerpen A. Samad Said yang menampilkan pembacaan cerpen-cerpen karya Sasterawan Negara Datuk (Dr) A. Samad Said di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Orang ramai yang berminat dan ingin cuba tampil membaca petikan cerpen di pentas di hadapan khalayak ramai dipelawa menyertai program ini dengan mendaftar lebih awal kerana jumlah penyertaan adalah terhad.

Kavyan pernah menjayakan acara Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit tanpa henti pada tahun 2003 dan mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.

Maklumat terperinci mengenai Baca Cerpen A. Samad Said boleh didapatkan di laman sesawang www.kavyan.cjb.net

8 Jun 2008

Tempahan Awal Rudra Avatara

Tempahan awal bagi Kumpulan Cerpen Rudra Avatara dibuka sekarang. Jadilah antara individu yang paling awal memilikinya.

Dapatkan maklumat lanjut dan borang tempahan di laman sesawang www.uthayasb.cjb.net

Kalau tidak berminat membeli pun, saudara boleh sekadar membaca pengalaman saya menerbitkan Rudra Avatara di laman berkenaan.

Sila baca juga mengapa saya tidak mampu memberikan naskhah percuma kepada sesiapa!

7 Jun 2008

Tentang Rudra Avatara

Kali terakhir karya saya terbit dalam bentuk buku persendirian adalah pada tahun 2002. Hal ini bermakna bahawa kumpulan cerpen Rudra Avatara terbit enam tahun selepas novel Panchayat dan tujuh tahun selepas kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja mengumpul karya bagi tujuan penerbitan buku ini sudah dimulakan sejak tahun 2005. ISBN diperoleh pada akhir 2005. Masalah kewangan menjadi hambatan utama dalam usaha merealisasikan impian untuk menerbitkan kumpulan cerpen ini.

Akhirnya, buku ini berjaya diterbitkan setelah kerja-kerja mengedit, merombak senarai cerpen dan pengubahsuaian reka kulit dilakukan berulang kali.

Sejumlah sebelas cerpen yang terkandung di dalam buku ini dipilih secara penuh teliti supaya sesuai bagi bacaan, tafsiran, pemahaman, penilaian dan kritikan golongan yang gemar membaca karya yang mencabar minda.

Seperti biasa, saya sentiasa percaya dan sedar bahawa penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca.

Saya juga tahu bahawa khalayak yang memilih untuk membaca karya-karya saya adalah kelompok yang tidak mahu disogokkan dengan karya berselera rendah.

Kumpulan Rudra Avatara menyajikan sebelas cerpen yang sesuai bagi bacaan umum; termasuk pembaca remaja yang sedang menuju alam dewasa dan dahaga akan karya yang benar-benar mencabar minda.

Kesemua cerpen disusun secara kronologi penghasilan bagi membantu pembaca dan pengkaji yang (mungkin) berminat untuk meneliti peningkatan – atau penurunan – mutu karya.
.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini tidak semestinya ditulis selepas cerpen-cerpen yang termuat di dalam beberapa kumpulan cerpen persendirian saya yang terbit sebelum ini.

4 Jun 2008

Bengkel Penulisan UPSR

Sukacita dimaklumkan bahawa Bengkel Penulisan UPSR khusus bagi murid Tahun 5 & 6 akan berlangsung seperti berikut:

Tarikh : 21 Jun 2008 (Sabtu)
Masa : 9:00 pagi-1:00 tengah hari
Tempat : Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam (bersebelahan muzium)
Pembimbing : Uthaya Sankar SB (Sasterawan dan Presiden Kavyan) & S.G.Prabhawathy (Guru dan Setiausaha Kavyan)

Penulisan merupakan suatu komponen yang paling penting dalam subjek Bahasa Malaysia peringkat UPSR kerana ia merangkumkan segala aspek bahasa seperti tatabahasa, sistem bahasa, pemahaman, kreativiti dan kebolehan murid-murid melahirkan idea dan pandangan menggunakan Bahasa Malaysia.

Maka, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menganjurkan siri Bengkel Penulisan UPSR yang secara khusus membimbing murid Tahun 5 dan 6 tentang teknik menghasilkan karangan yang baik dan bermutu dalam Bahasa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi Cik Afidah (03-55197667) atau e-mel info@kavyan.cjb.net sebelum 18 Jun 2008 kerana tempat adalah terhad.
Maklumat terperinci boleh dirujuk di laman www.proaktif.cjb.net

3 Jun 2008

Kumpulan Cerpen Rudra Avatara

Kumpulan Cerpen Rudra Avatara sebenarnya merupakan projek lama yang tertangguh selama hampir dua tahun.

Saya sudah mendapatkan ISBN bagi Rudra Avatara pada akhir tahun 2005. Bagaimanapun, berikutan masalah kewangan, hasrat menerbitkan buku berkenaan terpaksa ditangguhkan.

Pada Jumaat lalu, 30 Mei 2008, saya telah mengirim SMS kepada beberapa individu untuk meminta pandangan, saranan dan cadangan untuk merealisasikan cadangan menerbitkan Rudra Avatara pada tahun ini.

(Tambahan pula, sudah ada satu lagi manuskrip kumpulan cerpen remaja yang perlu saya terbitkan selepas ini; juga tertangguh sejak tahun lalu!)

Dan hari ini, 3 Jun 2008, pukul 2:00 petang, saya telah bertemu dengan dua individu yang bersetuju -- bukan "bersetuju pada dasarnya" seperti yang selalu digunakan dalam laporan media -- untuk membantu menampung kos mencetak kumpulan cerpen Rudra Avatara.

Persetujuan yang dicapai adalah untuk membolehkan saya membayar kos percetakan selepas buku terbit dan mula dijual.

Tentu sahaja saya amat berterima kasih kepada beberapa individu yang telah bertindak secara proaktif sebaik sahaja menerima SMS daripada saya. Malah, ada juga individu yang membantu memanjangkan (forward) SMS saya kepada individu lain yang difikirkan boleh membantu saya dalam urusan penerbitan Rudra Avatara.

Nama-nama individu terbabit tidak perlulah saya sebutkan di sini. Mereka pasti faham bahawa saya amat menghargai sokongan dan bantuan mereka.

Maklumat terkini mengenai perkembangan Rudra Avatara akan disebarkan melalui lamam www.uthayasb.cjb.net dan www.ekavyan.cjb.net untuk makluman ramai.

Salah seorang individu yang saya temui pada 3 Jun 2008 juga mencadangkan supaya majlis pelancaran diadakan bagi Rudra Avatara.

.
Sama-sama kita nantikan kelahiran Rudra Avatara!

2 Jun 2008

Giggs, Hammer & Perlis

Pada sekitar 6:00 petang, 2 Jun 2008, saya bertemu Perlis, bekas pelajar saya di The Summit, USJ.

Hammer dan Giggs pula tiba lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan dari tempat kerja mereka di Cyberjaya.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar semasa saya menjadi pensyarah di kolej swasta.

Sebenarnya, secara teknikal, Perlis bukan pelajar saya. Akan tetapi, dia sering bersama-sama Giggs dan Hammer menghadiri kelas Moral Education dan Malaysian Studies.

Apa yang menarik, makan-minum kami pada petang ini ditanggung oleh Perlis (dan Giggs turut berkeras untuk berkongsi kos).

Saya pula sengaja tidak mahu membayar kerana dua sebab:

1) Mereka yang mengajak untuk bertemu saya.
2) Saya terasa amat bangga apabila bekas pelajar saya membelanja saya!

Sambil makan-minum, banyak topik lama dan baru yang kami bualkan. Hammer yang pendiam sering menjadi mangsa buli kami!

Giggs dan Hammer kini bekerja di Shell, manakala Perlis pula pengusaha livestock -- meminjam istilah yang digunakannya semasa kami berdua minum di Starbuck sementara menunggu ketibaan Hammer dan Giggs.

Semasa berpisah, kami berpelukan seperti biasa. Cuma, kali ini, kami sempat berseloroh bahawa perbuatan kami mungkin sedang diperhatikan oleh pihak tertentu.

Saya tidak mendedahkan identiti (nama sebenar) mereka bertiga di sini atas tiga alasan:

1) Menunggu mereka mendedahkan sendiri identiti diri dalam comment di bawah
2) Mereka kini "orang besar"
3) Saya pun tak tahu nama penuh mereka (Bagusnya pensyarah ini!)

Saya berharap dapat bertemu lebih ramai bekas pelajar saya yang pernah berguru pada saya sejak tahun 1999 di beberapa kolej swasta.