30 Jul 2005

Baca Cerpen Nisah Haron

Peguam muda dan penulis muda yang prolifik, Nisah Haji Haron mahu menyajikan bahan bacaan yang berilmu di samping menghiburkan khalayak pembaca; khususnya remaja.

Beliau menjelaskan demikian semasa berucap pada akhir acara “Baca Cerpen Nisah Haron” anjuran Kavyan di Kolej Mara Banting pada 30 Julai 2005.

Beberapa buah cerpen remaja karya Nisah yang termuat dalam kumpulan Impian Tsu-Ryi dibaca secara bergilir-gilir oleh sekitar lima puluh pelajar dan kaki tangan kolej berkenaan serta wakil Kavyan.

Penonton yang terdiri daripada hampir 200 pelajar memenuhi dewan untuk sama-sama menikmati cerpen-cerpen yang dibaca secara penuh gaya dan penghayatan oleh para peserta.

Cerpen-cerpen dalam Impian Tsu-Ryi rata-rata bertema fantasi dan remaja. Nisah juga tidak lupa memasukkan ilmu bantu dunia guaman dalam karyanya; sekaligus menyampaikan ilmu kepada para pembaca.

Acara baca cerpen merupakan aktiviti bulanan Kavyan dalam usaha membudayakan baca cerpen, mendaulatkan Bahasa Malaysia serta memasyarakatkan sastera di kalangan penduduk pelbagai kaum dan latar budaya.

28 Jul 2005

Drama “Arkitek Keluarga” di Kolej Prime


Proses pembelajaran bahasa dan sastera tidak harus tertumpu di dalam kelas dan dewan kuliah semata-semata. Sebaliknya, pelajar perlu diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan pelajar yang mengikuti subjek LAN1001-Bahasa Malaysia di Kumpulan Kolej Prime telah melibatkan diri dalam proses menghasilkan sebuah drama eksperimental secara amatur menggunakan kamera digital.

Skrip drama berkenaan diadaptasi daripada cerpen berjudul “Arkitek Keluarga” karya Uthaya Sankar SB. Drama ini dihasilkan oleh Kelab Seni & Sastera kolej berkenaan dengan kerjasama Kavyan.

Sesi latihan membaca skrip diadakan selama seminggu sebelum rakaman suara dilakukan. Seterusnya, penggambaran dilakukan di tepi tasik di Kota Kemuning, Shah Alam bagi menggantikan latar tebing sungai dalam drama berkenaan.

Pelajar pelbagai kaum dan jurusan pendidikan terlibat dalam menjayakan drama “Arkitek Keluarga”. Tayangan perdana drama itu telah diadakan pada 27 Julai 2005 sempena “Malam Apresiasi Kavyan-KSS” di Auditorium Kolej Prime.